Wednesday, November 25, 2009

Perjumpaan merungkai persoalan..

Malam semalam, ku dan sahabat-sahabatku(DTK) sepakat membuat keputusan untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hal lawatan ke rumah anak-anak yatim. Lawatan ini akan diadakan pada 12 Disember 2009 dan rumah tersebut terletak di Dengkil, Selangor. Dalam perjalanan ke perjumpaan tersebut, pelbagai dugaan yang ku tempuhi, lebuhraya yang ku lalui mengalami kesesakan yang amat teruk kerana ada lori terbalik di persimpangan jalan. Seingat ku, lebuhraya ini tidak pernah mengalami kesesakan seteruk ini. Agak lambat juga ku hadir ke perjumpaan ini, maaf ya sahabat-sahabat ku.

Belumpun lagi berhadapan dengan mereka, hati ini telahpun tersenyum girang, ligat akal memikirkan bagaimana gelagat sahabat-sahabatku nanti. Ukhuwwah yang masih erat ini amat meriangkan, nikmat yang Rabbi beri ini amat kusyukuri. Walaupun masing-masing sudahpun membawa haluan masing-masing, ada yang masih belajar dan ada juga yang telah bekerja, namun ukhuwwah ini masih segar seperti masih belajar di politeknik dulu . Pelbagai pendapat yang dikemukakan , terselit keseriusan dalam setiap gurauan mereka. Akhirnya keputusan dibuat setelah semua pendapat ditimbang. Bangga mempunyai sahabat seperti mereka, komitmen yang diberi amat ku hargai. Terima kasih sahabat-sahabatku, jasa kalian tidak mungkin dapat kulupakan.





Ya Allah permudahkan urusan kami ini..
Jangan hati terhijab dari mengingatiMu..

Monday, November 23, 2009

Genggam bara, beranikah??

Berada di rumah bukan bermakna diri ini mempunyai masa untuk berehat-rehat, masih banyak tugas yang perlu digalas yang menyekat diri dari menulis seperti biasa. Hujung minggu ku padat dengan jemputan ke majlis perkahwinan, maklum sahajalah waktu cuti sekolah inilah waktu yang sesuai untuk bakal-bakal pengantin mengadakan majlis pernikahan dan resepsi. Sabtu yang lepas ku menghadiri majlis perkahwinan rakan adikku. Majlis yang ringkas namun meriah dipenuhi kaum keluarga dan sahabat handai. Pada waktu inilah semuanya dapat berkumpul sekali, bertukar-tukar cerita setelah sekian lama tidak berjumpa lantaran masing-masing dilanda kesibukan mengurus hal sendiri.


Pada hari yang sama juga ku menghadiri jamuan hari jadi anak kepada rakan sekerja bondaku, sangat indah pemandangan rumahnya berbaloi dengan nilainya. Berada di bandar membuatku amat mensyukuri nikmatnya berada di Perlis. Ketenangan dan kedamaian tempat itu amat menggamit perasaanku. Baru ku sedari kini betapa mencabar kehidupan di bandar, waktu malam yang bernyawa bagaikan siang menyaksikan pelbagai gelagat anak-anak muda yang meletihkan mata memandang, menyakitkan hati memantau dan memeningkan kepala memikirkannya, alahai..kesian adik-adikku membesar di kawasan yang penuh cabaran ini, menuntut pertahanan diri yang kuat untuk menghadapinya.

Ku merasai diri seperti makhluk asing yang turun dari 'UFO', setiap mata yang memandang mendatangkan rasa kurang senang di hati. Tetapi apabila memikirkan inilah sepatutnya setiap muslimat berpakaian, tuntutan dari Allah yang Esa, hati kembali tenang dan yakin, tiada lagi rasa malu menerjah diri malah makin berani dan bangga menjadi penggenggam bara. Menjadi yang asing amat menenangkan, mengapa mesti malu pada yang hak? tetapi bangga pada yang batil?

Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW bersabda:
‘Sampai satu masa, orang yang sabar dalam agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.’


Cabaran ini membuka minda, meneliti pelbagai karenah manusia, yang kaya bagai lupa akan hari pengakhiran kejayaan mereka, yang tua bagai lupa akan tempat kembali yang abadi, yang muda bagai lupa maut akan menjengah bila-bila masa. Semuanya seronok melayan nafsu dan dunia yang sementara, semua bagai lupa keseronokkan yang kekal abadi juga kesengsaraan yang kekal selamanya. Pengalaman yang berharga dari Allah, hadiah dan tarbiyyah dariNya yang amat kusyukuri.

Keesokannya pula ku bersama-sama sahabatku zura dan na melawat rumah anak-anak yatim. Lawatan pertama bagi kami mengetahui segala kekurangan yang perlu kami ambil perhatian supaya mudah urusan yang berikutnya. Akal berpusing megimbas kejadian semalamnya, semalam ku melihat rumah yang gah, insan-insan yang diberi Allah rezeki yang lebih, tapi hari ini? ku melihat mereka yang kurang bernasib baik, mengharap bantuan bagi meneruskan hidup. Inilah realiti kehidupan, tak semuanya mudah dan senang, disebabkan itulah perlunya yang muda membantu yang tua, yang senang membantu yang susah dan yang kaya membantu yang miskin. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.



