Showing posts with label air terjun. Show all posts
Showing posts with label air terjun. Show all posts

Monday, November 23, 2009

Genggam bara, beranikah??

Berada di rumah bukan bermakna diri ini mempunyai masa untuk berehat-rehat, masih banyak tugas yang perlu digalas yang menyekat diri dari menulis seperti biasa. Hujung minggu ku padat dengan jemputan ke majlis perkahwinan, maklum sahajalah waktu cuti sekolah inilah waktu yang sesuai untuk bakal-bakal pengantin mengadakan majlis pernikahan dan resepsi. Sabtu yang lepas ku menghadiri majlis perkahwinan rakan adikku. Majlis yang ringkas namun meriah dipenuhi kaum keluarga dan sahabat handai. Pada waktu inilah semuanya dapat berkumpul sekali, bertukar-tukar cerita setelah sekian lama tidak berjumpa lantaran masing-masing dilanda kesibukan mengurus hal sendiri.


Pada hari yang sama juga ku menghadiri jamuan hari jadi anak kepada rakan sekerja bondaku, sangat indah pemandangan rumahnya berbaloi dengan nilainya. Berada di bandar membuatku amat mensyukuri nikmatnya berada di Perlis. Ketenangan dan kedamaian tempat itu amat menggamit perasaanku. Baru ku sedari kini betapa mencabar kehidupan di bandar, waktu malam yang bernyawa bagaikan siang menyaksikan pelbagai gelagat anak-anak muda yang meletihkan mata memandang, menyakitkan hati memantau dan memeningkan kepala memikirkannya, alahai..kesian adik-adikku membesar di kawasan yang penuh cabaran ini, menuntut pertahanan diri yang kuat untuk menghadapinya.

Ku merasai diri seperti makhluk asing yang turun dari 'UFO', setiap mata yang memandang mendatangkan rasa kurang senang di hati. Tetapi apabila memikirkan inilah sepatutnya setiap muslimat berpakaian, tuntutan dari Allah yang Esa, hati kembali tenang dan yakin, tiada lagi rasa malu menerjah diri malah makin berani dan bangga menjadi penggenggam bara. Menjadi yang asing amat menenangkan, mengapa mesti malu pada yang hak? tetapi bangga pada yang batil?

Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW bersabda:
‘Sampai satu masa, orang yang sabar dalam agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.’


Cabaran ini membuka minda, meneliti pelbagai karenah manusia, yang kaya bagai lupa akan hari pengakhiran kejayaan mereka, yang tua bagai lupa akan tempat kembali yang abadi, yang muda bagai lupa maut akan menjengah bila-bila masa. Semuanya seronok melayan nafsu dan dunia yang sementara, semua bagai lupa keseronokkan yang kekal abadi juga kesengsaraan yang kekal selamanya. Pengalaman yang berharga dari Allah, hadiah dan tarbiyyah dariNya yang amat kusyukuri.

Keesokannya pula ku bersama-sama sahabatku zura dan na melawat rumah anak-anak yatim. Lawatan pertama bagi kami mengetahui segala kekurangan yang perlu kami ambil perhatian supaya mudah urusan yang berikutnya. Akal berpusing megimbas kejadian semalamnya, semalam ku melihat rumah yang gah, insan-insan yang diberi Allah rezeki yang lebih, tapi hari ini? ku melihat mereka yang kurang bernasib baik, mengharap bantuan bagi meneruskan hidup. Inilah realiti kehidupan, tak semuanya mudah dan senang, disebabkan itulah perlunya yang muda membantu yang tua, yang senang membantu yang susah dan yang kaya membantu yang miskin. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.



Begitu sayu melihat anak-anak yatim ini, kasihan mengenangkan mereka terpaksa membersar tanpa ayah dan ibu di sisi, menagih kasih insan lain yang bukanpun bergelar saudara kepada mereka, hanyalah saudara seakidah sahaja. Namun itulah tanggungjawab kita, anak-anak yatim ini adalah sebahagian daripada kita, pada diri kita ada hak mereka. Suci wajah mereka menimbulkan cemburu pada diri, mereka adalah generasi gemilang yang digilap menjadi permata, bakal-bakal hafiz yang akan menegakkan yang hak dan melenyapkan yang batil..insyaAllah..

Setelah penat naik turun KTM, sesat mencari rumah anak-anak yatim, gembira melihat gelagat mereka, kami merehatkan fikiran di Sg Congkak. Menghayati keindahan alam yang Allah sediakan untuk kita. Sejuknya air sungai mendatangkan tenang pada hati dan diri, segala masalah seakan pergi dibawa pergi air yang mengalir. Peluang yang jarang-jarang dapat kunikmati lantaran kesibukan yang melanda diri ini ku gunakan sepuas-puasnya..Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah..


Ya Allah ku pohon ketenangan dari keluh kesah,
Bantu hambaMu ini dalam mencari redhaMU..



Saturday, August 1, 2009

Majlis Pertunangan Nadatul Nadwa bt. Shuib..

