Tuesday, September 6, 2011

PERMATA DUNIA KURNIAAN ILLAHI

Permata dunia kurniaan Illahi,
Cintanya kepada Illahi melangkaui cintanya kepada manusia,
Tulus hatinya dipenuhi rasa kasih dan sayang kepada seluruh alam,
Hening matanya berzikir di dalam hati,
Memecah tembok-tembok mazmumah.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Menenangkan hati, mententeramkan jiwa,
Menyambung zuriat, meramaikan ummah,
Mencorak masa depan generasi,
Bersama menuju syurga yang abadi.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Mendambakan pertemuan dengan Penciptanya,
Mengidam rasa tenang diselimuti rahmat Illahi,
Menepis asakan ke lembah hina neraka,
Menggenggam erat tangan-tangan yang lain menuju redhaNya.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Dialah jua permata syurga penghulu bidadari,
Yang jeli matanya,
Yang ayu simpuhnya,
Yang harum aromanya,
Yang teguh imannya….









Operasi Pembunuhan Akal dan Iman

Menari-nari sekalian angkatan syaitan melihat umat manusia disumbat akalnya dengan kisah-kisah mistik dan seram yang tidak terkawal dewasa ini. Jenuh memikirkan di mana rasionalnya pihak yang membenarkan filem-filem dan drama-drama seperti ini di lambakkan di media-media penyiaran. Aneh pemikiran manusia, keuntungan dunia dikejar berbalaskan keruntuhan akhlak dan nilai kerohanian.

Amat sedikit insan yang sudi menggunakan bakat yang mereka ada untuk menyedarkan manusia, sekaligus menempah saham akhirat yang tidak putus-putus disebabkan natijah filem-filem/drama-drama yang mereka hasilkan. Paling menyedihkan mereka yang islam meranapkan lagi iman saudara mereka sendiri. Tidakkah mereka sedar media-media massa adalah senjata yang paling ampuh untuk mempengaruhi akal manusia? Kini islam dipandang hina dan sepi dek mereka yang tidak memahami. Sudahlah berita-berita muttakhir memaparkan keganasan dan pemberontakan islam, ditambah pula filem/drama yang menjelekkan lagi imej islam itu sendiri. Sehinggakan yang menganuti islam lupa akan landasan mereka yang betul, terhoyong-hayang mengikuti contoh yang bercampur aduk syariat dan maksiatnya. Sehinggakan mereka lupa haq dan batilnya.

Begitulah media telah mempengaruhi segenap ruang akal manusia. Teringat suatu masa dulu, setiap yang menonton filem/drama seperti Ketika Cinta Bertasbih, Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih merasai indahnya cinta berlandaskan islam, indahnya berpoligami, indahnya hidup bersyariat. Namun kini perasaan itu seakan dilanda tsunami setelah beberapa filem/drama/berita yang ditayangkan memaparkan jeleknya akhlak seorang ustaz/ustazah, payahnya berpoligami, sulitnya mengikut sunnah nabi dan pelbagai lagi sifat antagonis yang diberi kepada seorang insan yang beragama islam. Lebih memualkan lagi kisah-kisah ini di cipta sendiri oleh tangan-tangan mereka yang mengakui mereka adalah islam dan berpakaian seorang muslim.

Keadaan terlalu menekan kini, apabila ditegur tidak pula berlapang dada hamburan diberi seperti lagak seorang yang tidak berpelajaran. Benarlah sabda Rasulullah..mengenggam bara api di akhir zaman bukan mudah..Kembalilah kepada fitrah, kita adalah sebaik-baik umat yang dicipta Allah, kerana kita adalah umat yang disuruh berdakwah dan mengajak orang lain mengenal Allah sekaligus mengenal islam..Lupakah kita Nabi-nabi terdahulu tidak dibenarkan berdakwah? Pengetahuan iman hanya untuk diri mereka sendiri, tidak seperti Rasul-rasul, tugas mereka adalah berdakwah, mengenalkan Pencipta kepada seluruh umatnya. Kita umat akhir zaman juga begitu, disuruh berdakwah kepada manusia, menyambung risalah Rasulullah, kerana tiada lagi Rasul/Nabi selepas umat Nabi Muhammad S.A.W…fikir-fikirkan..

Firman Allah S.W.T:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (A-li'Imraan 3:104)