Sunday, September 13, 2009

Berpaut di pintu taubat

Permata jernih itu mengalir lagi, meratap diri yang lampau, mengimbau kenangan yang pahit di telan. Hanya Rabbi yang Maha Mengetahui, betapa diri ini berasa sangat bertuah kerana masih disayangiNya, masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrahku. Zikir syukur tidak lekang dari mulutku, sujudku tidak lain hanya mengharapkan keredhaan dan keampunanNya. Cukuplah hanya cinta dan redha Allah bagiku, keranaNya semangat ku menjadi utuh untuk mempertahankan deen ini. KeranaNya ku bangkit untuk berjuang, melawan musuh-musuh agamaku, menimba ilmu untuk membantu deen ini.

Hanya yang ku khuatiri hati ini tidak tetap kedudukannya, maklum sahajalah iman itu naik dan turun, hati pula bolak-balik kedudukannya. Ku hanya mampu mengadu kepada Rabbi, memohon supaya ditetapkan hati ini, dikekalkan nikmat iman yang telah diberi dan supaya semangat ini tidak luntur malah makin meningkat dari hari ke hari walau pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa ku tempuhi di sepanjang perjuanganku.




Bukan mudah pintu taubat itu untuk kita ketuk, begitu mahal hidayah Allah. Tetapi semua itu bergantung kepada diri sendiri, bagaimana hidayah Allah itu hendak sampai, jika diri tidak berusaha untuk mencarinya, malah dari hari ke hari makin banyak pula noda yang kita palitkan pada hati, membuatkan cahaya hidayah itu amat sukar untuk menembusinya. Betapa ku pelik sesetengah manusia itu, menyalahkan takdir atas kesilapan diri. Tidakkah mereka sedar, dikurnia Allah akal untuk menimbang kebaikan dan keburukan.

Bertaubatlah, sucikanlah diri untuk kembali kepada Rabbi. Janganlah bertangguh. Jenuh akal ku memikirkan, betapa bertenangnya mereka yang melakukan dosa seakan tiada ajal yang bakal menjemput. Setiap tindakan seakan mencabar Tuhan yang Esa. Tidak takutkah mereka akan kemurkaan Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?" (Surah At-Taubah: 126)

Wahai hamba-hamba Allah, kembalilah kepada Rabbi. Sedarlah dirimu itu berasal dari air yang hina. Siapalah kita di sisiNya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ' Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): 'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah At-Tahrim: 8)

Taubat itu pula mestilah memenuhi beberapa perkara seperti berikut:
  • Beristighfar.
  • Berhenti daripada melakukan dosa.
  • Menyesali perbuatan.
  • Berjanji tidak akan mengulangi dosa
  • Minta maaf kepada pihak yang berkaitan (jika kesalahan dengan hak anak Adam).
  • Memperbanyak amal soleh sekaligus sebagai tebusan dari perbuatan jahat.


Marilah, kita berusaha menerobos sempadan diri. Mengetuk pintu taubat, demi cinta Rabbi yang tidak bertepi, demi redha Ilahi yang

indah. Jangan nantikan senja untuk pulang ke pengkalan, kerana khuatir diri tidak sempat menggapai cintaNya.

--> Sumber daripada Abu Mazaaya Al-Hafiz, 2008, Cetakan ketiga, Penawar Hati Penenang Jiwa Jilid 2, Al-Hidayah.


Rabbi, tetapkan hati ini hanya padaMU,

layarkan cintaku hanya kepadaMU,

kuatkan semangatku untuk mempertahankan agamaMU,

terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku,

semoga tulus tangis di setiap sujud dan doaku disaksikan oleh MU..


No comments:

Post a Comment