Sunday, August 30, 2009

Mengimbau kenangan..

Cuti minggu ini kuhabiskan bersama dengan rakanku ecah dan ina. Bersama dengan ina membuatkanku mengimbau kembali kenangan di waktu lalu. Ku redha dengan takdir Allah, tersembunyi hikmah disebalik setiap peristiwa. Kini kembali memintal kembali tali persahabatan yang terlerai dahulu. Semoga tiada lagi gerimis di tengah hari.


  • Aktiviti mencari barang keperluan di Alor Star (29 Ogos 2009).

Di Star Parade, pelbagai pakaian raya dijual


Di Star Parade


Berbuka puasa di Tesco Mergong


Di Tesco Mergong

  • Aktiviti mencari juadah berbuka di UUM (30/08/2009)


Di hadapan masjid UUM


Di hadapan dewan UUM


Ada satu perasaan terbit di hatiku kala ini..

Rahsia itu biarlah menjadi milik hati ini..

Wahai hati tenanglah..

Ku serah segalanya padamu Rabbi..

Friday, August 28, 2009

Indahnya saat bersama Rabbi..




Kita mampu merancang, tetapi Allahlah sebaik-baik perancangnya. Walaubagaimanapun hebatpun kita merancang dari awalnya, tapi jika bukan dengan izin Allah tidak mungkin apa yang dirancang akan terlaksana. Pengajaran kali ini ku ambil iktibar, mungkin terlalu banyak dosaku kepada Rabbi sehingga membuatkan ku terlewat bangun untuk bermunajat kepadaNya. Sungguh ku kesali atas dosa-dosaku, ampunkan hambaMu yang khilaf ini ya Allah.

Qiamullail adalah gabungan dua perkataan iaitu Qiam bermaksud bangun dan al-lail yang bermaksud malam. Yakni maksud qiamullail ialah bangun malam. Waktunya bermula selepas tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar sadik. Solat qiamullail merupakan solat sunat yang ditambah selain daripada solat-solat sunat lain yang dilakukan pada waktu malam. Ia dinamakan tahajjud jika dilakukan pada waktu malam dan dinamakan qiam jika dilakukan sebelum tidur.


Qiamullail adalah sunat muakkad yang sangat dituntut. Banyak dalil-dalil yang menunjukkan kelebihannya sama ada daripada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama.

Firman Allah swt :

ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا

“dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah tahajjud di waktu itu sebagai solat tambahan semoga Tuhanmu membangkit & menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji”. (al-Isra’: 79)


Sabda Nabi saw:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة لى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر.يقول : من يدعونى فأستجيب له من يسألنى فأعطيه من يستغفرنى فأغفر له

“Tuhan kita Tabaraka waTaala turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah berfirman : sesiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku makbulkannya , sesiapa meminta kepada-Ku, pasti Aku memberinya , sesiapa mohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuninya”. (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1145)


Melakukan solat banyak memberi kebaikan kepada kita. Antara kelebihan melakukan qiamullail ialah:
  • Ia adalah perintah Allah kepada Nabi s.a.w, walaupun perintah ini khusus kepada Rasulullah s.a.w, namun sekalian umat islam termsuk dalam perintah tersebut kerana mereka dituntut supaya mengikuti Rasulullah s.a.w
  • Al-muhsinun golongan yang berhak mendapat kebaikan dan rahmatNya.
Firman Allah swt yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mataair, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik, mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)”. (Adz-Zariyat:15-18)

  • Al-abrar (baik-baik) golongan yang mendapat pujian dan sanjungan daripada Allah.
Firman Allah swt:
وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, (al-Furqan 25:64)

  • Allah menafikan persamaan antara mereka yang melakukan qiamullail dengan yang tidak melakukannya.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (az-Zumar: 9)

  • Sebagai penyebab seseorang itu dimasukkan Allah ke dalam syurga.
Begitu banyaknya ganjaran yang Allah beri lantaran bermunajat kepadanya dikala insan lain sedang enak dibuai mimpi. Kita sepatutnya merebut peluang ni selagi nyawa masih lagi dikandung badan. Tambahan lagi bulan Ramadhan yang berkah ini, Allah melipatgandakan setiap amalan kita. Inilah masanya kita memperbaiki diri dan memperbanyakkan lagi amalan. Siapalah kita untuk sombong kepadaNya. Wallahua'lam..

--> Sumber daripada Nik Abd Rahman Nik Abd Ghani, Zahazan Mohamed, 2007, Cetakan pertama, Indahnya saat bersamamu (Panduan praktikal qiamullail), Kuala Lumpur, Telaga Biru.


Indahnya saat bersamamu Rabbi..

Ratapku hanya kepadaMu..

Terlalu banyak khilafku, Ampunkanlah ya ALLAH..

Thursday, August 27, 2009

Berbuka bersama..

Rindu betul diri ini ingin berbuka dengan rakan-rakan yang ku sayangi ini. Maklum sahajalah, sejak ku melangkah ke medan perjuangan yang baru, ku jarang berada di rumah untuk bersama mereka. Terkadang mereka berhujung minggu tanpa diriku, berbuka puasa tanpa diriku. Maaf ya sahabat-sahabat sekalian. Maka dengan kesempatan yang ada, kami membuat keputusan untuk berbuka puasa bersama-sama, tambahan lagi keesokan harinya sahabat-sahabat ku ini akan pulang ke kampung masing-masing, tinggalah diriku dan ecah di rumah berdua, alahai sunyilah rumah tanpa yang lain.