Pagi tadi berlangsungnya pertunangan diantara sahabatku Nadatul Nadwa bt Shuib dan Mohd Jihad. Pertunangan dilangsungkan di rumah beliau di Ulu Langat, Selangor. Disebabkan mama yang dipertanggungjawabkan untuk menyolek Na, maka kami bertolak awal dari rumah. Lebih kurang pukul 9 pagi. Kami (mama,alin, zura, aween dan diriku) menaiki kereta aween ke sana. Kami tiba di rumah Na, lebih kurang pada pukul 10 pagi. Sejurus sahaja kami tiba, kami disaji dengan sarapan pagi yang disediakan di luar rumah beliau. Amat nyaman suasana di Ulu Langat ini, maklum sahajalah kedudukan rumahnya berhampiran dengan tempat rekreasi Air Terjun Sungai Congkak. Betapa gembiranya dapat bersama rakan-rakan. Dah lama rasanya tak bergelak-ketawa bersama mereka. Melayan karenah Zura, memang tidak kering gusi dibuatnya.


Aween, mama dan zura yang gembira menikmati sarapan.


Alin yang comel pun turut meraikan majlis..


Aween bersama na sebelum di 'make over'.


Setelah kenyang menyantap makanan, lebih kurang pukul 11 mama meneruskan tanggungjawabnya untuk menyolek wajah na. Memang mudah kerja mama, disebabkan muka na yang sudah sedia cantik, maka tidak banyak yang perlu dirias. Amat berbeza wajah na setelah disolek. Memandangkan na memang tidak pernah bersolek, maka sesekali melihat dia bersolek amat membuatkan kami teruja. Manis sahaja wajahnya. Bertuahlah long, andai memang jodohmu. Na adalah seorang wanita yang baik, sopan santun, mempunyai agama yang baik dan cantik juga. Memang pakej. Tidak hairanlah ramai lelaki yang meminatinya dalam diam.


Wajah-wajah ceria na sebelum ditunangkan...


Seronoknyalah kami meraikan pertunangan na, ini adalah pertunangan pertama yang berlangsung di kalangan raka-rakan rapatku di politeknik. Disebabkan oleh itu, kami amat teruja dan amat gembira. Tidak lekang gelak-ketawa dan usikan dari kami. Masing-masing seakan tidak pernah berpisah sebelum ini. Walaupun pada hakikatnya, masing-masing sudah mempunyai haluan mereka yang sendiri. Tapi dengan rahmat Allah, ukhuwah yang terjalin sejak dari politeknik ini tidak pernah putus, malah makin rapat dari hari ke hari.


Rakan-rakan pengubat hati bersama mama dan alin..


Pihak lelaki tiba pada pukul 2. Kulihat sahabatku na sudah tidak senang duduk. Berdiri salah, duduk apatah lagi. Kami menasihatkan beliau supaya bertenang dan bertahmid kerana pihak lelaki telah selamat sampai. Alhamdulillah.. Na diminta keluar dari bilik bagi upacara menyarung cincin bagi merisik dan memakai gelang bagi bertunang. Kami lihat, beliau tenang sahaja, walaupun kami tahu na amat berdebar. Tahniah sahabatku, kerana kau kini sah digelar tunangan orang, yang mana impianmu sejak habis pengajianmu di politeknik lagi.


Hantaran dari pihak na..


Hantaran dari pihak long..


Na bersama mamanya..


Upacara menyarung cincin (merisik)..




Upacara memakaikan gelang (bertunang).

Majlis berakhir pada pukul 5, setelah puas bergambar dan menikmati minum petang. Kami dibawa oleh na ke Sungai Congkak. Alang-alang sudah di Ulu Langat, peluang ini amat tidak kami lepaskan. Walaupun na penat, sudah beberapa hari tidak lena tidur, beliau tetap tersenyum melayani karenah kami. Maklum sahajalah hati sudahpun lega kerana semuanya berjalan lancar. Terpancar riak bahagia di wajahnya. Setibanya kami di Sungai Congkak, kami hanya membasahkan kaki sahaja. Rindu dengan sejuk air sungai, bertuah mereka yang duduk berhampiran tempat ini. Betapa air yang dikurniakan Allah ini amat menenangkan, tidak kira pada siapa pun yang menyentuh dan memandangnya.


Ceria bermain air di Sungai Congkak..


Tahniah wahai sahabatku na...
Impian mu sudah hampir menjadi kenyataan..
Pertunangan bukanlah tiket kebebasan,
tetapi gunakanlah masa ini untuk dirimu dan pasangan mu mendalami ilmu munakahat...

Kalian sudah hampir dengan gerbang pernikahan,
nantikanlah dengan penuh kesabaran...

Ku mendoakan agar jodoh kalian berkekalan, dan impian kalian terlaksana...

Aween, zura, na..
kalian adalah sahabat yang banyak menyumbang dalam perjalananku
untuk kembali ke fitrahku...

Ucapan terima kasih tidak mungkin dapat membalas jasa kalian...
Walaupun sekarang kita sudah berjauhan, tetapi hubungan ini tetap mekar...
Betapa ku menyayangi kalian kerana Rabbi..
Betapa kalian ku rindui setiap saat..
Betapa kalian ku ingati di dalam setiap doaku...
Terima kasih kerana sudi menerima ku sebagai sahabat suatu masa dahulu..
Terima kasih kerana sudi bersabar dengan karenahku..
Terima kasih kerana membantu ku untuk kembali kepada Rabbi...
Kalian adalah sahabat yang sentiasa di dalam hatiku..
Semoga kita bertemu lagi..

Mama tersayang...
Terima kasih kerana sudi turun padang untuk membantu kami..
Mama adalah yang terbaik..
Kami sayang mama..


Ya Allah peliharalah hubungan kami...
Sabarkanlah kami dalam menempuhi dugaan Mu...
Terima kasih Ya Allah kerana menganugerahkanku sahabat yang sehebat ini..