Wednesday, September 30, 2009

Persoalan??

Niat ku pada hari ini ingin ke Kangar untuk mencari barang. Memandangkan Fatta dan Hannan mempunyai tujuan yang sama, ku terus membuat keputusan untuk mengikut mereka sahaja. Dikala Hannan ingin mengambil gambar di sebuah kedai gambar di bandar Kangar, kami diajukan beberapa soalan oleh pemilik kedai gambar tersebut. Beliau adalah mualaf, tetapi kesungguhannya dalam mendalami islam amat ku kagumi.

Soalan pertama yang diajukan adalah berkenaan dalil yang mengatakan tentang perkahwinan Rasulullah yang melebihi empat. Soalan kedua pula adalah mengenai keturunan Adam yang pelbagai warna kulitnya. Sekembalinya kami daripada Kangar, kami membuat perbincangan dengan mak andak berkenaan hal ini. Jawapan yang diberi oleh mak andak cukup memuaskan, kerana sedar diri masih kekurangan ilmu maka ku harus berguru pada yang arif.

Mak andak menyatakan bahawa setiap perkahwinan Rasulullah adalah atas perintah Allah. Sebelum diturunkan ayat 3 dalam surah an-Nisa', firman Allah SWT :

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى
وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى
أَلاَّ تَعُولُواْ


Maksudnya :
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


poligami itu adalah perkara yang lumrah bagi masyarakat arab. Isteri-isteri yang mereka kahwini tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, malah bilangannya kadang-kadang melampaui yang sepatutnya. Rasulullah berkahwin dengan wanita-wanita yang tidak bernasib baik dan juga atas sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh isteri nabi yang bernama Zainab. Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya. Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.

Begitu juga isteri baginda yang bernama Safiyyah binti Hujaj. Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.

Ini menunjukkan Rasulullah diperintah Allah untuk berkahwin adalah kerana ingin membela nasib wanita itu, bukan kerana nafsu. Sepertimana yang dapat kita fikir dengan warasnya akal, jika perkahwinan baginda berlandaskan nafsu, maka mengapa baginda tidak berkahwin sahaja dengan gadis yang cantik, tetapi mengapa banyak yang dikahwininya adalah janda yang kurang bernasib baik.

Setelah turunnya ayat di atas, Rasulullah tidak lagi berkahwin dengan mana-mana wanita. Begitulah Allah yang Maha Bijaksana, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah membataskan poligami hanya empat sahaja. Ini bertujuan untuk membezakan islam itu dengan budaya masyarakat jahiliyah sebelum ini. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya.

Ku juga baru mengetahui daripada mak andak, yang zuriat ketujuh Rasulullah yakni Ibrahim adalah zuriat hasil dari perkahwinan Rasulullah dengan wanita Mesir iaitu Mariatul Qibti. Mariatul adalah hamba raja Mesir yang dihadiahkan kepada Rasulullah. Pada zaman baginda, untuk membebaskan hamba wanita, wanita tersebut perlu berkahwin dan mempunyai anak. Atas sebab itu, Rasulullah berkahwin dengan Mariatul.

Soalan kedua pula dijawab mak andak dengan tenangnya. Beliau mengatakan ini lah kekuasaan Allah. Allah yang berkuasa untuk mencipta apa sahaja, "kun fayakun". Sedangkan dalam satu dahan itu setiap dari daun adalah berbeza saiz dan warna, inikan pula manusia. Fakta sains di sebalik penampilan warna kulit ditentukan oleh pigmen dalam kulit atau lebih dikenali sebagai melanin, yang berwarna coklat buah zaitun, perang atau hitam. Dibentuk oleh sel yang menghasilkan pigmen dinamakan melanosit, melanin ialah punca yang memberi kulit warna semula jadi seseorang. Seseorang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap mempunyai jumlah melanin yang lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai melanin atau pigmen lebih rendah mempunyai warna ton kulit yang lebih cerah.

Inilah sahaja jawapan yang mampu ku gali dari yang berpengetahuan, apa yang ku pelajari hari ini adalah, kita harus bersedia dengan apa juga kemungkinan walau di mana sahaja kita berada. Jangan cepat melatah apabila ditanya soalan yang tidak mampu kita jawab. Tetapi carilah titik penyelesaiannya dengan tenang dan sabar. InsyaAllah pasti terjawab, sama ada cepat atau lambat.


Selawat dan Salam atas Rasulullah s.a.w yang amat kusayangi dan kurindui..

