Sunday, September 6, 2009

Sejuta pernghargaan..

Malam ini mak andak diberi tugas untuk memberi ceramah di kolej Teja, UiTM. Sungguh ku terharu dan tersangatlah gembira kerana mak andak sudi menjadi lilin pembakar diri buat ku dan rakan-rakan yang ketandusan teguran dan nasihat. Syukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk mendengar butir nasihat dari mulut mak andak sendiri, maklum sahajalah ini adalah kali pertama mak andak memberi ceramah di hadapan kami.

Pelbagai tajuk yang dikupas oleh mak andak pada malam ini. Khasnya tajuk masa. Mak andak mengatakan memanglah seminggu ada tujuh hari, tetapi ulamak mentafsirkan hari itu hanya ada lima sahaja. Yakni hari semalam, hari ini, hari esok, hari kematian dan hari akhirat. Kesemuanya dikupas dengan berhikmah. Supaya mudah terkesan di setiap hati pendengarnya.
Isu gejala sosial remaja kini juga diselit di celah-celah butir ceramahnya.

Seperti yang kita lihat, walaupun Ramadhan sudah melabuhkan separuh dari tirainya, namun masih ramai remaja yang tiada kesedaran untuk merebut peluang mengumpul pahala sebanyaknya dan merintih dosa yang banyak bagaikan buih di lautan yang tidak bertepi. Sungguh rugi mereka yang lalai dan leka, sedang Ramadhan itu bulan rahmat, bulan pengampunan malah bulan yang membantu kita melepaskan diri daripada azab seksaan neraka jahannam.

Sedih memikirkan nasib islam masa kini. Betapa kurangnya remaja berkualiti yang bakal menyambung perjuangan para Nabi dan sahabat. Kadang-kadang jauh ku memikirkan bagaimana pula nasib dan cabaran yang bakal ditempuhi generasi akan datang, lantaran kegemilangan itu tidak dibentuk dari sekarang. Lihat sahaja saf di masjid tika solat subuh, amat mengecewakan. Sangat mudah musuh untuk menyerang umat islam pada waktu subuh begini, lantaran enaknya pemuda diulit mimpi, bermalas-malasan di tilam yang empuk.

Wahai remaja, bangkitlah!! Ada tugas yang belum selesai, ada perjuangan yang perlu kita teruskan. Kejayaan kini adalah kejayaan masa hadapan. Lupakah kita yang islam pernah gemilang?? dan ia akan kembali gemilang. Janganlah kita hanya berpeluk tubuh, duduk dalam kondisi yang bertenang. Bagaimana islam hendak bangkit jika tiada usaha ke arah itu. Ku seru dengan sepenuh jiwa dan ragaku kepada hati-hati saudara seakidah ku, ayuhlah bangkit memperjuangkan deen ini..


Mak andak memberi ceramah..


Limpahkanlah rahmatMu kepada guru-guru kami ya Allah..
Berkatilah setiap ilmu yang telah mereka curahkan kepadaku..
Hanya Engkau yang mampu membalas jasa mereka..
Ya Allah yang Maha Penyayang..

No comments:

Post a Comment