Pada mulanya kami hanya ingin berbuka di Anjung Keli sahaja, tetapi lantaran tersilap informasi menyebabkan kami menuju ke Kuala Perlis. Sudah lama rasanya diri ini tidak kesana. Hujan yang amat lebat menyukarkan pergerakan kami. Keselesaan yang optimum juga tidak dapat kami rasai disebabkan keadaan lantai yang basah dan nyamuk yang melampau jumlahnya. Walaubagaimanapun kami bersyukur di atas segala nikmat yang Allah beri ini. Alhamdulillah, aktiviti yang dilakukan bagi mengeratkan lagi ukhuwwah antara kami berjalan dengan baiknya.




Sebelum berbuka



lela, mien dan ct kelaparan..


uda, ecah dan fatta kekenyangan..

Kami syukuri nikmat persahabatan yang diberi ya ALLAH..
Kami syukuri rezeki yang telah Kau beri..
Alhamdulillah..

Saturday, August 22, 2009

Towards Falahain..

Setelah kekangan ditempuhi dengan sabar dan tabah, akhirnya blog ini bernyawa kembali. Lantaran kesibukan menghadiri program, memakmurkan Ramadhan dan juga berjuang menjawab 'test', diri ini amat kesuntukan masa untuk menjengah blog tersayang..

Jumaat yang lepas diri ini diberi peluang oleh Allah yang Maha Penyayang untuk menghadiri kem Towards Falahain yang dianjurkan oleh pihak IMAM. Penyertaan kali ini amatlah sedikit jumlahnya jika nak dibandingkan dengan program KRIS yang lepas, mungkin disebabkan halangan ujian dan juga program ini kebetulan di adakan pada hari pertama Ramadhan maka, penyertaannya kurang memberangsangkan.

Kem kali ini pada pendapatku lebih mencabar dari KRIS sebelum ini. Memandangkan ia hanya diadakan selama 2 hari sahaja, maka pengisiannya lebih kompak dan kompleks. Walaupun begitu, jadualnya sedikit santai lantaran berpuasa. Antara yang pengetahuan yang dikongsi bersama di kem ini ialah berkenaan dengan falsafah jahiliyah yang mempengaruhi pemikiran mahasiswa kini, dakwah islamiyyah dan juga kepentingan organisasi pada umat islam.

Betapa ku kagumi ahli-ahli majlis tertinggi IMAM. Bijak mengurus pengisian, cara penyampaian pengetahuan yang amat membanggakan dan juga terserlah kewibawaan setiap dari mereka. Setiap dari input ku ambil dengan penuh penghayatan. Maklum sahajalah, diri ini baru mula bertatih mencari tapak, maka diri ini sangat teruja dan menghargai apa yang diberi oleh mereka. Semoga diri ini sentiasa istiqimah dalam menimba ilmu ini, sungguh ku takut kerana sesungguhnya hati ini bolak-balik fitrahnya. Sedar atau tidak masih ramai yang tidak mengetahui tentang ideologi-ideologi yang menyerang masarakat dewasa ini. Ideologi seperti Hedonisme, Liberalisme, Sekularisme dan Nasionalisme dibincangkan bersama peserta-peserta. Pelbagai pendapat di kongsi bersama untuk mengaktifkan lagi kotak pemikiran setiap peserta.

Program kali ini meninggalkan kesan yang amat mendalam pada diriku, inilah kali pertama diri ini diamanahkan untuk memberi tazkirah kepada warga muslimat yang menyertai kem ini. Amatlah tidak tenangnya diri ini tatkala diberi tugas yang berat itu. Maklum sahajalah, kekurangan diri amatlah tidak terhitung banyaknya. Namun ku berserah segalanya pada Rabbi, memohon pertolongan ilham darinya, agar diri ini tidak tersalah dalam berkata. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan Allah.

Pada mulanya, ku membincangkan tajuk 'Dugaan' dengan setiap peserta. Sengaja ku pilih topik ini bagi menyedarkan diri ini dan sahabiah-sahabiah yang lain bagi menghadapi setiap dugaam dengan bijak dan sabar. Debaran di hati hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui. Bimbang diri tersalah langkah dalam berbicara. Tazkirah ku akhiri dengan kisah hidupku sendiri dengan niat supaya sahabiah-sahabiah yang lain mengambil iktibar. Semoga banyak pengajaran dikutip dari setiap pengalaman yang ku ceritakan.

Masih banyak yang tidak mampu kucoretkan disini, semoga program berilmiah ini dapat lagi ku ikuti di masa akan datang. Sungguh ku risau jika diri gersang dari ilmu. Terima kasih kepada pihak IMAM kerana menganjur program ini. Sungguh ku amat menghargainya. Kalian ku kagumi kerana kewibawaan dan kesungguhan kalian dalam membentuk generasi kini dan akan datang.



Resolusi..


Taaruf..

Adik syira dan adik mien..

Peserta Towards Falahain dan Fasilitator..

RABBI bantulah diri ini dalam menimba ilmu..

Peliharalah ukhuwwah yang baru ku bina ini...

