Showing posts with label dugaan. Show all posts
Showing posts with label dugaan. Show all posts

Monday, July 11, 2011

Hapuskan tongkat langit..

Indahnya hidup insan bersyariat, ditemani Allah saban waktu, diiringi rahmat Allah yang Esa. Sunnah berjuang ada mehnah dan tribulasinya, terlalu laju kaki menghayun sehingga tidak sedar ia memakan diri. Teringat akan kisah Ali karamallahu wajhah, dihentikan hunusan pedang kerana khuatir kemarahannya itu bukan kerana Allah. Lantas ku perlahankan hayunan kaki, kerana khuatir perjuangan ini bukan kerana Allah.

Tiba masa untuk memuhasabah diri, mengenang dosa pada Pencipta juga makhlukNya, sesungguhnya diri ini tidak sempurna, terkadang lafaz melukai hati, tindakan meranapkan jiwa. Kerana terlalu berada di zon selesa dan berdiri di atas kaki sendiri membuatkan diri menepis secara halus tangan yang menghulur dari tepi, depan jua belakang.

Biarkan diri ini bersalut kesal, biarkan ia sedar akan kedudukannya yang hina, supaya sentiasa tidak menongkat langit memasak bumi. Aku milik Pencipta, selamanya milikNya, berkalang dosa ku sembahkan padaNya, namun tetap ku merindui dan mengharapkan rahmatNya. Semoga Allah menerima kekuranganku. Jua menerima amalan yang tidak seberapa…

“Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.” - isi khutbah terakhir Rasulullah.

Wahai mujahid dan mujahidah..tetapkanlah hati kalian di jalan Allah..

Usahlah berputus asa akan kasih sayangnya..

Jadilah seperti Ali kesayangan Rasulullah..

Bijak membezakan haq dan batil tika kewarasan akal disentap seketika….

Biarkan Allah dengan keputusanNya, namun kita..jangan lupa berusaha…

~Perjuanganku mungkin di medan yang lain…semoga Allah memudahkan..
YA ALLAH..rendahkan jiwaku, rendahkan hatiku…aku hanya seorang hamba…hamba yang hina..

Tuesday, November 17, 2009

Tarian pena bermula..

Kini ku sudahpun berada di rumah, terasa tenang dan gembira dapat menatap wajah-wajah tersayang. Agak lama diri ini tidak pulang ke rumah lantaran kesibukan yang amat menghimpit diri. Kasihan ku melihat bonda yang terpaksa berhempas-pulas mentadbir rumah, risau mengenangkan dirinya yang semakin hari semakin menjadi sakitnya. Semoga bonda tenang dan dipelihara kesihatannya oleh Allah yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah samudera imtihan telahpun berjaya ku harungi, walaupun ada 'paper' yang hampir membuatkan ku hanyut namun ku bertawakal kepada yang Esa semoga semuanya dipermudahkan. Jika ditakdirkan 'paper' yang satu itu kecundang, ku redha atas ketentuanNya, kerana ku tahu sejauh mana kemampuanku dalam menjawab 'paper' yang satu itu.

Awan yang tidak pernah jemu memuntahkan butir-butir permata membawa tenang di hati, menghilangkan resah di jiwa, mensyukuri nikmat yang telah Rabbi beri. Sesekali kenangan bersama sahabatku pada hari Ahad yang lalu menerjah fikiran. Kasihan melihat dia yang semakin cengkung dek kerana masalah hati yang tiada kesudahan. Doaku sentiasa mengiringinya, ujian hebat untuk insan yang sehebatnya. Kukenali dia sewaktu ku di politeknik, antara salah satu tangan yang menggapai diriku dikala hilang arah dan tujuan, peneman waktu tidurku juga penyeri kelam hidupku.

Kenangan reunion bersama sahabat-sahabat di politeknik


Teman rapatku di politeknik adalah sahabat yang sangat baik, perawakan dan tutur kata mereka amat membuat orang senang dengan mereka. Walaupun orangnya biasa sahaja, namun cara mereka memelihara ukhuwwah amat ku kagumi. Teguran mereka amat lembut dan terkesan di hati. Mereka sentiasa di sisi dikala susah dan senang, jarang sekali bermasam muka inikan bertelagah, mereka banyak membantuku dalam diri ini masih tercari-cari makna sahabat sejati. Ya Allah betapa ku sayangi mereka keranaMU.