Monday, September 28, 2009

Riang-ria raya 2009


Beraya bersama rakan-rakan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah.
Lokasi : Rumah Norita, Zalifah, Hasliza, Amalina, Yuhannis, Darwisa, Maria
Tarikh : 26 Sept 2009









Beraya bersama rakan-rakan Politeknik Sultan Idris Shah
Lokasi : Rumah Baizura, Azharuddin, Fieza, Amalina, Azura, Lily, Farid
Tarikh : 25 Sept 2009








Beraya di kampung bersama keluarga
Lokasi : Kampung Batu 9 Lekir, Setiawan, Perak Darul Ridzuan dan Paya Redan, Melaka.
Tarikh : 18 Sept 2009 - 24 Sept 2009






Ku kembali

Langkah ku penuh berhati-hati,
berpaut di dahan keinsafan,
menggenggam tangan-tangan yang memberi bantuan,
khuatir diri tersungkur lagi,
takut hilang nikmat iman yang telah diberi,
ku cuba menanam teguh pohon cinta kepada rabbi,
agar cinta kepada yang lain dapat ku bina tanpa bersandarkan nafsu,
ku cuba mengentalkan hati, menggagahkan langkah, melantangkan suara,
demi deen ini, kerana ini adalah amanahku,
yang tak akan berakhir,sehingga hujung nyawaku,
semoga ku dapat berjumpa denganNya dalam keadaan yang tidak memalukan..

Friday, September 18, 2009

Keampunan dipinta


Di kesempatan ini, izin kan ku menyusun kata, memohon maaf diatas kekhilafan diri..
Terkadang mulut tersalah berbicara sehingga ada yang terluka..
Terkadang tingkah laku mengundang kemarahan..
Terkadang hati tersalah menduga..
Diriku hanyalah manusia biasa..
Yang tidak terlepas dari kesilapan..
Dalam usahaku kembali kepada fitrah, terkadang ada sahaja kesalahan yang tidak disengajakan..
Semoga setiap yang berada disekelilingku menerima ku seadanya..
Menegurku demi kebaikan ku..
Menyayangiku kerana Allah..
Hanya Allah yang Maha Mengetahui..
Ku berserah kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Ya Allah..Ampunkan setiap dosa-dosaku..
Semoga Taubatku diterima..
Hanya redha mu ku harapkan..


p/s: Kesibukan menyambut Syawal telah menyekat diri ini dari menulis, maaf andai tiada entry baru selama seminggu ini.

Wednesday, September 16, 2009

Kepulangan..

Tiba jua hari yang dinanti, sejak hari pertama Ramadhan, diri ini belum lagi menjejakkan kaki ke rumah bertemu keluarga yang tercinta. Tepat jam 9.30 malam ini bermulalah perjalanan ku pulang ke rumahku syurgaku di Shah Alam. Sudah ku membayangkan suasana hiruk-pikuk di stesen bas Kangar. Maklum sahajalah masing-masing membeli tiket awal untuk pulang beraya.


Perkhidmatan bas tambahan juga terpaksa ditambah, lantaran ramainya perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Apa yang dirisaukan adalah keselamatan tika perjalanan pulang ini. Kebiasaannya, di musim perayaan inilah pelbagai tragedi tragis yang akan terjadi, seperti yang terpampang di dada-dada akhbar pada tahun-tahun yang lepas. Kecuaian pengguna jalan-raya, ditambah lagi dengan keterujaan untuk pulang ke kampung yang membuatkan pemandu dan juga pembonceng meningkatkan kelajuan untuk cepat sampai ke rumah, membuat mereka lupa akan keselamatan diri masing-masing.


Semoga perjalanan ku dan sahabiah sekalian pada malam ini di dalam lindungan Allah. Perasaan risau ku usir jauh, berserah kepada Allah di samping doa yang tidak putus kupanjatkan kepadaNya. Andai sudah ditentukanNya Ramadhan ini adalah yang terakhir, ku berharap agar diri ini tidak tersungkur di lembah kehinaan. Ku berharap agar segala dosa-dosaku diampunkanNya dan amalan-amalan ku diterimaNya.

Kepada pemandu-pemandu dan pembonceng-pembonceng sekalian, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah secara berhemah. Jangan dek kecuaian kita, kesengsaraannya ditanggung oleh pihak lain yang tidak berdosa. Timbanglah amal sebelum membuat keputusan di luar kewarasan akal fikiran, berdoalah semoga dilindungi Allah.

Ramadhan masih berbaki. Masih ada masa untuk kita menambah amal ibadat kepada Rabbi. Jangan kerana kesibukan menyediakan persiapan hari raya, kita menjadi leka lalu mengabaikan Ramadhan yang tercinta. Tangisilah pemergian bulan rahmat, bulan pengampunan ini.