Sesungguhnya ku menyayangi mereka keranaMU YA ALLAH..

Friday, August 21, 2009

Ahlan wasahlan ya..Ramadhan..

Akhirnya Ramadhan yang dirindui tiba jua. Pelbagai gelagat insan yang ku amati dari sorot pandangan akalku. Ada yang bersiap sedia untuk berterawih di malam yang pertama ini, ada yang sudahpun memikirkan makanan untuk bersahur dan ada juga yang sedang berhempas-pulas menikmati makanan, maklum sahajalah esok sudahpun berpuasa.

Ramadhan ini, sekali lagi ku berpuasa bersama rakan-rakan. Mengenangkan sekarang ku menetap di Perlis, membataskan untuk ku pulang selalu lantaran memikirkan harga tiket yang mahal itu. Tambahan lagi, tidak berbaloi rasanya untuk pulang sekejap sahaja, memandangkan tiada cuti yang panjang di bulan Ramadhan ini. Oleh yang demikian, bermunajatlah ku di bumi perlis ini sehinggalah tiba cuti raya.

Berpuasa di rantauan membuatkan diri ini terasa amat menghargai keluarga di rumah. Teringatkan kenangan-kenangan berbuka puasa dan bersahur bersama mereka. Gelagat adik-adik yang terasa amat menjengkelkan pada waktu itu menjadi kenangan yang amat melucukan kini, sungguh ku amat merindui mereka. Semoga mereka sentiasa di dalam rahmat Allah.

Malam ini bermulalah terawih pertama ku di Masjid UiTM Arau, maklumlah sebelum ini ku dan rakan-rakan hanya ke Masjid Negeri di Arau, lantaran dekatnya lokasi masjid tersebut dengan rumah sewa lamaku. Ramadhan ini amat mengesankan pada diriku, kerana ini Ramadhan pertama yang ku laksanakan dengan diri yang baru, semoga Allah berkati ku..InsyaAllah..

Pada malam ini juga ku akan menghadiri kem Toward Falahain yang dianjurkan oleh pihak IMAM UiTM. Program yang dibatalkan minggu lalu akhirnya dapat dilaksanakan juga. Alhamdulillah, ku terasa tidak sabar untuk mengikuti program ini. Semoga program ini dapat menaikkan lagi semangat ku dalam mempertahankan agama ini. Semoga banyak ilmu dapat ku pelajari di sepanjang program ini. Uniknya program ini dijalankan di dalam bulan Ramadhan. Apa agenda yang disembunyikan oleh pihak IMAM hanya mereka yang tahu. Ku dapat merasakan program kali ini akan memberikan banyak cabaran kepada pesertanya.

Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan lebih banyak amalan sunat. Bulan inilah bulan yang melatih diri untuk mengawal nafsu. Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w.

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
“Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukan pintu-pintu Syurga dan ditutupkan pintu-pintu Neraka lalu diikatkan semua syaitan.”

Sabda baginda dalam hadis yang lain,
“Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada didalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan.”

Antara kelebihan Ramadhan..

1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.
2. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu.
3. Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari siksa api neraka.
4. Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat-solat sunat yang lain.
5. Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al-Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.
6. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada didalam kesusahan dan yang ditimpa kemalangan.
7. Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
8. Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
9. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir.

Ya Allah, betapa ku merindui Ramadhan ini..
Semoga lebih banyak amalan ku hadiahkan kepadamu Rabbi..
Hidup matiku hanya untuk Rabbi..

Thursday, August 20, 2009

Hawa..

Hawa..
Dirimu hiasan duniawi,
Dicipta untuk mewarnai malapnya kehidupan,
Sebagai teman Adam yang kesunyian,
Fitrahmu suci tiada cela,
Namun, dikala usia mu menginjak dewasa,
Pelbagai anasir menyucukmu di setiap penjuru,
Banyaknya kaummu terpedaya,
Dek indahnya dunia, pujukan nafsu dan helahnya Adam durjana,
Banyaknya kaummu tersungkur , tercalar maruah,
Malu bukan lagi pakaianmu,
Semakin pudar kecantikanmu,
Sungguh keadaan mu amat merisaukan...

Hawa..
Kembalilah kalian kepada fitrahmu,
Teladanilah serikandi islam yang pernah menabur bakti kepada deen,
Jangan biar diri terus hanyut dan terleka,
Bentuklah kembali peribadimu,
Hiasilah kembali dirimu dengan akhlak mulia,
Peliharalah setiap yang kau miliki,
Jangan biarkan dirimu menjadi fitnah Adam,
Kerana natijahnya tidak akan mampu kau membayanginya..

Hawa..
Ingatlah..
Seindah perhiasan dunia adalah wanita solehah,
Terpelihara tiada cela,
Fikirkanlah wahai hawa..
Bagaimana kan lahir generasi cemerlang,
Andai acuan tidak sempurna,
Ketahuilah hawa,
Nasib agama dan negaramu bergantung pada dirimu..

Bangkitlah wahai Hawa..
Kerana tangan yang menghayun buai itu,
Mampu jua menggoncang dunia..



Nabi SAW bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita"
(Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

Wednesday, August 19, 2009

Peringatan buat yang lalai..

