Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Wednesday, August 15, 2012

Dia yang bergelar suami




Benarlah Ramadhan ini bulan tarbiyyah, bulan berjuta nikmat dan keberkatan. Beberapa hari yang lalu, diri ini telah diuji Allah. Kunjungan yang pada mulanya harmoni di keruhkan dengan kehendak nafsu. Ya, iblis dan syaitan di rantai, namun manusia yang hina tetap tidak mampu mengawal nafsu kehendak dan amarah. Jika tidak dihentikan zauj, mungkin perbalahan akan menjadi lebih rumit. Rasa hormat akan sirna, menerbitkan rasa benci dan putus asa. 

Zauj bertindak penyelamat merangkul bahu yang kecil ini disaat puncak perbincangan. Tidak cukup sekadar itu, di ‘brain wash’ habis-habisan di dalam kereta. Amat terkesan dengan tegurannya “Sayang isteri saya, walau siapapun sayang di mata orang lain, sayang tetap tanggungjawab saya”. Terdiam membatu saat dia meluahkan kekesalannya. “Walau apa pun terjadi, jangan kita aibkan diri kita” sambungnya lagi. Di saat tangisan ku semakin kuat kerana teguran kerasnya, dia terus memujuk “Istighfar sayang, istighfar, saya sayang sangat pada isteri saya ni, saya tahu sayang tabah, namun perbalahan bukan penyelesaian masalah, Ramadhan ini bulan baik, jangan dicemar kesuciannya, saya minta maaf andai ada mengguris perasaan sayang” tenang suaranya sambil mengusap-usap kepalaku. 

Segala puji hanya bagi Allah dikurniakan pemimpin yang menenangkan jiwa. Terima kasih Allah kerana menganugerahkan suami yang menjadi pendorong di kala ku jatuh, menjadi penegur di kala hambaMu ini leka dan lalai. Semoga zauji redha dengan segala kekurangan diri ini dan bersyukur dengan kelebihan ku. Terima kasih sayang kerana mengetuk hati dengan rotan nasihat tempoh hari. Dirimu adalah antara anugerah terindah yang dianugerahkan Allah kepada ku.

Teringat perbualan semalam:

Saya: Sayang, kalau saya dijemput Allah dulu, sayang menikah lagi ya.
Zauj: Andai dengan hidup seorang lebih mendekatkan diri saya dengan Allah, lebih baik saya sendiri.
Saya: Hmmm.. (terus tukar topik.. :))

Semoga Allah meneguhkan iman Azharuddin, mengampunkan dosanya, menerima amalannya, memudahkan urusannya ke syurga. Semoga Allah menganugerahkannya mahkota kesabaran dan ketabahan dalam mengharungi alam rumah tangga bersama saya dan zuriat keturunannya.. 

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur".
(Al-A'raaf 7:189)


Monday, July 23, 2012

Bulan Limpahan Rahmat



Pernikahan adalah suatu hubungan yang suci mengikat dua jantina yang berlainan sifat dan kehendak. Fitrahnya rumah tangga itu tiada yang sempurna, namun kemanisan mengharunginya menjadikan hubungan suci ini tampak sempurna. Hubungan yang tidak bersandarkan cinta kepada Pencipta akan mewujudkan institusi kekeluargaan yang hambar, penuh kelalaian lalu menjurus kebinasaan, umpama pohon yang batangnya kelihatan ampuh fizikalnya namun lompong isinya dek di serang anai-anai secara tersembunyi. 

Suami umpama CEO manakala isteri adalah setiausahanya, setia dan berusaha membantu dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Anak adalah amanah Allah yang amat besar, diletakkan nyawa di dalam rahim isteri bukan dengan sia-sia. Allah seakan- akan memberi amaran kepada kita supaya mendidiknya menjadi khalifah di bumiNya.  Tersilap acuan akan merundumkan masa depan islam. Sesungguhnya kitalah yang rugi jika islam bukan lagi kebanggaan di masa hadapan.

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

“Katakanlah sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka di hari kiamat kelak. Dan ingatlah yang demikian itulah kerugian yang nyata” Surah Az-Zumar ayat 15.

Imarahkanlah isi rumah dengan surat cinta dari Illahi dan pesanan dari kekasih Pencipta yakni Rasulullah s.a.w agar hati-hati yang berada di dalamnya tenang, damai, dipenuhi rasa kehambaan dan cinta kepadaNya. Lontarkan tutur kata yang enak untuk halwa telinga, serlahkan peribadi acuan Al-Quran agar akhlak yang mulia menjadi cermin peribadi. Jika baik akar nya maka baiklah pohonnya.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah daripada Allah kepada kita, kita sering teruja dengan potongan harga pada barangan-barangan di “shopping mall’ tika berlangsungnya “year end sales”, namun hati kita kurang teruja dengan bulan Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambaNya. Sedikit amalan namun gandaannya lebih pada bulan barakah ini. Wahai hamba Allah terutamanya pasangan suami isteri yang ditakdirkan Allah untuk bersama, mari kita tingkatkan kualiti ibadah kita, lahirkan rasa syukur dengan rasa kehambaan kepadaNya. Bukankah indah bertadarus dan berjemaah bersama, bertahajjud bersama usai sahur? Terlalu banyak nikmat yang telah diberiNya kepada kita, maka layakkah kita mengkufuriNya? Tepuk dada tanyalah imanmu wahai para hamba Allah.