Ya Allah, semoga diri ini selamat pulang kepangkuan keluarga..
Rindunya diriku ingin mengucup tangan ayahanda bonda ku..

Tuesday, September 15, 2009

Ke Akhir Garisan

Hati-hati yang menyayangi Rabbi sedang memecut pantas memaknakan Ramadhan dengan ibadat-ibadat tambahan. Kalamullah dibaca tiap waktu, pelbagai solat sunat tambahan dilakukan di setiap hening malam, semua ini adalah kerana rasa cinta yang amat mendalam kepada Rabbi dan juga Ramadhan. Semoga amalan kita diterimaNya.

Hanya beberapa hari lagi Syawal bakal menjelma. Terbukalah pintu neraka, terlepaslah syaitan laknatullah. Kembalilah kita berjuang melawan syaitan yang direjam ditambah pula dengan nafsu yang membawa kepada kelalaian. Gunakanlah masa yang tersisa ini sebaiknya, jangan nanti dikesal Ramadhan yang telah pergi. Berdoalah kepada Rabbi semoga masih ada Ramadhan untuk kita di tahun hadapan.


Ya Allah semogaku tidak mensiakan bulan rahmat ini..


Sunday, September 13, 2009

Berpaut di pintu taubat

Permata jernih itu mengalir lagi, meratap diri yang lampau, mengimbau kenangan yang pahit di telan. Hanya Rabbi yang Maha Mengetahui, betapa diri ini berasa sangat bertuah kerana masih disayangiNya, masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrahku. Zikir syukur tidak lekang dari mulutku, sujudku tidak lain hanya mengharapkan keredhaan dan keampunanNya. Cukuplah hanya cinta dan redha Allah bagiku, keranaNya semangat ku menjadi utuh untuk mempertahankan deen ini. KeranaNya ku bangkit untuk berjuang, melawan musuh-musuh agamaku, menimba ilmu untuk membantu deen ini.

Hanya yang ku khuatiri hati ini tidak tetap kedudukannya, maklum sahajalah iman itu naik dan turun, hati pula bolak-balik kedudukannya. Ku hanya mampu mengadu kepada Rabbi, memohon supaya ditetapkan hati ini, dikekalkan nikmat iman yang telah diberi dan supaya semangat ini tidak luntur malah makin meningkat dari hari ke hari walau pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa ku tempuhi di sepanjang perjuanganku.




Bukan mudah pintu taubat itu untuk kita ketuk, begitu mahal hidayah Allah. Tetapi semua itu bergantung kepada diri sendiri, bagaimana hidayah Allah itu hendak sampai, jika diri tidak berusaha untuk mencarinya, malah dari hari ke hari makin banyak pula noda yang kita palitkan pada hati, membuatkan cahaya hidayah itu amat sukar untuk menembusinya. Betapa ku pelik sesetengah manusia itu, menyalahkan takdir atas kesilapan diri. Tidakkah mereka sedar, dikurnia Allah akal untuk menimbang kebaikan dan keburukan.

Bertaubatlah, sucikanlah diri untuk kembali kepada Rabbi. Janganlah bertangguh. Jenuh akal ku memikirkan, betapa bertenangnya mereka yang melakukan dosa seakan tiada ajal yang bakal menjemput. Setiap tindakan seakan mencabar Tuhan yang Esa. Tidak takutkah mereka akan kemurkaan Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?" (Surah At-Taubah: 126)

Wahai hamba-hamba Allah, kembalilah kepada Rabbi. Sedarlah dirimu itu berasal dari air yang hina. Siapalah kita di sisiNya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ' Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): 'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah At-Tahrim: 8)

Taubat itu pula mestilah memenuhi beberapa perkara seperti berikut:
  • Beristighfar.
  • Berhenti daripada melakukan dosa.
  • Menyesali perbuatan.
  • Berjanji tidak akan mengulangi dosa
  • Minta maaf kepada pihak yang berkaitan (jika kesalahan dengan hak anak Adam).
  • Memperbanyak amal soleh sekaligus sebagai tebusan dari perbuatan jahat.


Marilah, kita berusaha menerobos sempadan diri. Mengetuk pintu taubat, demi cinta Rabbi yang tidak bertepi, demi redha Ilahi yang

indah. Jangan nantikan senja untuk pulang ke pengkalan, kerana khuatir diri tidak sempat menggapai cintaNya.

--> Sumber daripada Abu Mazaaya Al-Hafiz, 2008, Cetakan ketiga, Penawar Hati Penenang Jiwa Jilid 2, Al-Hidayah.