Kini salah seorang dari mereka diuji dengan ujian yang hebat, ku hanya mampu meniupkan kata semangat, berada dekat dengannya di kala hati resah dan gundah. Sabarlah wahai sahabatku, jika dirimu berusaha memelihara dirimu agar tidak dimurkai Allah, insyaAllah bahagia akan menantimu, ketenangan akan menggamitmu, pertolongan Allah akan tiba tanpa disedari. Sabar..sabar..sabar..Tangisanmu adalah tangisan ku jua, tawamu dalah tawaku jua. Bagaimana hati ini kan tenang memikirkan dirimu jauh dariku. Kalaulah kita sebilik seperti dulu, ku pasti dirimu tidak akan seperti sekarang, pasti keceriaan akan terpalit di wajahmu walau pun duka sedang menyelubungi.


Ya Allah, semoga sahabat-sahabatku berada di bawah naungan rahmatmu..
Bantulah mereka untuk menempuh dugaanMu Ya Allah..

Friday, September 11, 2009

Tarbiah Allah



Sungguh Ramadhan ini bulan yang banyak mentarbiah diri dan sahabat-sahabat yang lain. Sahabat yang hebat diduga dengan dengan ujian yang hebat. Diuji dengan penyakit, masalah kewangan, kematian dan banyak lagi kejadian yang menimpa mereka yang tidak mampu ku ukir di sini. Ku hanya mampu menghembus kata semangat di kejauhan, memantau sahabat-sahabat ku dengan mata hatiku, menghulur bantuan semampu diriku. Begitu unik cara Allah mengasihi hambaNya, diberi ujian untuk mendekatkan diri kepadaNya. Supaya diri selalu berharap padaNya, membulatkan hati hanya padaNya.

Sabar..sabar..sabar..Allah sayang..itulah yang selalu kubisikkan kedalam hati tika diri diduga. Serta-merta semangat diri kembali meningkat, menelan segala kepahitan dengan membayangkan kemanisan di masa hadapan. Menggali hikmah di sebalik dugaan yang menimpa diri. Ku bersyukur di atas segala dugaan yang Allah beri, sebagai kaffarah setiap dosa-dosaku yang lalu, kini dan akan datang. Ku redha dengan kesusahan, kesedihan dan kekecewaan, asal diri tidak ditarik nikmat iman, tidak diusir jauh dari Rabbi, tidak dipalingkan hati.

Dugaan harus ditangani dengan iman dan kewarasan akal, jika tidak khuatir diri akan hilang pertimbangan lalu tersungkur menyembah lembah kehinaan. Jangan biar hati memendam rasa, menelan sendiri masalah dan dugaan yang menimpa, luahlah pada yang sekurang-kurangnya mampu mendengar, supaya beban di hati tidak menjadi barah yang memakan diri. Ku khuatir dek kerana malu dan tidak mahu menyusahkan orang lain akan menjadikan kita lebih merana, malah masalah menjadi semakin kronik.

Akal sendiri tidak mampu mengawal segala-galanya, kadang-kadang perlu juga pada buah fikiran orang lain. Jangan dipandang remeh akan pendapat orang di sekeliling kita, terkadang pemikiran mereka bernas, melangkau jauh, luar dari kotak pemikiran kita. Seperti yang kita sedia maklum, insan itu berbeza cara berfikir dan pengalamannya, cara menempuni dugaan juga mestilah berbeza.

Biar apapun warna kulitnya, biar bagaimanapun perawakannya, ambillah iktibar dari pengalaman mereka, timbanglah dengan sewajarnya, tapis sehingga dapat kita jadikan panduan. Semoga dengan berkat pengetahuan itu dapat membantu kita dalam menempuhi dugaan yang telah dihadiahkan Allah kepada kita.

Banyak sungguh anugerah yang Allah beri Ramadhan kali ini. Bukan sahaja dapat merasa enaknya limpah kurniaan pahala, malah ditarbiah Allah supaya tinggi tahap sabar pula, berjuang melawan kehendak nafsu. Bulan inilah kita dapat menguji ketahanan diri. Syaitan tiada, terpasung di neraka jahannam, maka tinggalah kita memasang strategi, melancarkan serangan melawan nafsu juga memelihara hati agar tidak tercemar dengan angan-angan yang panjang tiada sempadan hingga terkadang lupa akan kematian.

Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya menempuhi dugaan dengan sebaiknya. Lega rasa tatkala mendengarkan semuanya berjalan dengan baik. Berkat petunjuk Allah, semuanya menjadi mudah. Aneh kan? Walau berat manapun ujian yang diberi, tetap dapat kita tempuhi dengan kesabaran dan senyuman, bukan dengan kebaranan dan teriakan. Begitulah hebatnya jiwa-jiwa yang bergantung hanya pada Rabbi, diberi kekuatan yang tidak disangka-sangka. Lemah disisi Rabbi dan amat berharap padaNya, tetapi tetap kental disisi makhlukNya.


Terima kasih ya Allah di atas tarbiah ini..
Terima kasih kerana memberi ku peluang menguji tahap kesabaran diri..
Semoga semangat ku tidak luntur..