Wednesday, September 16, 2009

Kepulangan..

Tiba jua hari yang dinanti, sejak hari pertama Ramadhan, diri ini belum lagi menjejakkan kaki ke rumah bertemu keluarga yang tercinta. Tepat jam 9.30 malam ini bermulalah perjalanan ku pulang ke rumahku syurgaku di Shah Alam. Sudah ku membayangkan suasana hiruk-pikuk di stesen bas Kangar. Maklum sahajalah masing-masing membeli tiket awal untuk pulang beraya.


Perkhidmatan bas tambahan juga terpaksa ditambah, lantaran ramainya perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Apa yang dirisaukan adalah keselamatan tika perjalanan pulang ini. Kebiasaannya, di musim perayaan inilah pelbagai tragedi tragis yang akan terjadi, seperti yang terpampang di dada-dada akhbar pada tahun-tahun yang lepas. Kecuaian pengguna jalan-raya, ditambah lagi dengan keterujaan untuk pulang ke kampung yang membuatkan pemandu dan juga pembonceng meningkatkan kelajuan untuk cepat sampai ke rumah, membuat mereka lupa akan keselamatan diri masing-masing.


Semoga perjalanan ku dan sahabiah sekalian pada malam ini di dalam lindungan Allah. Perasaan risau ku usir jauh, berserah kepada Allah di samping doa yang tidak putus kupanjatkan kepadaNya. Andai sudah ditentukanNya Ramadhan ini adalah yang terakhir, ku berharap agar diri ini tidak tersungkur di lembah kehinaan. Ku berharap agar segala dosa-dosaku diampunkanNya dan amalan-amalan ku diterimaNya.

Kepada pemandu-pemandu dan pembonceng-pembonceng sekalian, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah secara berhemah. Jangan dek kecuaian kita, kesengsaraannya ditanggung oleh pihak lain yang tidak berdosa. Timbanglah amal sebelum membuat keputusan di luar kewarasan akal fikiran, berdoalah semoga dilindungi Allah.

Ramadhan masih berbaki. Masih ada masa untuk kita menambah amal ibadat kepada Rabbi. Jangan kerana kesibukan menyediakan persiapan hari raya, kita menjadi leka lalu mengabaikan Ramadhan yang tercinta. Tangisilah pemergian bulan rahmat, bulan pengampunan ini.


Ya Allah, semoga diri ini selamat pulang kepangkuan keluarga..
Rindunya diriku ingin mengucup tangan ayahanda bonda ku..

No comments:

Post a Comment