Malam ini tiba-tiba kami serumah dikejutkan dengan satu bunyi guruh yang amat kuat menggegarkan rumah. Terkesima kami seketika, apakah petanda ini?? Tika bumi di ambang keuzuran, manusia masih lagi leka melunaskan kehendak nafsu mereka. Berasa selesa dengan kesenangan yang sedang mereka nikmati, sedangkan kiamat itu hadir di kala manusia dalam keadaan lalai dan keseronokkan.




Bunyi itu membuat ku beristighfar panjang, tiba-tiba perasaan takut menyelubungi diri. Masih banyak tanggungjawab ku yang masih tidak terlaksana. Masih belum cukup amalan yang dilakukan untuk ku menebus dosa-dosaku. Sedangkan bunyi yang seperti itu pun boleh membuatkan ku tidak keruan, inikan pula hari yang membuatkan setiap hati merasa gelisah, lantaran cemas dan takut akan hari pembalasan.

Allah sentiasa mengingatkan kita akan terjadinya Hari kiamat di dalam ayat-ayatnya di dalam kitab suci Al-Quran. Malah para saintis juga menemukan beberapa penemuan yang membenarkan tentang wujudnya hari kiamat. "Teori pengembangan" yang telah ditemui oleh para saintis barat menemukan bahawa alam semesta ini sentiasa bergerak dan mengembang. Ia mengembang terus-menerus dengan kecepatan yang amat dahsyat. Ini bermakna pengembangan alam semesta ini akan mengakibatkannya meletup pada bila-bila masa sahaja.

Tambahan lagi dengan peringatan dan tanda-tanda yang telah dijelaskan oleh Rasulullah ada yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Sepatutnya manusia itu mempertingkatkan amal dan mempersiapkan diri untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Tetapi sebaliknya pula yang terjadi, mereka seakan lupa yang setiap dari kita ini akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Jarak masa aku diutuskan dengan berlakunya hari kiamat adalah seperti dua jari ini (iaitu jari telunjuk dan jari tengah)".

Antara TANDA-TANDA KIAMAT KECIL berdasarkan hadis ialah:

1. Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b. Malik r.a., katanya,
“Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.”Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.”-Sahih Bukhari

2. Zina bermaharajalela.
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim

3. Bermaharajalela alat muzik.
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.” Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab;”Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah

4. Menghias masjid dan membanggakannya.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” – Riwayat Nasai

5. Munculnya kekejian, memutuskan silaturrahim dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim

6. Ramai orang soleh meninggal dunia.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran -Riwayat Ahmad

7. Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” -Riwayat Thabrani

8. Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya saja.” -Riwayat Ahmad

9. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”

10. Bulan sabit kelihatan besar.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.”- Riwayat Thabrani

11. Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu”- Sahih Muslim

12. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar”- Riwayat Ahmad

13. Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.”- Sahih Muslim

Kita umat akhir zaman, tanda-tanda kecil kiamat ada yang telah berlaku, kini kita hanya menunggu tanda-tanda besar kiamat pula. Apakah tindakan kita seterusnya??Patutkah membiarkan diri terus terleka?? Semoga diriku, rakan-rakan yang mengalami peristiwa malam ini mengambil iktibar.



Ya Allah berilah kekuatan kepada kami dalam menempuhi dugaanMu..

Tuesday, August 18, 2009

Berhati memulakan langkah..

Penglibatan ku di dalam IMAM adalah masih baru lagi. Masih banyak yang perlu ku pelajari dan ku gali didalam pengembaraanku mencari cinta Rabbi. IMAM adalah salah satu medannya. Di sanalah tempatnya ku akan bertemu dengan mereka yang mempertahankan agama yang suci dengan sedaya upayanya. Di medan itulah ku akan memulakan langkah pertamaku. Semoga sahabat-sahabat dapat membantu ku dalam pencarian ku mencari cinta Rabbi ini juga dalam usaha ku untuk bersama-sama mereka mempertahankan agama ini.

Sahabat yang ku kenali kerana takdir Allah, yang juga salah seorang anggota IMAM (senior) menyuntik kata-kata semangat kepadaku. Kata beliau, tetaplah pada jalan yang telah ku pilih ini. Ini kerana IMAM menyimpan satu agenda untuk ahli-ahlinya. Disebalik kelembutan setiap gerak-geri persatuan ini, tersembunyi suatu kekuatan yang tidak dapat digambarkan bagi mereka yang benar-benar mahu menegakkan islam. Senyum lebar ku mendengarnya. Terasa ada semacam perasaan yang hadir. Semangat ku naik dengan tiba-tiba. Rasa bahagia kerana ku tidak salah memilih jalan ini.

Ku di kahabarkan lagi bahawa pergerakan persatuan ini amat di pantau oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar. Sungguh ku pelik dengan situasi ini, mengapa segala aktiviti yang dibuat untuk memantapkan rohani dan ukuhuwwah sesama muslim di remehkan. Ada sahaja syaratnya, yang terkadang jika difikirkan amatlah tidak masuk dek akal. Berlainan pula dengan aktiviti yang berkaitan dengan hiburan, tidak pula ditegah, malah semakin lama semakin berleluasa tanpa pantauan. Natijahnya remaja semakin rosak akhlak, negara semakin mundur disebabkan kurangnya generasi pemangkin ummah.