Rabbi, tetapkan hati ini hanya padaMU,

layarkan cintaku hanya kepadaMU,

kuatkan semangatku untuk mempertahankan agamaMU,

terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku,

semoga tulus tangis di setiap sujud dan doaku disaksikan oleh MU..


Friday, September 11, 2009

Tarbiah Allah



Sungguh Ramadhan ini bulan yang banyak mentarbiah diri dan sahabat-sahabat yang lain. Sahabat yang hebat diduga dengan dengan ujian yang hebat. Diuji dengan penyakit, masalah kewangan, kematian dan banyak lagi kejadian yang menimpa mereka yang tidak mampu ku ukir di sini. Ku hanya mampu menghembus kata semangat di kejauhan, memantau sahabat-sahabat ku dengan mata hatiku, menghulur bantuan semampu diriku. Begitu unik cara Allah mengasihi hambaNya, diberi ujian untuk mendekatkan diri kepadaNya. Supaya diri selalu berharap padaNya, membulatkan hati hanya padaNya.

Sabar..sabar..sabar..Allah sayang..itulah yang selalu kubisikkan kedalam hati tika diri diduga. Serta-merta semangat diri kembali meningkat, menelan segala kepahitan dengan membayangkan kemanisan di masa hadapan. Menggali hikmah di sebalik dugaan yang menimpa diri. Ku bersyukur di atas segala dugaan yang Allah beri, sebagai kaffarah setiap dosa-dosaku yang lalu, kini dan akan datang. Ku redha dengan kesusahan, kesedihan dan kekecewaan, asal diri tidak ditarik nikmat iman, tidak diusir jauh dari Rabbi, tidak dipalingkan hati.

Dugaan harus ditangani dengan iman dan kewarasan akal, jika tidak khuatir diri akan hilang pertimbangan lalu tersungkur menyembah lembah kehinaan. Jangan biar hati memendam rasa, menelan sendiri masalah dan dugaan yang menimpa, luahlah pada yang sekurang-kurangnya mampu mendengar, supaya beban di hati tidak menjadi barah yang memakan diri. Ku khuatir dek kerana malu dan tidak mahu menyusahkan orang lain akan menjadikan kita lebih merana, malah masalah menjadi semakin kronik.

Akal sendiri tidak mampu mengawal segala-galanya, kadang-kadang perlu juga pada buah fikiran orang lain. Jangan dipandang remeh akan pendapat orang di sekeliling kita, terkadang pemikiran mereka bernas, melangkau jauh, luar dari kotak pemikiran kita. Seperti yang kita sedia maklum, insan itu berbeza cara berfikir dan pengalamannya, cara menempuni dugaan juga mestilah berbeza.

Biar apapun warna kulitnya, biar bagaimanapun perawakannya, ambillah iktibar dari pengalaman mereka, timbanglah dengan sewajarnya, tapis sehingga dapat kita jadikan panduan. Semoga dengan berkat pengetahuan itu dapat membantu kita dalam menempuhi dugaan yang telah dihadiahkan Allah kepada kita.

Banyak sungguh anugerah yang Allah beri Ramadhan kali ini. Bukan sahaja dapat merasa enaknya limpah kurniaan pahala, malah ditarbiah Allah supaya tinggi tahap sabar pula, berjuang melawan kehendak nafsu. Bulan inilah kita dapat menguji ketahanan diri. Syaitan tiada, terpasung di neraka jahannam, maka tinggalah kita memasang strategi, melancarkan serangan melawan nafsu juga memelihara hati agar tidak tercemar dengan angan-angan yang panjang tiada sempadan hingga terkadang lupa akan kematian.

Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya menempuhi dugaan dengan sebaiknya. Lega rasa tatkala mendengarkan semuanya berjalan dengan baik. Berkat petunjuk Allah, semuanya menjadi mudah. Aneh kan? Walau berat manapun ujian yang diberi, tetap dapat kita tempuhi dengan kesabaran dan senyuman, bukan dengan kebaranan dan teriakan. Begitulah hebatnya jiwa-jiwa yang bergantung hanya pada Rabbi, diberi kekuatan yang tidak disangka-sangka. Lemah disisi Rabbi dan amat berharap padaNya, tetapi tetap kental disisi makhlukNya.


Terima kasih ya Allah di atas tarbiah ini..
Terima kasih kerana memberi ku peluang menguji tahap kesabaran diri..
Semoga semangat ku tidak luntur..

Thursday, September 10, 2009

Langkahan da'ie

Tarikh keramat 10/09/09 telah mencatatkan satu lagi peristiwa di dalam kamus hidupku. Tepat jam 6.30 pasukan pejuang IMAM menebarkan risalah dan menyumbang kurma kepada warga UiTM. Ini adalah kali kedua ekspidisi dakwah diadakan sempena bulan Ramadhan ini. Ekspedisi kali ini lebih mencabar dan menyeronokkan. Lantaran penglibatan yang agak meningkat jumlahnya dan juga misi yang hendak dilaksanakan juga lebih fokus dari yang sebelumnya.