Begitu sayu melihat anak-anak yatim ini, kasihan mengenangkan mereka terpaksa membersar tanpa ayah dan ibu di sisi, menagih kasih insan lain yang bukanpun bergelar saudara kepada mereka, hanyalah saudara seakidah sahaja. Namun itulah tanggungjawab kita, anak-anak yatim ini adalah sebahagian daripada kita, pada diri kita ada hak mereka. Suci wajah mereka menimbulkan cemburu pada diri, mereka adalah generasi gemilang yang digilap menjadi permata, bakal-bakal hafiz yang akan menegakkan yang hak dan melenyapkan yang batil..insyaAllah..

Setelah penat naik turun KTM, sesat mencari rumah anak-anak yatim, gembira melihat gelagat mereka, kami merehatkan fikiran di Sg Congkak. Menghayati keindahan alam yang Allah sediakan untuk kita. Sejuknya air sungai mendatangkan tenang pada hati dan diri, segala masalah seakan pergi dibawa pergi air yang mengalir. Peluang yang jarang-jarang dapat kunikmati lantaran kesibukan yang melanda diri ini ku gunakan sepuas-puasnya..Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah..


Ya Allah ku pohon ketenangan dari keluh kesah,
Bantu hambaMu ini dalam mencari redhaMU..



Thursday, November 19, 2009

Insan biasa..


Ku hanyalah insan biasa,

terkadang tewas dengan nikmat,
terkdang tewas dengan dugaan,
terkadang tewas dengan pujian,
terkadang tewas dengan hinaan..

Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam,
segala kelemahan datang dari diriku yang serba kekurangan..

Bantulah diriku mencantas sifat mazmumah agar bertunas sifat mahmudah..

Hanya kepadaMu hamba berserah Ya Allah..

Wednesday, November 18, 2009

Rantai perjuangan..


'Dimana bumi dipijak , disitu syariat Allah dijunjung', masih terngiang di telinga setiap bait ucapan yang terluncur dari mulut ustaz Yussaini sewaktu ku menghadiri ceramahnya. Ku sedar, perjuangan harus diteruskan walau di mana sahaja kita berada. Berada di rumah dan kesibukan mengurusnya bukanlah alasan untuk rantai perjuangan itu untuk tidak bersambung. Cuma medan juang ku kini banyak terarah kepada media elektronik. Bertukar-tukar pendapat dan memberi peringatan kepada sahabat-sahabat dalam dunia yang maya. Maklum sahajalah generasi sekarang lebih seronok melayari internet berjam-jam, melayan 'Facebook' yang tiada mengenal istilah jemu.

Maka terletak pada diri sendiri untuk menggunakan medium yang ada untuk meneruskan rantai perjuangan itu. Dakwah itu harus kreatif, lebih mudah merapati mereka jika kita bersama duduk di tempat mereka. Namun, diri sendiri harus tahu batasnya, jangan pula kita sendiri sama naik dengan mereka yang berjam-jam mengadap internet itu. Bijaklah mengurus masa dan perilaku.


Ku merindui negeri barakah itu..
Negeri yang banyak mengajarku erti kehidupan..
Banyak mematangkan pemikiran dan perwatakanku..
Negeri itu banyak memberiku ilmu dan pengalaman...

Ku akan kembali lagi..nantikan kepulanganku..

Tuesday, November 17, 2009

Tarian pena bermula..

Kini ku sudahpun berada di rumah, terasa tenang dan gembira dapat menatap wajah-wajah tersayang. Agak lama diri ini tidak pulang ke rumah lantaran kesibukan yang amat menghimpit diri. Kasihan ku melihat bonda yang terpaksa berhempas-pulas mentadbir rumah, risau mengenangkan dirinya yang semakin hari semakin menjadi sakitnya. Semoga bonda tenang dan dipelihara kesihatannya oleh Allah yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah samudera imtihan telahpun berjaya ku harungi, walaupun ada 'paper' yang hampir membuatkan ku hanyut namun ku bertawakal kepada yang Esa semoga semuanya dipermudahkan. Jika ditakdirkan 'paper' yang satu itu kecundang, ku redha atas ketentuanNya, kerana ku tahu sejauh mana kemampuanku dalam menjawab 'paper' yang satu itu.

Awan yang tidak pernah jemu memuntahkan butir-butir permata membawa tenang di hati, menghilangkan resah di jiwa, mensyukuri nikmat yang telah Rabbi beri. Sesekali kenangan bersama sahabatku pada hari Ahad yang lalu menerjah fikiran. Kasihan melihat dia yang semakin cengkung dek kerana masalah hati yang tiada kesudahan. Doaku sentiasa mengiringinya, ujian hebat untuk insan yang sehebatnya. Kukenali dia sewaktu ku di politeknik, antara salah satu tangan yang menggapai diriku dikala hilang arah dan tujuan, peneman waktu tidurku juga penyeri kelam hidupku.