Wednesday, September 16, 2009

Kepulangan..

Tiba jua hari yang dinanti, sejak hari pertama Ramadhan, diri ini belum lagi menjejakkan kaki ke rumah bertemu keluarga yang tercinta. Tepat jam 9.30 malam ini bermulalah perjalanan ku pulang ke rumahku syurgaku di Shah Alam. Sudah ku membayangkan suasana hiruk-pikuk di stesen bas Kangar. Maklum sahajalah masing-masing membeli tiket awal untuk pulang beraya.


Perkhidmatan bas tambahan juga terpaksa ditambah, lantaran ramainya perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Apa yang dirisaukan adalah keselamatan tika perjalanan pulang ini. Kebiasaannya, di musim perayaan inilah pelbagai tragedi tragis yang akan terjadi, seperti yang terpampang di dada-dada akhbar pada tahun-tahun yang lepas. Kecuaian pengguna jalan-raya, ditambah lagi dengan keterujaan untuk pulang ke kampung yang membuatkan pemandu dan juga pembonceng meningkatkan kelajuan untuk cepat sampai ke rumah, membuat mereka lupa akan keselamatan diri masing-masing.


Semoga perjalanan ku dan sahabiah sekalian pada malam ini di dalam lindungan Allah. Perasaan risau ku usir jauh, berserah kepada Allah di samping doa yang tidak putus kupanjatkan kepadaNya. Andai sudah ditentukanNya Ramadhan ini adalah yang terakhir, ku berharap agar diri ini tidak tersungkur di lembah kehinaan. Ku berharap agar segala dosa-dosaku diampunkanNya dan amalan-amalan ku diterimaNya.

Kepada pemandu-pemandu dan pembonceng-pembonceng sekalian, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah secara berhemah. Jangan dek kecuaian kita, kesengsaraannya ditanggung oleh pihak lain yang tidak berdosa. Timbanglah amal sebelum membuat keputusan di luar kewarasan akal fikiran, berdoalah semoga dilindungi Allah.

Ramadhan masih berbaki. Masih ada masa untuk kita menambah amal ibadat kepada Rabbi. Jangan kerana kesibukan menyediakan persiapan hari raya, kita menjadi leka lalu mengabaikan Ramadhan yang tercinta. Tangisilah pemergian bulan rahmat, bulan pengampunan ini.


Ya Allah, semoga diri ini selamat pulang kepangkuan keluarga..
Rindunya diriku ingin mengucup tangan ayahanda bonda ku..

Wednesday, September 9, 2009

Dinihari yang dinanti

Ramadhan kian melabuhkan tirainya, berhembus udara syahdu di setiap nafasku, menahan sebak tika memikirkan bulan rahmat yang bakal pergi. Sungguh masa itu sangat cepat berlalu pergi, tanpa sedikitpun simpati diberi kepadaku yang amat menyintai bulan barakah ini. Hanya tinggal 10 hari sahaja lagi sebelum Syawal menjelma menggantikan bulan pengampunan. Perasaan bercampur baur ketika ini, masih sempatkah untukku menghabiskan sisa waktu ini dengan ibadat-ibadat tambahan? Lantaran kekangan masa yang terkadang membuat diri terpaksa melepaskan peluang untuk mengimarahkan bulan ini.

10 malam terakhir inilah sepatutnya umat islam berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadat-ibadat sunat. Masakan tidak, di waktu kebanyakan saudara seakidahku diduga dengan menyediakan persiapan untuk menyambut Syawal, Allah menghadiahkan dengan malam yang tersangat istimewa, yang tidak dapat menandingi malam-malam yang lain, malam seribu bulan. Tetapi, adakah semua saudara ku itu menyedari akan ruginya jika terlepas malam yang istimewa itu. Apalah salahnya jika berkorban sedikit masa bermunajat kepada Rabbi di sepertiga malam. Tidak pernah terfikirkah betapa ruginya diri, dosa yang melaut tidak ditebusi, malah makin lama makin bertambah pula. Berapa lah sangat masa yang diluangkan untuk bersama Rabbi jika nak dibandingkan dengan umur yang telah kita habiskan.