Walaupun bermula agak lewat, tetapi itu semua bukan penghalang, perjuangan tetap harus diteruskan walaupun masa untuk melaksanakannya amat suntuk. Sasaran kali ini ialah bagi golongan 'couple' dan juga yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Bak kata seorang muslimin, inilah masanya kita mempraktikkan teori yang dipelajari semasa tamrin, usrah dan pembacaan. Wah! memang mencabar, bersedialah wahai da'ie, tadahlah telinga, berhikmahlah dalam berbicara, pujuklah hati jika berbakul kata sinis yang diberi. Inilah sunnah orang berjuang, berjuang ertinya berkorban. Bukan mudah untuk memperjuangkan kebenaran, tetapi juga bukan mustahil untuk melaksanakannya.

Pelbagai tips yang boleh kita kutip daripada yang berpengalaman bagi mendapatkan cara untuk 'Berdakwah Dengan Efektif'. Ini adalah sedikit tips yang ku ambil dari buku yang tersimpan dalam kotak yang baru kubaca.

  • Fahami individu yang hendak didakwah, kerana individu terdorong melakukan sesuatu perbuatan dengan harapan dia akan mendapatkan ganjaran yang diharapkan.
  • Individu yang pandai mempengaruhi orang lain adalah individu yang pandai meneka keperluan sasarannya.
  • Pendakwah juga perlu rajin memberi pujian kerana ia berkesan sebagai pengubah tingkah laku sasaran.
  • Perbuatan pendakwah yang dapat menjadi pengukuh berkesan adalah perbuatan memberi maklum balas. Maksud maklum balas disini ialah perbuatan memberi maklumat berkenaan apa yang dilakukan oleh sasaran kerana semua maklumat adalah maklum balas.
  • Pendakwah perlu menghindarkan penggunaan menggunakan bahasa negatif. Dengan itu, mereka tidak mencerminkan sikap positif padahal sikap positif adalah unsur penting kepada karisma.
  • Para pendakwah dapat menggambarkan diri mereka sebagai orang yang pengasih dan penyayang kepada orang yang menjadi sasaran dakwah mereka.
  • Pendakwah perlu mencipta situasi yang seimbang supaya sasarannya berasa selesa dan seronok. Ini dapat dilakukan dengan berkata kepada sasarannya apa-apa yang sudah diketahui dan dipercayai oleh sasarannya.
  • Pendakwah hanya perlu menimbulkan sedikit rasa takut dalam hati sasaran dakwah, bukan dengan cara terlalu menakut-nakutkan mereka.

Wallahua'lam

--> Sumber daripada Abdullah Hassan, 2007, Cetakan pertama, Teori dan Teknik Moden Mendorong Perubahan Tingkah Laku Berdakwah Dengan Efektif, Batu Caves, Selangor, PTS Islamika.


Ya Rabbi, kasihanilah sahabat-sahabat ku yang sedang diberi ujian kesakitan,
Berilah mereka kekuatan dalam menempuhi dugaan mu.


Wednesday, September 9, 2009

Azimat ibunda

Tika kelas pagi ini tiba-tiba ku teringatkan bonda yang jauh di mata. Sungguh, ku amat merindui bonda, risau memikirkan khabar nya di sana. Air mata tak semena-mena bergenang, lalu pantas ku tahan, memujuk hati supaya tenang..



Mama,
redup wajahmu menanggung seribu rasa,
yang hanya diketahui oleh dirimu,
kutahu, terkadang senyummu tersembunyi sejuta kesedihan,
tawamu tersembunyi kegelisahan.
Tetapi itulah dirimu, sentiasa melangkah walau diduga,
ketabahanmu kukagumi...

Mama,
Terima kasih kerana menumpangkan ku di ruang rahimmu,
mengenyangkanku dengan setiap titis air susumu,
membesar dan mendidikku tanpa kenal erti jemu,
bersabar dengan setiap karenahku,
menyayangiku seadanya diriku..

Mama,
Doakan ku menjadi anak yang solehah,
menjadi muslimah yang cemerlang,
Berjaya duniawi dan ukhrawi.
Doaku sentiasa untukmu,
Semoga keampunan, rahmat dan rezeki menjadi milikmu,
Semoga kita bertemu lagi di syurga abadi,
Menautkan kembali kasih kurniaan Ilahi..

