Friday, August 21, 2009

Ahlan wasahlan ya..Ramadhan..

Akhirnya Ramadhan yang dirindui tiba jua. Pelbagai gelagat insan yang ku amati dari sorot pandangan akalku. Ada yang bersiap sedia untuk berterawih di malam yang pertama ini, ada yang sudahpun memikirkan makanan untuk bersahur dan ada juga yang sedang berhempas-pulas menikmati makanan, maklum sahajalah esok sudahpun berpuasa.

Ramadhan ini, sekali lagi ku berpuasa bersama rakan-rakan. Mengenangkan sekarang ku menetap di Perlis, membataskan untuk ku pulang selalu lantaran memikirkan harga tiket yang mahal itu. Tambahan lagi, tidak berbaloi rasanya untuk pulang sekejap sahaja, memandangkan tiada cuti yang panjang di bulan Ramadhan ini. Oleh yang demikian, bermunajatlah ku di bumi perlis ini sehinggalah tiba cuti raya.

Berpuasa di rantauan membuatkan diri ini terasa amat menghargai keluarga di rumah. Teringatkan kenangan-kenangan berbuka puasa dan bersahur bersama mereka. Gelagat adik-adik yang terasa amat menjengkelkan pada waktu itu menjadi kenangan yang amat melucukan kini, sungguh ku amat merindui mereka. Semoga mereka sentiasa di dalam rahmat Allah.

Malam ini bermulalah terawih pertama ku di Masjid UiTM Arau, maklumlah sebelum ini ku dan rakan-rakan hanya ke Masjid Negeri di Arau, lantaran dekatnya lokasi masjid tersebut dengan rumah sewa lamaku. Ramadhan ini amat mengesankan pada diriku, kerana ini Ramadhan pertama yang ku laksanakan dengan diri yang baru, semoga Allah berkati ku..InsyaAllah..

Pada malam ini juga ku akan menghadiri kem Toward Falahain yang dianjurkan oleh pihak IMAM UiTM. Program yang dibatalkan minggu lalu akhirnya dapat dilaksanakan juga. Alhamdulillah, ku terasa tidak sabar untuk mengikuti program ini. Semoga program ini dapat menaikkan lagi semangat ku dalam mempertahankan agama ini. Semoga banyak ilmu dapat ku pelajari di sepanjang program ini. Uniknya program ini dijalankan di dalam bulan Ramadhan. Apa agenda yang disembunyikan oleh pihak IMAM hanya mereka yang tahu. Ku dapat merasakan program kali ini akan memberikan banyak cabaran kepada pesertanya.

Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan lebih banyak amalan sunat. Bulan inilah bulan yang melatih diri untuk mengawal nafsu. Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w.

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
“Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukan pintu-pintu Syurga dan ditutupkan pintu-pintu Neraka lalu diikatkan semua syaitan.”

Sabda baginda dalam hadis yang lain,
“Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada didalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan.”

Antara kelebihan Ramadhan..

1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.
2. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu.
3. Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari siksa api neraka.
4. Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat-solat sunat yang lain.
5. Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al-Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.
6. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada didalam kesusahan dan yang ditimpa kemalangan.
7. Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
8. Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
9. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir.

Ya Allah, betapa ku merindui Ramadhan ini..
Semoga lebih banyak amalan ku hadiahkan kepadamu Rabbi..
Hidup matiku hanya untuk Rabbi..

No comments:

Post a Comment