Jangan pula politik dijadikan alasan. Terkadang pihak atasan seperti takut dengan bayang-bayang sendiri. Sedang pelajar tidak pula berniat ke arah itu. Tidak cukup lagikah isu AUKU diperdebatkan?? Yang mengakibatkan pergerakan dan pemikiran mahasiswa terbatas. Tidakkah mereka tahu remaja yang hebat itu datangnya dari mereka yang mempunyai akhlak yang hebat. Datangnya dari hubungan yang erat dengan Allah, Rasul dan sesama muslim?? Jika aktiviti-aktiviti yang mendatangkan faedah ini disekat, kemanakah hala hendak dituju remaja masa kini??


Seperti yang diperkatakan oleh Sheikh Dr. Fathi Yakan, aktivis pergerakan Islam tersohor di dalam salah sebuah bukunya. Antara cabaran luar yang dihadapi oleh gerakan islam pada zaman ini ialah:

  • Undang-undang yang menekan masyarakat Islam sendiri.
  • Kesan-kesan daripada kurang pengetahuan dalam menghadapi masalah menurut kacamata Islam.
  • Rosaknya para petugas-petugas Islam/negara.

Wallahua'lam..

Ya Allah bantulah diriku semoga sentiasa istiqomah dalam berjuang...Semoga hati ini tetap di atas jalanMU...

--> Sumber daripada Sheikh Dr. Fathi Yakan (penterjemah: Ibnu Ghazali), 2002, Cetakan pertama, Api Kebangkitan Islam dan Cabaran Abad Ke 21, Kuala Lumpur, Jasmin.

Sunday, August 16, 2009

Sujudku..

Sujud terakhirku dikala subuh mengundang peristiwa yang membuatkan ku syukuri betapa nikmatnya dapat menyembah Allah yang Esa. Tiba-tiba ku tedengar bunyi aneh daripada tulang leher ku, ku mengagak urat di leherku telah beralih dari kedudukan asalnya. Sakitnya, hanya Rabbi yang mengetahui. Yang ku risaukan adalah kemampuanku untuk bersujud selepas ini. Penyembuhannya mestilah memakan masa. Dugaan ini membuatkanku amat menghargai nikmat sujud yang telah Allah beri selama ini. Ku berdoa semoga diri ini sembuh secepat yang mungkin.





Sujud merupakan antara rukun solat yang terpenting. Ia disepakati sebagai rukun dengan nas dan jamak. Ulama bersepakat bahawa sujud yang sempurna mestilah dilakukan di atas tujuh anggota. Sekiranya tertinggal mana-mana anggota, solat tidaklah batal. Namun menurut mazhab Syafi'e jika bahagian dahi tidak diletakkan sebetulnya di atas tempat sujud sehingga kira-kiranya berat kepala terletak di atas tempat sujud. Jika keadaan demikian tidak berlaku, wajib mengulangi sujud. Kewajiban untuk sujud di atas tujuh anggota ini berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a yang sahih.

Maksudnya: "Aku diarahkan untuk sujud diatas tujuh anggota sujud: Di atas dahi - dan Nabi s.a.w menunjukkan ke arah dahinya, kedua-dua belah tangan, dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sewaktu sujud, kita diharuskan berdoa untuk memperolehi kebaikan dunia dan akhirat. Demikian pendapat yang lebih tepat dan pegangan mazhab Syafi'e. Manakala doa yang terbaik ialah membaca doa-doa secara berlafaz yang sabit daripada hadis Nabi s.a.w dengan memahami maknanya. Kemudian jika ingin membacakan dalam bahasa ibunda juga harus, tetapi lebih elok jika dibacakan dalam hati sahaja bagi menjauhi khilaf. Imam Syafi'e juga berijtihad agar dibezakan sedikit cara rukuk dan sujud wanita agar tidak meregangkan tangan mereka daripada rusuk kerana bimbang tindakan itu akan menyebabkan aurat wanita terdedah. Ia berdasarkan hadis:

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w melalui dan terlihat orang wanita yang sedang solat, lalu Nabi menegur: Apabila kamu berdua sujud maka hendaklah dirapatkan sebahagian daging ke bumi, kerana wanita tidaklah sama seperti lelaki." (Riwayat al-Bahaiqi, 2/223).

Sujud itu mempunyai hikamahnya tersendiri, antaranya ialah:

1 Melegakan sistem pernafasan (rilieved congestion for breathing).

2 Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

3. Bernafas ketika sujud akan :

  • Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
  • Membetulkan pundi peranakan yang jatuh (prolapsed uterus/fallen band womb)
  • Melegakan sakit hernia.
  • Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
  • Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan ( high parts of the lungs )
  • Mengurangkan kesakitan pada pesakit APPENDIKS @ SPLEEN(limpa)
  • Kedudukkan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.
  • Meringankan bahagian PELVIS.
  • Memberi dorongan untuk mudah tidur .
  • Mengerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud dan bangun darinya.
  • Gerakan otot-otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elastik,secara otomatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation).
  • Bagi wanita, gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar dari sakit buah dada.
  • Mengurangkan kegemukkan (obesity).
  • Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar dari sakit bergelombang perut(convulsions).
  • Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
  • Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan mengejut, terhindarlah penyakit seperti APOPLEXIA RUPTURE OF BLOOD VESSELS DAN ARTE IOSECLEROSIS OF CEREBRUM.