Mama,
hanya Rabbi yang tahu betapa ku menyayangimu,
betapa ku ingin membalas jasa-jasamu,
betapa ku ingin menggembirakan kan dirimu..
Ampunkan segala dosa yang telah ku lakukan kepadamu,
Andai diri ini tidak mampu berbakti kepada mu, maafkanlah anakmu..


........................................................................................................


Azimat Ibunda
Album : Halawatul Iman
Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com


langit kirmizi menghantar dirimu menuju jalan pulang
hari-hari indah bersamamu bertabur di tanah kenangan
wajah berona simpati kau tatapi buatkali terakhir
sedih & sayu dari kamar atma mengundang air mata

Hanya rindu & doa buatmu
semoga kau tenang dan bahagia
agar syurga menjadi milikmu
bukan hanya di telapak kakimu

menumpang di segenap ruang yg ada di lubuk perkasihan
begitu indah setiap detik di dalam rahimmu
sehingga teramat asyik setiap saat di pangkuanmu
keperitan itu kau rasa indah demi anakmu

setitis air mata ibu yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hati ibu kerna kederhakaan
tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
azimat ini ku tanam di lubuk hati yg dalam

di tirai malam aku bersandarkan pada dinding kepiluan
bersenandungkan merdu suara alam terlena di rajutan rindu
tiada yg terindah didunia dapat mengganti hilangmu
pilihan yg terbaik takkan dapat mengisi relung hatimu



Ya Allah bantulah hambamu ini untuk menjadi anak yang solehah,

Kasihanilah mama dan ayahku seperti mana mereka mengasihaniku sewaktu kecilku,
Limpahkanlah rahmat kepada mereka,
Temukanlah kami kembali di negeri kekal abadi..

Dinihari yang dinanti

Ramadhan kian melabuhkan tirainya, berhembus udara syahdu di setiap nafasku, menahan sebak tika memikirkan bulan rahmat yang bakal pergi. Sungguh masa itu sangat cepat berlalu pergi, tanpa sedikitpun simpati diberi kepadaku yang amat menyintai bulan barakah ini. Hanya tinggal 10 hari sahaja lagi sebelum Syawal menjelma menggantikan bulan pengampunan. Perasaan bercampur baur ketika ini, masih sempatkah untukku menghabiskan sisa waktu ini dengan ibadat-ibadat tambahan? Lantaran kekangan masa yang terkadang membuat diri terpaksa melepaskan peluang untuk mengimarahkan bulan ini.

10 malam terakhir inilah sepatutnya umat islam berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadat-ibadat sunat. Masakan tidak, di waktu kebanyakan saudara seakidahku diduga dengan menyediakan persiapan untuk menyambut Syawal, Allah menghadiahkan dengan malam yang tersangat istimewa, yang tidak dapat menandingi malam-malam yang lain, malam seribu bulan. Tetapi, adakah semua saudara ku itu menyedari akan ruginya jika terlepas malam yang istimewa itu. Apalah salahnya jika berkorban sedikit masa bermunajat kepada Rabbi di sepertiga malam. Tidak pernah terfikirkah betapa ruginya diri, dosa yang melaut tidak ditebusi, malah makin lama makin bertambah pula. Berapa lah sangat masa yang diluangkan untuk bersama Rabbi jika nak dibandingkan dengan umur yang telah kita habiskan.

Jangan terlalu bertenang wahai saudaraku, sedarkah kita yang maut itu sentiasa menjenguk. Tiada siapa yang dapat mengagak akan adakah lagi Ramadhan untuk kita di tahun hadapan. Maka, apakah persediaan kita untuk menghadap Rabbi andai peluang yang diberi langsung tidak kita rebuti. Ku sendiri resah memikirkan, mampukah diri ini menghabiskan sisa-sisa waktu ini sebaiknya. Bimbang diri akan terlepas peluang ini, sayu..Ku hanya mampu berdoa, mengharapkan supaya Allah memberi peluang untuk diriku. Ku tahu setiap yang terjadi adalah yang terbaik untuk diriku, ada hikmah disebaliknya.



Bermaksud:
[1]Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Lailatul Qadar berlaku setiap tahun, bukannya hanya pada ketika ia diwahyukan atau tahun ayat itu diturunkan sahaja. Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan. Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling rajih (absah). Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Amalan yang mesti dilakukan pada malam ini ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa.

Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:
1. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr.
2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa
setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang
setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.
3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.
4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa.
6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin
semata.

--> Sumber daripada Dr. Amini Amir Abdullah Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Lailatul Qadr: Kepentingan dan Penghayatannya, Kursus Induksi Pegawai Sokongan Universiti Putra Malaysia, 17 Oktober 2006, Residence Hotel, UNITEN, 8.30am.

