Tuesday, November 17, 2009

Tarian pena bermula..

Kini ku sudahpun berada di rumah, terasa tenang dan gembira dapat menatap wajah-wajah tersayang. Agak lama diri ini tidak pulang ke rumah lantaran kesibukan yang amat menghimpit diri. Kasihan ku melihat bonda yang terpaksa berhempas-pulas mentadbir rumah, risau mengenangkan dirinya yang semakin hari semakin menjadi sakitnya. Semoga bonda tenang dan dipelihara kesihatannya oleh Allah yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah samudera imtihan telahpun berjaya ku harungi, walaupun ada 'paper' yang hampir membuatkan ku hanyut namun ku bertawakal kepada yang Esa semoga semuanya dipermudahkan. Jika ditakdirkan 'paper' yang satu itu kecundang, ku redha atas ketentuanNya, kerana ku tahu sejauh mana kemampuanku dalam menjawab 'paper' yang satu itu.

Awan yang tidak pernah jemu memuntahkan butir-butir permata membawa tenang di hati, menghilangkan resah di jiwa, mensyukuri nikmat yang telah Rabbi beri. Sesekali kenangan bersama sahabatku pada hari Ahad yang lalu menerjah fikiran. Kasihan melihat dia yang semakin cengkung dek kerana masalah hati yang tiada kesudahan. Doaku sentiasa mengiringinya, ujian hebat untuk insan yang sehebatnya. Kukenali dia sewaktu ku di politeknik, antara salah satu tangan yang menggapai diriku dikala hilang arah dan tujuan, peneman waktu tidurku juga penyeri kelam hidupku.

Kenangan reunion bersama sahabat-sahabat di politeknik


Teman rapatku di politeknik adalah sahabat yang sangat baik, perawakan dan tutur kata mereka amat membuat orang senang dengan mereka. Walaupun orangnya biasa sahaja, namun cara mereka memelihara ukhuwwah amat ku kagumi. Teguran mereka amat lembut dan terkesan di hati. Mereka sentiasa di sisi dikala susah dan senang, jarang sekali bermasam muka inikan bertelagah, mereka banyak membantuku dalam diri ini masih tercari-cari makna sahabat sejati. Ya Allah betapa ku sayangi mereka keranaMU.

Kini salah seorang dari mereka diuji dengan ujian yang hebat, ku hanya mampu meniupkan kata semangat, berada dekat dengannya di kala hati resah dan gundah. Sabarlah wahai sahabatku, jika dirimu berusaha memelihara dirimu agar tidak dimurkai Allah, insyaAllah bahagia akan menantimu, ketenangan akan menggamitmu, pertolongan Allah akan tiba tanpa disedari. Sabar..sabar..sabar..Tangisanmu adalah tangisan ku jua, tawamu dalah tawaku jua. Bagaimana hati ini kan tenang memikirkan dirimu jauh dariku. Kalaulah kita sebilik seperti dulu, ku pasti dirimu tidak akan seperti sekarang, pasti keceriaan akan terpalit di wajahmu walau pun duka sedang menyelubungi.


Ya Allah, semoga sahabat-sahabatku berada di bawah naungan rahmatmu..
Bantulah mereka untuk menempuh dugaanMu Ya Allah..

No comments:

Post a Comment