Wallahua'lam..

Ya Allah sembuhkanlah ku..
Sujudku hanya untukMu..Rabbi..

--> Sumber daripada Ust. Zaharuddin Abd. Rahman, 2008, Cetakan pertama, Formula Solat Sempurna, Kuala Lumpur, Telaga Biru.

Saturday, August 15, 2009

Sabtu yang menceriakan..

Pagi-pagi lagi ct dan lela ke Kangar untuk mengambil kad pengenalan ct. Rupa-rupanya ct belum lagi mengambil kad pengenalannya, lantaran terlupa membawa kad pengenalan sementara semalam. Alahai ct, kecuaianmu amat menceriakan hariku. Ku berdoa semoga tabiatmu yang satu itu berkurangan..

Ct bersama kad pengenalan sementaranya..


Alang-alang mereka di Kangar, terus mereka bergegas ke pasar tani untuk membeli bahan untuk dimasak tengah hari. Pulangnya mereka dari pasar, bermulalah episod kami memasak di rumah sewa yang baru ini. Pelbagai gelagat sahabat-sahabat di dapur. Ceria dan amat menggelikan hati. Seakan sudah bersedia untuk disunting lagaknya. Walaupun bermacam masalah yang timbul tatkala memasak, tetapi berkat kesabaran dan kerjasama (lela yang amat memberi jasa), akhirnya semuanya selesai juga. Sedap masakan mereka, TAHNIAH!!

Lauk tengahari (kerang rebus, ikan sambal, sayur tumis air)..


Selesai sahaja makan tengah hari, ku, huda dan ecah bersiap untuk ke changlun. Cadangan asalnya hendak mencari barang di situ. Memandangkan masih awal lagi unutk ke changlun, maka kamipun terus melencong ke Bukit Kayu Hitam. Kawasan zon bebas cukai yang masih belum ku jejaki walaupun sudah hampir 2 tahun bermastautin di bumi Perlis. Syurga coklat, girang sungguh ecah dan uda kerana dapat ke Bukit Kayu Hitam, tambah-tambah lagi uda yang sememangnya dikenali sebagai hantu coklat.

Setibanya di pintu utama ke Bukit Kayu Hitam, kami menyerahkan kad pengenalan untuk di periksa, berdebar juga rasanya, maklumlah kali pertama. Tahap pemeriksaannya juga lebih rumit berbanding dengan Padang Besar. Itu yang membuatkan kami kekok sedikit. The zone Bukit Kayu Hitam ini menjual pelbagai barangan, daripada buatan Malaysia sehinggalah buatan luar negara. Oleh kerana barangannya tidak dikenakan cukai, maka harganya lebih murah berbanding dengan harga di luar sana.



Kawasan-kawasan pemeriksaan sebelum tiba di The Zone Bukit Kayu Hitam..


Seronok betul rasa apabila dapat menjamu mata dengan coklat yang tidak terhitung banyaknya. Ku dan rakan-rakan seakan hilang arah, lantaran sangat teruja melihat coklat. Inilah fitrah perempuan, pantang melihat barang mahal yang menjadi murah. Setelah puas melihat, menenung dan mengambil gambar. Kamipun membeli sedikit coklat untuk dinikmati bersama dengan rakan serumah. Mana mungkin kami lupakan sahabat-sahabat di rumah itu. Selepas itu kami ke bahagian lain untuk melihat-lihat barangan yang lain. Amat menarik, kerana harganya memang murah. Selepas ini bolehlah kami pergi lagi untuk membeli coklat atau barangan yang lain untuk keluarga tersayang pula. Rindu pula diriku pada mama, ayah dan adik-adik di rumah.


Ku dan uda..


Coklat kegemaran yang hanya boleh dijamu dengan mata sahaja..


Kami bertiga yang sentiasa bersama..


Ku bersama ecah..


Kotak coklat yang cantik..


Gambar terbaik..


Selesai membeli-belah di Bukit Kayu Hitam, kami ke Changlun untuk mencari barang. Tetapi kami agak kecewa, lantaran barang yang hendak di cari di situ tiada. Akhirnya kami hanya membeli barang yang dipesan ct sahaja. Sebelum pulang, kami bertiga menikmati makan malam di Marry Brown. Alhamdulillah akhirnya terisi juga hari sabtu ini bersama sahabat-sahabat kesayangan ku ini. Inni uhibbuki fillah..


Di dalam Changlun Mall..


Nasi ayam Marry Brown..


Alahai..cerianya sahabat-sahabatku ini..


Mereka dekat dihatiku..


Ada kisah lewat malam ini..
Sahabatku mien..
Ku risau akan dirimu..
Ya Allah peliharalah sahabat-sahabatku ini..

Friday, August 14, 2009

Andai maut menjemputku..


Andai maut menjemputku,
Ku pohon ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku,
Permudahkanlah urusanku disana,
Izinkanlah ku bertemu denganmu,
Walau kutahu bukan mudah untuk kesyurgamu..

Ya Allah,
Betapa ku ingin melayarkan cintaku,
rinduku hanya padaMu dan RasulMu,
Rabbi,
sanggup kuderita di dunia ini untuk mendapat keredhaanMu,
Tiada yang lebih penting bagiku melainkan cintaMu...