Andai malam itu tidak dapat kutemui, ku redha ya Allah..
Pengharapan yang amat tinggi ku panjatkan kepadamu Rabbi..
Moga peluang itu milikku..

Monday, September 7, 2009

Berkorban Demi Cinta

Lagu ini kukongsi bersama pembaca. Setiap kali mendengarnya satu perasaan terbit di dalam hati..Sayu..Insaf..terasa diri sangat mengharapkan cinta Rabbi..
Lagu ini seakan menceritakan tentang dirku yang sedang bertatih kembali mencari cinta hakiki..


Berkorban Demi Cinta
Album : Damai
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

Bermula gemilang cahaya
Petunjuk pimpinan yang Esa
Menempuh jalan hidup di dunia
Cabaran yang silih berganti
Dugaan mematangkan diri
Mengajar erti hidup ini

Berjuang berkorban demi cinta
Suka dan duka suratanNya
Mengenal makna jalan bahagia
Masa yang silih berlalu
Semakin hampir saat itu
Ya Tuhan tunjukkan
Moga selamat bersamaMu

Biarpun bersama kekurangan
Namun bersyukur kurniaan Tuhan
Iman di hati sabar menjadi pemujuk diri
DenganMu ku punyai segala
Tak kan beruntung seisi dunia
Limpah kurniakan petunjuk bantuan
Tempuh hari yang mendatang

Semoga?
Sisa hidup ini tak kan terbuang lagi
Setiap detik masa dalam amalan jua
Jangan dipisahkan denganMu kebahgiaan

Semoga dengan ini jambatan menemui
Cinta yang sejati
Itu yang abadi

Berjuang mencari iman taqwa
Perisai menempuh pancaroba
Penentu tempat rahmat bahagia
Seiring teman dan saudara
Pimpinan tauladan baginda
Ya Tuhan bantulah
Moga selamat selamanya

Lagu : Kamal Halim (Al-Mansur Productions)
Lirik : Kamal Halim (Al-Mansur Productions)
Susunan Muzik : Kamal Halim
Penerbit : Kamal Halim
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.


Ya Allah, ku pohon janganlah hati ini berpaling setelah Kau beri petunjuk..


Sunday, September 6, 2009

Sejuta pernghargaan..

Malam ini mak andak diberi tugas untuk memberi ceramah di kolej Teja, UiTM. Sungguh ku terharu dan tersangatlah gembira kerana mak andak sudi menjadi lilin pembakar diri buat ku dan rakan-rakan yang ketandusan teguran dan nasihat. Syukur ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk mendengar butir nasihat dari mulut mak andak sendiri, maklum sahajalah ini adalah kali pertama mak andak memberi ceramah di hadapan kami.

Pelbagai tajuk yang dikupas oleh mak andak pada malam ini. Khasnya tajuk masa. Mak andak mengatakan memanglah seminggu ada tujuh hari, tetapi ulamak mentafsirkan hari itu hanya ada lima sahaja. Yakni hari semalam, hari ini, hari esok, hari kematian dan hari akhirat. Kesemuanya dikupas dengan berhikmah. Supaya mudah terkesan di setiap hati pendengarnya.
Isu gejala sosial remaja kini juga diselit di celah-celah butir ceramahnya.

Seperti yang kita lihat, walaupun Ramadhan sudah melabuhkan separuh dari tirainya, namun masih ramai remaja yang tiada kesedaran untuk merebut peluang mengumpul pahala sebanyaknya dan merintih dosa yang banyak bagaikan buih di lautan yang tidak bertepi. Sungguh rugi mereka yang lalai dan leka, sedang Ramadhan itu bulan rahmat, bulan pengampunan malah bulan yang membantu kita melepaskan diri daripada azab seksaan neraka jahannam.

Sedih memikirkan nasib islam masa kini. Betapa kurangnya remaja berkualiti yang bakal menyambung perjuangan para Nabi dan sahabat. Kadang-kadang jauh ku memikirkan bagaimana pula nasib dan cabaran yang bakal ditempuhi generasi akan datang, lantaran kegemilangan itu tidak dibentuk dari sekarang. Lihat sahaja saf di masjid tika solat subuh, amat mengecewakan. Sangat mudah musuh untuk menyerang umat islam pada waktu subuh begini, lantaran enaknya pemuda diulit mimpi, bermalas-malasan di tilam yang empuk.

