Niat ku pada hari ini ingin ke Kangar untuk mencari barang. Memandangkan Fatta dan Hannan mempunyai tujuan yang sama, ku terus membuat keputusan untuk mengikut mereka sahaja. Dikala Hannan ingin mengambil gambar di sebuah kedai gambar di bandar Kangar, kami diajukan beberapa soalan oleh pemilik kedai gambar tersebut. Beliau adalah mualaf, tetapi kesungguhannya dalam mendalami islam amat ku kagumi.
Soalan pertama yang diajukan adalah berkenaan dalil yang mengatakan tentang perkahwinan Rasulullah yang melebihi empat. Soalan kedua pula adalah mengenai keturunan Adam yang pelbagai warna kulitnya. Sekembalinya kami daripada Kangar, kami membuat perbincangan dengan mak andak berkenaan hal ini. Jawapan yang diberi oleh mak andak cukup memuaskan, kerana sedar diri masih kekurangan ilmu maka ku harus berguru pada yang arif.
Mak andak menyatakan bahawa setiap perkahwinan Rasulullah adalah atas perintah Allah. Sebelum diturunkan ayat 3 dalam surah an-Nisa', firman Allah SWT :
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى
وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى
أَلاَّ تَعُولُواْ
Maksudnya :
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.
poligami itu adalah perkara yang lumrah bagi masyarakat arab. Isteri-isteri yang mereka kahwini tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, malah bilangannya kadang-kadang melampaui yang sepatutnya. Rasulullah berkahwin dengan wanita-wanita yang tidak bernasib baik dan juga atas sebab-sebab tertentu.
Sebagai contoh isteri nabi yang bernama Zainab. Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya. Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.
Begitu juga isteri baginda yang bernama Safiyyah binti Hujaj. Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.
Ini menunjukkan Rasulullah diperintah Allah untuk berkahwin adalah kerana ingin membela nasib wanita itu, bukan kerana nafsu. Sepertimana yang dapat kita fikir dengan warasnya akal, jika perkahwinan baginda berlandaskan nafsu, maka mengapa baginda tidak berkahwin sahaja dengan gadis yang cantik, tetapi mengapa banyak yang dikahwininya adalah janda yang kurang bernasib baik.
Setelah turunnya ayat di atas, Rasulullah tidak lagi berkahwin dengan mana-mana wanita. Begitulah Allah yang Maha Bijaksana, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah membataskan poligami hanya empat sahaja. Ini bertujuan untuk membezakan islam itu dengan budaya masyarakat jahiliyah sebelum ini. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya.
Ku juga baru mengetahui daripada mak andak, yang zuriat ketujuh Rasulullah yakni Ibrahim adalah zuriat hasil dari perkahwinan Rasulullah dengan wanita Mesir iaitu Mariatul Qibti. Mariatul adalah hamba raja Mesir yang dihadiahkan kepada Rasulullah. Pada zaman baginda, untuk membebaskan hamba wanita, wanita tersebut perlu berkahwin dan mempunyai anak. Atas sebab itu, Rasulullah berkahwin dengan Mariatul.
Soalan kedua pula dijawab mak andak dengan tenangnya. Beliau mengatakan ini lah kekuasaan Allah. Allah yang berkuasa untuk mencipta apa sahaja, "kun fayakun". Sedangkan dalam satu dahan itu setiap dari daun adalah berbeza saiz dan warna, inikan pula manusia. Fakta sains di sebalik penampilan warna kulit ditentukan oleh pigmen dalam kulit atau lebih dikenali sebagai melanin, yang berwarna coklat buah zaitun, perang atau hitam. Dibentuk oleh sel yang menghasilkan pigmen dinamakan melanosit, melanin ialah punca yang memberi kulit warna semula jadi seseorang. Seseorang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap mempunyai jumlah melanin yang lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai melanin atau pigmen lebih rendah mempunyai warna ton kulit yang lebih cerah.
Inilah sahaja jawapan yang mampu ku gali dari yang berpengetahuan, apa yang ku pelajari hari ini adalah, kita harus bersedia dengan apa juga kemungkinan walau di mana sahaja kita berada. Jangan cepat melatah apabila ditanya soalan yang tidak mampu kita jawab. Tetapi carilah titik penyelesaiannya dengan tenang dan sabar. InsyaAllah pasti terjawab, sama ada cepat atau lambat.
Selawat dan Salam atas Rasulullah s.a.w yang amat kusayangi dan kurindui..
Rejim Zionis mengepung ambulans di Jabalia
1 week ago
Mengikut apa yang di katakan...warna kulit Nabi Adam itu... ada pada semua umat manusia, ya itu..cuba lihat pada warna kuku kita masing-masing..itu je lah yg di warisi.. bertapa indahnya kejadian yang di beri oleh Penciptanya. Wallahua'lam..!
ReplyDeleteAmal ade dengar juga ma..Wallahua'lam..
ReplyDelete