Ya Allah,
Andai ku pergi dahulu sebelum ayahbondaku,
Berikanlah mereka ketabahan dan kesabaran,
Dalam menghadapi kehilanganku,
Bahagiakanlah mereka,
Sejahterakanlah mereka di dunia dan di akhirat,
Kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku..

Ayah..mama,
Maafkanlah anakmu jika tidak sempat membahagiakan kalian,
Jika tidak sempat untuk menafkahkan kalian
menggunakan wang hasil titik peluhku,
Jika tiada lagi disisi untuk membantu kalian,
Jika tiada lagi untuk menyapu air mata kalian,
Betapaku menyayangi kalian..

Ya Allah,
Andai nyawa ini bukan lagi milik jasadku,
Ku merayu bantulah adik-adikku untuk mencari
petunjuk dan hidayahMu,
Betapa diri ini khuatir jika mereka semakin hanyut,
tetapkan hati mereka hanya untuk mu ya Allah..

Adik-adikku,
Jika tiada lagi butir nasihat yang berlagu di telinga kalian,
Maafkanlah kakak mu ini,
Berusahalah untuk berjaya,
Walau pelbagai dugaan datang menghalang,
Jangan jadikan masalah sebagai alasan,
Masih ramai yang lebih malang dari kita,
Cubalah belajar erti kesusahan,
Kerana hidup ini bagaikan roda,
Tidak selalunya kita di atas,
Sentiasalah bersedia untuk diduga Rabbi,
Jadikanlah nasihat ini sebagai panduan..

Andai jasadku terbujur kaku,
Ku memohon kemaafan daripada sahabat-sahabatku,
Sudah sehabis baik ku mencuba untuk menjaga
perkataan dan perbuatanku agar tidak menyakiti kalian,
Sungguh ku hargai ukhuwwah yang terjalin selama ini,
Amat payah untuk diriku meninggalkan kalian..

Sahabat-sahabatku,
Sediakanlah dirimu untuk menemui sang Pencipta,
Jangan biarkan diri kalian hanyut dek pujukan nafsu,
Dikaburi dengan indahnya perhiasan dunia,
Kerana tidak mampu kita berpaling setelah maut menjemput..

Wahai insan-insan yang ku sayangi kerana Allah dan Rasul,
Bantulah agama Rabbi ini,
Sambunglah perjuanganku dalam menegakkan deen ini,
Bantulah insan lain yang sedang bertatih,
Mencari petunjuk Ilahi,
Bersama-samalah memperbaiki diri.

Ya Allah,
Andai janji itu telah tiba,
Ku harap dapat ku temui kembali insan-insan yang kusayangi,
Di negeri abadi yang indah mewangi,
Betapa tidak sanggupku hadapi,
Jika salah seorang dari kami,
tersungkur di lembah hina..

Kabulkanlah Ya Allah...

Towards Falahain dibatalkan..

Lewat petang tadi, mama menghubungi ku, mama mengadu tentang bibikku yang seorang itu. Katanya mama baru menegur bibik yang semakin hari kelihatannnya semakin memeningkan kepala. Setelah ditegur mama, barulah dia berubah sedikit. Alahai manusia, jika tidak dinasihati, maka makin hitamlah seketul daging yang bernama hati itu. Begitulah juga kes bibik ku yang seorang ni. Mungkin lama tidak ditegur membuatkan dia lalai daripada melakukan tugasnya.

Sepatutnya hari ini diriku menghadiri kem Towards Falahain yang dianjurkan oleh pihak IMAM UiTM. Tetapi setelah ku bersiap-siap untuk ke masjid, satu pesanan ringkas telah ku dapati daripada salah seorang anggota tertinggi IMAM yang mengatakan kem itu dibatalkan, atas sebab pihak Jabatan Kesihatan mengarahkan semua program di UiTM dibatalkan, ekoran kes H1N1 yang semakin kronik. Agak terkilan juga diriku, tetapi tidak mengapalah. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Allah lebih mengetahui.

Oleh yang demikian, ku bersama rakan serumah yang lain terus bergegas ke pasar malam arau untuk membeli makanan malam. Setelah selesai pembelian, ku dan rakan-rakan terus ke rumah mak andak untuk bertemu fatta, ada sesuatu yang ku belikan untuk menyejukkan hatinya. Tambahan lagi betapa diri ini merindui mak andak sekeluarga, membuatkan diri ini tidak sabar untuk bertemu mereka. Kasihan sahabatku yang seorang itu, hari ini beliau disaman dengan pihak JPJ lantaran tidak memasang pelekat 'P' di kereta. Nasib baik mak andak bertindak sebagai penyelamat. Mak andak membuat keputusan ingin membayar saman beliau, maka selesailah masalah beliau. Murah rezeki mu sahabatku. Bertuahnya dirimu kerana mendapat saudara yang sebegitu.

Sahabatku yang dilanda kecewa..


Ya Allah permudahkanlah urusan kami..

Thursday, August 13, 2009

Rezekiku...

Panggilan telefon dari mama sebentar tadi melegakan hatiku. Penantianku telahpun terjawab. Terasa zikir kesyukuran memenuhi segenap ruang diriku, terasa diri ini begitu dekat dengan Allah. Ya Allah, ya Rabbi...sangat besar nikmat yang telah Kau beri padaku. Masih juga Kau sayang padaku, walaupun telah banyak diri ini mengecewakanMu.

