Monday, November 9, 2009

Hapuskan keangkuhan itu!!

Sejak kebelakangan ni, telinga disaji tentang isu kepimpinan, mata di tayang dengan artikel dan penulisan yang berkaitan dengan isu yang sama juga. Memaksa diri menarikan pena walaupun kesibukan menghimpit. Sengaja ku bangkitkan hal ini lantaran kemelaratan yang bagai tiada penghujung, seakan api yang membakar hutan, payah untuk dihentikan.

Pada pendapatku simpulan ini boleh dirungkai, cuma terletak pada individu masing-masing untuk mengubahnya. Mengapa mesti memandang rendah pada individu yang tidak sefikrah denganmu, mengapa mesti ada istilah 'pilih bulu' dalam perjuangan. Bukankah setiap yang mengucap kalimah syahadah itu adalah saudara kita?Tidak kiralah siapapun dia, tidak bertudungkah, bertudung tiga segikah, bertudung labuhkah, berniqabkah mereka, mereka tetap saudara kita, tugas sesama kita untuk berpesan-pesan dan membantu mereka.


Siapa kata pendakwah hanya diletakkan kepada mereka yang dianggap 'eksklusif' sahaja. Siapa kata pemikiran yang tidak 'eksklusif' harus ditolak tepi? Siapa pula yang kata golongan yang dianggap 'eksklusif' ini dijamin masuk syurga dan siapa pula yang kata yang 'biasa-biasa' itu tidak boleh diguna pakai pendapatnya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Lihatlah orang yang dibawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu, kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Belajarlah menerima kekurangan insan lain, jangan terlalu mendabik dada lantaran kelebihan yang ada, lantaran diri terpelihara sedari kecil lagi. Kita hanyalah hamba, diciptakan dari air yang hina, yang membezakan hanya iman dan taqwa. Kita sendiri tidak dapat mengukur tahap keimanan kita, semuanya adalah rahsia Allah. Sedangkan sehingga kinipun kita masih tidak tahu, islamkah kita? berimankah kita? masuk syurgakah kita?

Wahai insan-insan yang kusayangi, selamilah hati insan-insan disekelilingmu, sesekali belajarlah merasa berada di kedudukan mereka. Dengarlah rintihan hati mereka, jangan singkirkan mereka dari hatimu, sayangilah mereka seadanya, tegurlah jika ada kesalahan, doakanlah semoga hidayah Allah menyentuh hati mereka. Biarkanlah mereka berkongsi ilmu yang sama dengan kita, sama-sama menghayati erti perjuangan, sama-sama merasai manisnya ukhuwwah dan sama-sama menghadapi getirnya menegakkan agama ini.

Wahai mereka yang dianggap 'eksklusif'. Ingatlah kamu bukan siapa-siapa, jangan dibangga ilmu yang setinggi gunung, tudung selabuh lutut, bicara yang lantang berbisa. Sepatutnya dirimu menjadi qudwah hasanah, sememangnya kita harus tegas dalam memperjuangkan agama, tetapi jangan pula sampai diketepikan nilai-nilai murni dalam membina ukhuwwah.

Kemaafan dipinta kepada yang terasa, hanya luahan hati yang terpendam selama ini..Siapa kita untuk melabel-label insan yang lain, sedang diri juga banyak kekurangan..


Ya Allah peliharalah lisan dan perbuatan ini agar tidak menyakiti hati mereka..
Satukanlah hati-hati kami agar dapat menegakkan deen ini..


No comments:

Post a Comment