Jangan terlalu bertenang wahai saudaraku, sedarkah kita yang maut itu sentiasa menjenguk. Tiada siapa yang dapat mengagak akan adakah lagi Ramadhan untuk kita di tahun hadapan. Maka, apakah persediaan kita untuk menghadap Rabbi andai peluang yang diberi langsung tidak kita rebuti. Ku sendiri resah memikirkan, mampukah diri ini menghabiskan sisa-sisa waktu ini sebaiknya. Bimbang diri akan terlepas peluang ini, sayu..Ku hanya mampu berdoa, mengharapkan supaya Allah memberi peluang untuk diriku. Ku tahu setiap yang terjadi adalah yang terbaik untuk diriku, ada hikmah disebaliknya.



Bermaksud:
[1]Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Lailatul Qadar berlaku setiap tahun, bukannya hanya pada ketika ia diwahyukan atau tahun ayat itu diturunkan sahaja. Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan. Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling rajih (absah). Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Amalan yang mesti dilakukan pada malam ini ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa.

Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:
1. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr.
2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa
setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang
setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.
3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.
4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa.
6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin
semata.

--> Sumber daripada Dr. Amini Amir Abdullah Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Lailatul Qadr: Kepentingan dan Penghayatannya, Kursus Induksi Pegawai Sokongan Universiti Putra Malaysia, 17 Oktober 2006, Residence Hotel, UNITEN, 8.30am.

Andai malam itu tidak dapat kutemui, ku redha ya Allah..
Pengharapan yang amat tinggi ku panjatkan kepadamu Rabbi..
Moga peluang itu milikku..

Friday, August 21, 2009

Ahlan wasahlan ya..Ramadhan..

Akhirnya Ramadhan yang dirindui tiba jua. Pelbagai gelagat insan yang ku amati dari sorot pandangan akalku. Ada yang bersiap sedia untuk berterawih di malam yang pertama ini, ada yang sudahpun memikirkan makanan untuk bersahur dan ada juga yang sedang berhempas-pulas menikmati makanan, maklum sahajalah esok sudahpun berpuasa.

Ramadhan ini, sekali lagi ku berpuasa bersama rakan-rakan. Mengenangkan sekarang ku menetap di Perlis, membataskan untuk ku pulang selalu lantaran memikirkan harga tiket yang mahal itu. Tambahan lagi, tidak berbaloi rasanya untuk pulang sekejap sahaja, memandangkan tiada cuti yang panjang di bulan Ramadhan ini. Oleh yang demikian, bermunajatlah ku di bumi perlis ini sehinggalah tiba cuti raya.

Berpuasa di rantauan membuatkan diri ini terasa amat menghargai keluarga di rumah. Teringatkan kenangan-kenangan berbuka puasa dan bersahur bersama mereka. Gelagat adik-adik yang terasa amat menjengkelkan pada waktu itu menjadi kenangan yang amat melucukan kini, sungguh ku amat merindui mereka. Semoga mereka sentiasa di dalam rahmat Allah.

Malam ini bermulalah terawih pertama ku di Masjid UiTM Arau, maklumlah sebelum ini ku dan rakan-rakan hanya ke Masjid Negeri di Arau, lantaran dekatnya lokasi masjid tersebut dengan rumah sewa lamaku. Ramadhan ini amat mengesankan pada diriku, kerana ini Ramadhan pertama yang ku laksanakan dengan diri yang baru, semoga Allah berkati ku..InsyaAllah..

Pada malam ini juga ku akan menghadiri kem Toward Falahain yang dianjurkan oleh pihak IMAM UiTM. Program yang dibatalkan minggu lalu akhirnya dapat dilaksanakan juga. Alhamdulillah, ku terasa tidak sabar untuk mengikuti program ini. Semoga program ini dapat menaikkan lagi semangat ku dalam mempertahankan agama ini. Semoga banyak ilmu dapat ku pelajari di sepanjang program ini. Uniknya program ini dijalankan di dalam bulan Ramadhan. Apa agenda yang disembunyikan oleh pihak IMAM hanya mereka yang tahu. Ku dapat merasakan program kali ini akan memberikan banyak cabaran kepada pesertanya.

Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan lebih banyak amalan sunat. Bulan inilah bulan yang melatih diri untuk mengawal nafsu. Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w.

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud,
“Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukan pintu-pintu Syurga dan ditutupkan pintu-pintu Neraka lalu diikatkan semua syaitan.”

Sabda baginda dalam hadis yang lain,
“Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada didalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan.”

Antara kelebihan Ramadhan..

1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.
2. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu.
3. Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari siksa api neraka.
4. Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat-solat sunat yang lain.
5. Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al-Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.
6. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada didalam kesusahan dan yang ditimpa kemalangan.
7. Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
8. Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
9. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir.

Ya Allah, betapa ku merindui Ramadhan ini..
Semoga lebih banyak amalan ku hadiahkan kepadamu Rabbi..
Hidup matiku hanya untuk Rabbi..