Wahai remaja, bangkitlah!! Ada tugas yang belum selesai, ada perjuangan yang perlu kita teruskan. Kejayaan kini adalah kejayaan masa hadapan. Lupakah kita yang islam pernah gemilang?? dan ia akan kembali gemilang. Janganlah kita hanya berpeluk tubuh, duduk dalam kondisi yang bertenang. Bagaimana islam hendak bangkit jika tiada usaha ke arah itu. Ku seru dengan sepenuh jiwa dan ragaku kepada hati-hati saudara seakidah ku, ayuhlah bangkit memperjuangkan deen ini..


Mak andak memberi ceramah..


Limpahkanlah rahmatMu kepada guru-guru kami ya Allah..
Berkatilah setiap ilmu yang telah mereka curahkan kepadaku..
Hanya Engkau yang mampu membalas jasa mereka..
Ya Allah yang Maha Penyayang..

Friday, September 4, 2009

Riang-ria..

Tempoh hari, tika menjejakkan kaki ke UUM, ku asyik teringatkan sahabat-sahabat ku yang lain. Terngiang-ngiang di telinga ku gelak-tawa mereka jika mereka ada bersama. Lalu, kali ini ku tidak akan melepaskan peluang. Akan ku luangkan masa ku khas untuk mereka. Seronoknya ke UUM kali ini tidak dapat ku gambarkan. Sungguh mereka amat menggembirakan. Sesekali keluar bersama begini dapatlah diriku melupakan masalah dan menghilangkan penat diri. Kehadiran dua puteri yang ku sayangi (Hannan dan Nur) turut memeriahkan lagi suasana. Aktiviti bersama dimulakan dengan menunaikan solat asar di Masjid UUM. Selepas itu, kami menerjah bazar yang berhadapan dengan Masjid UUM untuk mencari juadah berbuka.






Di dalam masjid UUM..



Di Bazar Ramadhan UUM..




Bersama Hannan dan Nur..







Riang Ria di UUM..


Ya Allah peliharalah diriku dari perkara yang melalaikan..
Kegembiraan ini ku syukuri..


Wednesday, September 2, 2009

Tidak gentar...

Petang ini ku bersama sahabat IMAM yang lain menyerbu 'hotspot area' di UiTM untuk menyebarkan risalah dan kurma yang telah kami sediakan semalam. Sesungguhnya ini adalah pengalaman pertamaku, maka diriku amat teruja melaksanakan tugas ini. Selagi kita di dalam jamaah, kita tak akan rasa gentar untuk berdakwah malah rasa bersemangat pula.

Sesungguhnya dakwah itu adalah seni. Terpulanglah pada kita untuk menentukan teknik dan alatannya, yang penting kita berusaha sebaiknya untuk melakasanakan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Jangan terlalu memasang impian setiap usaha yng kita lakukan itu berhasil. Berserah lah kepada Rabbi, kerana hidayah tetap miliknya, kita hanyalah penunjuk arah.

Jangan ada istilah putus asa dalam kita berjuang menegakkan agama rabbi ini. Sunnah orang berjuang itu, menempuh payah demi kemanisan redha Allah dan syurga abadi. Memang diakui bukan mudah untuk mnyebarkan dakwah, tambahan lagi dunia yang sudah tiada sempadannya lagi. Amatlah menjeruk rasa tatkala melihatkan maksiat berleluasa.

Maka kita lah yang sepatutnya memainkan peranan dalam pembentukan kembali sahsiah masyarakat kini dan akan datang. Semoga sahabat-sahabat sekalian istiqomah dalam niat untuk menyambung perjuang para rasul dan sahabat dalam mengembalikan kegemilangan islam.





Takbir!!!

“Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Taubah, ayat 38-39)


Ya Rabbi, ya Rahman..
Bantulah kami dalam menegakkan syiar ini..
Sesungguhnya kami amat mengharapkan kemanisan redhaMU..

Tuesday, September 1, 2009

Sumbangan..

Hari ini satu pesanan ringkas telah di beri kepadaku oleh pihak IMAM. Aktiviti membalut kurma dan menampal risalah akan diadakan di masjid. Kurma dan risalah ini akan diedarkan kepada warga UiTM keesokan harinya. Gembira sungguh hati kerana dapat membantu dalam memperjuangkan syiar islam ini. Sedikit benar sumbangan yang mampu kuberi, Semoga selepas ini lebih banyak yang mampu kusumbangkan kepada islam. Semoga dengan usaha kami yang kecil ini mampu memberi impak kepada warga UiTM. Terima kasih kepada sahabatku ct dan lela kerana membantu kami. Terima kasih juga kepada ecah, uda dan mien kerana bertungkus lumus memasak di rumah, jasa kalian dikenang..


Lela dan ct..


Aktiviti membalut kurma dan menampal risalah..


Rabbi, bantulah hambaMu ini untuk melangkah..