Monday, November 23, 2009

Genggam bara, beranikah??

Berada di rumah bukan bermakna diri ini mempunyai masa untuk berehat-rehat, masih banyak tugas yang perlu digalas yang menyekat diri dari menulis seperti biasa. Hujung minggu ku padat dengan jemputan ke majlis perkahwinan, maklum sahajalah waktu cuti sekolah inilah waktu yang sesuai untuk bakal-bakal pengantin mengadakan majlis pernikahan dan resepsi. Sabtu yang lepas ku menghadiri majlis perkahwinan rakan adikku. Majlis yang ringkas namun meriah dipenuhi kaum keluarga dan sahabat handai. Pada waktu inilah semuanya dapat berkumpul sekali, bertukar-tukar cerita setelah sekian lama tidak berjumpa lantaran masing-masing dilanda kesibukan mengurus hal sendiri.


Pada hari yang sama juga ku menghadiri jamuan hari jadi anak kepada rakan sekerja bondaku, sangat indah pemandangan rumahnya berbaloi dengan nilainya. Berada di bandar membuatku amat mensyukuri nikmatnya berada di Perlis. Ketenangan dan kedamaian tempat itu amat menggamit perasaanku. Baru ku sedari kini betapa mencabar kehidupan di bandar, waktu malam yang bernyawa bagaikan siang menyaksikan pelbagai gelagat anak-anak muda yang meletihkan mata memandang, menyakitkan hati memantau dan memeningkan kepala memikirkannya, alahai..kesian adik-adikku membesar di kawasan yang penuh cabaran ini, menuntut pertahanan diri yang kuat untuk menghadapinya.

Ku merasai diri seperti makhluk asing yang turun dari 'UFO', setiap mata yang memandang mendatangkan rasa kurang senang di hati. Tetapi apabila memikirkan inilah sepatutnya setiap muslimat berpakaian, tuntutan dari Allah yang Esa, hati kembali tenang dan yakin, tiada lagi rasa malu menerjah diri malah makin berani dan bangga menjadi penggenggam bara. Menjadi yang asing amat menenangkan, mengapa mesti malu pada yang hak? tetapi bangga pada yang batil?

Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW bersabda:
‘Sampai satu masa, orang yang sabar dalam agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.’


Cabaran ini membuka minda, meneliti pelbagai karenah manusia, yang kaya bagai lupa akan hari pengakhiran kejayaan mereka, yang tua bagai lupa akan tempat kembali yang abadi, yang muda bagai lupa maut akan menjengah bila-bila masa. Semuanya seronok melayan nafsu dan dunia yang sementara, semua bagai lupa keseronokkan yang kekal abadi juga kesengsaraan yang kekal selamanya. Pengalaman yang berharga dari Allah, hadiah dan tarbiyyah dariNya yang amat kusyukuri.

Keesokannya pula ku bersama-sama sahabatku zura dan na melawat rumah anak-anak yatim. Lawatan pertama bagi kami mengetahui segala kekurangan yang perlu kami ambil perhatian supaya mudah urusan yang berikutnya. Akal berpusing megimbas kejadian semalamnya, semalam ku melihat rumah yang gah, insan-insan yang diberi Allah rezeki yang lebih, tapi hari ini? ku melihat mereka yang kurang bernasib baik, mengharap bantuan bagi meneruskan hidup. Inilah realiti kehidupan, tak semuanya mudah dan senang, disebabkan itulah perlunya yang muda membantu yang tua, yang senang membantu yang susah dan yang kaya membantu yang miskin. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.



Begitu sayu melihat anak-anak yatim ini, kasihan mengenangkan mereka terpaksa membersar tanpa ayah dan ibu di sisi, menagih kasih insan lain yang bukanpun bergelar saudara kepada mereka, hanyalah saudara seakidah sahaja. Namun itulah tanggungjawab kita, anak-anak yatim ini adalah sebahagian daripada kita, pada diri kita ada hak mereka. Suci wajah mereka menimbulkan cemburu pada diri, mereka adalah generasi gemilang yang digilap menjadi permata, bakal-bakal hafiz yang akan menegakkan yang hak dan melenyapkan yang batil..insyaAllah..

Setelah penat naik turun KTM, sesat mencari rumah anak-anak yatim, gembira melihat gelagat mereka, kami merehatkan fikiran di Sg Congkak. Menghayati keindahan alam yang Allah sediakan untuk kita. Sejuknya air sungai mendatangkan tenang pada hati dan diri, segala masalah seakan pergi dibawa pergi air yang mengalir. Peluang yang jarang-jarang dapat kunikmati lantaran kesibukan yang melanda diri ini ku gunakan sepuas-puasnya..Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah..


Ya Allah ku pohon ketenangan dari keluh kesah,
Bantu hambaMu ini dalam mencari redhaMU..



No comments:

Post a Comment