Kenangan reunion bersama sahabat-sahabat di politeknik


Teman rapatku di politeknik adalah sahabat yang sangat baik, perawakan dan tutur kata mereka amat membuat orang senang dengan mereka. Walaupun orangnya biasa sahaja, namun cara mereka memelihara ukhuwwah amat ku kagumi. Teguran mereka amat lembut dan terkesan di hati. Mereka sentiasa di sisi dikala susah dan senang, jarang sekali bermasam muka inikan bertelagah, mereka banyak membantuku dalam diri ini masih tercari-cari makna sahabat sejati. Ya Allah betapa ku sayangi mereka keranaMU.

Kini salah seorang dari mereka diuji dengan ujian yang hebat, ku hanya mampu meniupkan kata semangat, berada dekat dengannya di kala hati resah dan gundah. Sabarlah wahai sahabatku, jika dirimu berusaha memelihara dirimu agar tidak dimurkai Allah, insyaAllah bahagia akan menantimu, ketenangan akan menggamitmu, pertolongan Allah akan tiba tanpa disedari. Sabar..sabar..sabar..Tangisanmu adalah tangisan ku jua, tawamu dalah tawaku jua. Bagaimana hati ini kan tenang memikirkan dirimu jauh dariku. Kalaulah kita sebilik seperti dulu, ku pasti dirimu tidak akan seperti sekarang, pasti keceriaan akan terpalit di wajahmu walau pun duka sedang menyelubungi.


Ya Allah, semoga sahabat-sahabatku berada di bawah naungan rahmatmu..
Bantulah mereka untuk menempuh dugaanMu Ya Allah..

Monday, November 9, 2009

Hapuskan keangkuhan itu!!

Sejak kebelakangan ni, telinga disaji tentang isu kepimpinan, mata di tayang dengan artikel dan penulisan yang berkaitan dengan isu yang sama juga. Memaksa diri menarikan pena walaupun kesibukan menghimpit. Sengaja ku bangkitkan hal ini lantaran kemelaratan yang bagai tiada penghujung, seakan api yang membakar hutan, payah untuk dihentikan.

Pada pendapatku simpulan ini boleh dirungkai, cuma terletak pada individu masing-masing untuk mengubahnya. Mengapa mesti memandang rendah pada individu yang tidak sefikrah denganmu, mengapa mesti ada istilah 'pilih bulu' dalam perjuangan. Bukankah setiap yang mengucap kalimah syahadah itu adalah saudara kita?Tidak kiralah siapapun dia, tidak bertudungkah, bertudung tiga segikah, bertudung labuhkah, berniqabkah mereka, mereka tetap saudara kita, tugas sesama kita untuk berpesan-pesan dan membantu mereka.


Siapa kata pendakwah hanya diletakkan kepada mereka yang dianggap 'eksklusif' sahaja. Siapa kata pemikiran yang tidak 'eksklusif' harus ditolak tepi? Siapa pula yang kata golongan yang dianggap 'eksklusif' ini dijamin masuk syurga dan siapa pula yang kata yang 'biasa-biasa' itu tidak boleh diguna pakai pendapatnya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Lihatlah orang yang dibawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu, kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Belajarlah menerima kekurangan insan lain, jangan terlalu mendabik dada lantaran kelebihan yang ada, lantaran diri terpelihara sedari kecil lagi. Kita hanyalah hamba, diciptakan dari air yang hina, yang membezakan hanya iman dan taqwa. Kita sendiri tidak dapat mengukur tahap keimanan kita, semuanya adalah rahsia Allah. Sedangkan sehingga kinipun kita masih tidak tahu, islamkah kita? berimankah kita? masuk syurgakah kita?

Wahai insan-insan yang kusayangi, selamilah hati insan-insan disekelilingmu, sesekali belajarlah merasa berada di kedudukan mereka. Dengarlah rintihan hati mereka, jangan singkirkan mereka dari hatimu, sayangilah mereka seadanya, tegurlah jika ada kesalahan, doakanlah semoga hidayah Allah menyentuh hati mereka. Biarkanlah mereka berkongsi ilmu yang sama dengan kita, sama-sama menghayati erti perjuangan, sama-sama merasai manisnya ukhuwwah dan sama-sama menghadapi getirnya menegakkan agama ini.

Wahai mereka yang dianggap 'eksklusif'. Ingatlah kamu bukan siapa-siapa, jangan dibangga ilmu yang setinggi gunung, tudung selabuh lutut, bicara yang lantang berbisa. Sepatutnya dirimu menjadi qudwah hasanah, sememangnya kita harus tegas dalam memperjuangkan agama, tetapi jangan pula sampai diketepikan nilai-nilai murni dalam membina ukhuwwah.

Kemaafan dipinta kepada yang terasa, hanya luahan hati yang terpendam selama ini..Siapa kita untuk melabel-label insan yang lain, sedang diri juga banyak kekurangan..


Ya Allah peliharalah lisan dan perbuatan ini agar tidak menyakiti hati mereka..
Satukanlah hati-hati kami agar dapat menegakkan deen ini..