Diriku adalah salah seorang penerima biasiswa PROTON. Diriku adalah antara 10 yang bertuah daripada beratus pemohonnya. Mengenangkan kembali peristiwa ku ditemuduga oleh pihak PROTON membuatkan ku hanya pasrah dengan keputusan yang bakal ku perolehi. Maklum sahajalah, lebih ramai yang lebih layak dari diriku.

Rezeki yang Allah beri ini hadir di saat diriku amat-amat memerlukannya. Air mata kesyukuran tumpah buat kesekian kalinya. Amat syahdu kurniaan Allah ini. Masih lagi kuterasa seperti di alam mimpi. Terima kasih ya Allah kerana memakbulkan doaku..

Semoga diriku bijak membelanjakan wang ini..
Betapa Allah membantu diriku untukku membantu orang lain..
Terima kasih kepada mereka yang menyumbang doa buat diriku..
Inilah hadiah untuk kalian...

Wednesday, August 12, 2009

Hilangnya sebutir permata...

Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kematian Ustaz Asri Rabbani yang terkenal dengan kelunakkan suaranya apabila mendedangkan nasyid dan zikir. Beliau dikhabarkan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pantai. Sebelum itu, Allahyarham pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri. Pemergiannya secara mengejut menyentap setiap insan yang mengenali dirinya. Beliau dikenali sebagai seorang yang amat tenang perwatakannya, sering menjadi rujukan rakan-rakannya disebabkan kewarakkan dan kepandaian beliau di dalam bidang agama.

Tiada siapa menyangka beliau akan pergi secepat ini, hari-hari sebelum detik pemergiannya tiada tanda yang menunjukkan beliau akan pergi selamanya. Islam telah kehilangan sebutir permata, semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah. Sesungguhnya janji Allah itu benar, siapalah kita untuk menahannya. Maut pasti menjemput walau dalam keadaan apapun kita, tiada tangguhan, tidak juga dipercepatkan.

Usrah dan kepentingannya..


Sewaktu mengikuti KRIS yang lalu, satu ceramah tentang usrah dan juga kepentingannya telah di beri kepada para peserta. Usrah berasal dari perkataan arab yang bermaksud keluarga. Ia merupakan satu medan pembentukan yakni penekanan dan perbincangan di atas semangat ukhuwwah al-islamiyah.

Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Dengan penekanan ini akan terlahirlah semangat juang dan ketahanan secara berjemaah.

Usrah mempunyai rukunnya tersendiri. Rukun yang pertama ialah Taaruf. Ia membawa makna perkenalan. Rukun ini mengajak kita mengenali siapa rakan seusrah kita. Mengambil berat dan mengambil tahu apa kecintaan dan kebencian beliau supaya mudah untuk kita berbincang dan memberi pendapat. Tambahan lagi kita tahu bahawa rakan seusrah ini sudah seperti ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang hubungan berlandaskan akidah ini lebih rapat dari hubungan kita dengan keluarga sendiri, memandangkan kita mempunyai matlamat yang sama.

Rukun yang kedua pula Tafahum yakni saling memahami. Memahami tabiat rakan seusrah kita dan juga menerima beliau seadanya. Rukun yang ketiga pula Takaful iaitu lengkap-melengkapi. Pada rukun inilah rakan-rakan seurah sama-sama membantu dalam usaha untuk mencapai kejayaan duniawi mahupun ukhrawi. Dengan jemaah sahaja Islam akan berjaya.

Usrah adalah satu agenda yang cukup praktikal diketengahkan kepada mahasiswa kerana mempunyai kepentingan dan manfaat yang cukup besar kepada kita. antaranya ialah:

1. Mewujudkan Suasana Ukhuwwah Fillah
Pertemuan usrah bukanlah hanya pertemuan ilmiah, tetapi boleh diambil peluang untuk mewujudkan suasana ukhuwwah fillah dengan banyak mendalami latar belakang sahabat dan meningkatkan rasa tanggungjawab dan kasih-sayang di antara satu sama lain.

2. Meningkatkan daya intelektual dan sensitiviti mahasiswa islam
Hasil munaqashah (perbincangan) bersama yang wujud di kalangan sahabat seusrah akan membuahkan satu input yang boleh diterjemahkan kepada masyarakat pada suatu hari nanti dan sekaligus menjauhkan perasaan lagho dan sia-sia yang sentiasa menyerang hati pemuda islam.

3. Melahirkan suasana nasihat-menasihati serta hormat-menghormati
Sesunguhnya agama itu adalah nasihat-menasihati. Sebagai pelajar islam, penyerapan tarbiyah adalah satu sistem yang penting dan sesungguhnya, kita sebagai hamba Allah tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Oleh hal yang demikian medan usrah adalah suatu tempat ideal untuk kita bermuahasabah di antara satu sama lain.

4. Menyemai sifat da'ie (pendakwah)
Hasil munaqashah bersama sahabat sedikit sebanyak meberi kesan yang baik dalam mencungkil bakat yang sedia ada di dalam diri azhari, seperti berceramah, memberi kuliyah, pidato dan memberi sikap berani apabila berhadapan dengan mad'u.

wallahua'lam..

--> Sumber daripada nota 'usrah dan kepentingannya', IMAM.