Showing posts with label hamba. Show all posts
Showing posts with label hamba. Show all posts

Monday, July 23, 2012

Bulan Limpahan Rahmat



Pernikahan adalah suatu hubungan yang suci mengikat dua jantina yang berlainan sifat dan kehendak. Fitrahnya rumah tangga itu tiada yang sempurna, namun kemanisan mengharunginya menjadikan hubungan suci ini tampak sempurna. Hubungan yang tidak bersandarkan cinta kepada Pencipta akan mewujudkan institusi kekeluargaan yang hambar, penuh kelalaian lalu menjurus kebinasaan, umpama pohon yang batangnya kelihatan ampuh fizikalnya namun lompong isinya dek di serang anai-anai secara tersembunyi. 

Suami umpama CEO manakala isteri adalah setiausahanya, setia dan berusaha membantu dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Anak adalah amanah Allah yang amat besar, diletakkan nyawa di dalam rahim isteri bukan dengan sia-sia. Allah seakan- akan memberi amaran kepada kita supaya mendidiknya menjadi khalifah di bumiNya.  Tersilap acuan akan merundumkan masa depan islam. Sesungguhnya kitalah yang rugi jika islam bukan lagi kebanggaan di masa hadapan.

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

“Katakanlah sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka di hari kiamat kelak. Dan ingatlah yang demikian itulah kerugian yang nyata” Surah Az-Zumar ayat 15.

Imarahkanlah isi rumah dengan surat cinta dari Illahi dan pesanan dari kekasih Pencipta yakni Rasulullah s.a.w agar hati-hati yang berada di dalamnya tenang, damai, dipenuhi rasa kehambaan dan cinta kepadaNya. Lontarkan tutur kata yang enak untuk halwa telinga, serlahkan peribadi acuan Al-Quran agar akhlak yang mulia menjadi cermin peribadi. Jika baik akar nya maka baiklah pohonnya.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah daripada Allah kepada kita, kita sering teruja dengan potongan harga pada barangan-barangan di “shopping mall’ tika berlangsungnya “year end sales”, namun hati kita kurang teruja dengan bulan Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambaNya. Sedikit amalan namun gandaannya lebih pada bulan barakah ini. Wahai hamba Allah terutamanya pasangan suami isteri yang ditakdirkan Allah untuk bersama, mari kita tingkatkan kualiti ibadah kita, lahirkan rasa syukur dengan rasa kehambaan kepadaNya. Bukankah indah bertadarus dan berjemaah bersama, bertahajjud bersama usai sahur? Terlalu banyak nikmat yang telah diberiNya kepada kita, maka layakkah kita mengkufuriNya? Tepuk dada tanyalah imanmu wahai para hamba Allah.

Thursday, January 5, 2012

Minoriti di bumi Allah..



Berada di negara yang asing budayanya membuatkan ku amat menghargai tanah air tercinta. Terasa kerdil diri dikala Allah menganugerahkan taraf minority di tanah yang dipenu hi mereka yang tidakmenyembah Allah yang Maha Kuasa. Persiapan diri harus dari tempat kediaman lagi, auratnya, wudhuknya dan bermacam-macam lagi supaya mudah untuk melaksanakan solat walau di mana sahaja. Ya, disitulah teori seorang muslim di praktikkan , tiada alasan yang membataskan ibadat dan hukum, walau dicelahan batu kita tersepit, kita tetap hambaNya. Kesempitan inilah yang membuat kita berfikir untuk mencari makanan yang halal lagi suci, lapar tidak dijadikan alasan untuk melanggar hukumNya.

Mata wajib bersedia kerana terlalu mudah di jamu cerita-cerita sensor di kaca TV tatkala larut malam menjelma, juga amat terdedah dengan pemandangan yang amat menjolok mata kerana iman dan islam amat jauh dari norma kehidupan penduduknya. Menggeleng-geleng kepala tatkala melihat anak muda mereka bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa segan dan silu. Modenisasi diiringi keruntuhan nilai sosial amat menyesakkan. Terkenang peristiwa di kala ada seorang pemuda di kalangan mereka yang memakai kemeja T yang tertulis ‘Bismillahi Rahmanir Rahim’ dalam tulisan jawi. Astaghfirullah…istighfar panjang ku melihatnya, begitu rendah nilai Allah di sisi mereka. Salah kita yang tidak mampu menyampaikan kepada mereka yang tidak mahu mencari Pencipta mereka.

Namun di sebalik taraf sosial mereka yang begitu ampuh, namun ada segelintir akhlak mereka sangat membanggakan terutamanya dari segi kebersihan dan ketepatan masa. Bila terkenang tanah air, malu menyelubungi diri. Terkadang sikap mereka yang beragama islam tidak sebaik mereka yang yang tidak menyembahNya. Tahap piawaian kebersihan di Malaysia tiada yang boleh dibanggakan, sedang di negara asing ini; sekeliling tong sampahnya juga mempunyai tahap kebersihan yang amat cemerlang. Kesantunan dan keramahan mereka juga amat mengujakan, menyelesakan pelancong yang hadir.

Kenangan ini amat mahal ya Rabbi…tidak mungkin mampu ku kutip andai tidak Kau takdir dan rezekikan ia kepadaku, berada di tanah asing ini menyedarkan ku, betapa hebat mereka yang mampu menjaga diri di celahan majoritinya bukan beragama islam..membuatkan ku tersedar, tiada alasan untuk tidak beribadat kepadaMu..Namun ia juga membuat ku tersedar betapa bertuah anugerah Malaysia kepada sekalian hambaMu yang berada di tanahnya. Malang sekali kepada mereka yang tidak mampu menggunakan sebaiknya nikmat yang telah Kau berikan kepada mereka…SUNGGUH RUGI!!!

Firman Allah: “Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.”

(Az-Zumar 39:63)


Monday, July 11, 2011

Hapuskan tongkat langit..

Indahnya hidup insan bersyariat, ditemani Allah saban waktu, diiringi rahmat Allah yang Esa. Sunnah berjuang ada mehnah dan tribulasinya, terlalu laju kaki menghayun sehingga tidak sedar ia memakan diri. Teringat akan kisah Ali karamallahu wajhah, dihentikan hunusan pedang kerana khuatir kemarahannya itu bukan kerana Allah. Lantas ku perlahankan hayunan kaki, kerana khuatir perjuangan ini bukan kerana Allah.

Tiba masa untuk memuhasabah diri, mengenang dosa pada Pencipta juga makhlukNya, sesungguhnya diri ini tidak sempurna, terkadang lafaz melukai hati, tindakan meranapkan jiwa. Kerana terlalu berada di zon selesa dan berdiri di atas kaki sendiri membuatkan diri menepis secara halus tangan yang menghulur dari tepi, depan jua belakang.

Biarkan diri ini bersalut kesal, biarkan ia sedar akan kedudukannya yang hina, supaya sentiasa tidak menongkat langit memasak bumi. Aku milik Pencipta, selamanya milikNya, berkalang dosa ku sembahkan padaNya, namun tetap ku merindui dan mengharapkan rahmatNya. Semoga Allah menerima kekuranganku. Jua menerima amalan yang tidak seberapa…

“Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.” - isi khutbah terakhir Rasulullah.

Wahai mujahid dan mujahidah..tetapkanlah hati kalian di jalan Allah..

Usahlah berputus asa akan kasih sayangnya..

Jadilah seperti Ali kesayangan Rasulullah..

Bijak membezakan haq dan batil tika kewarasan akal disentap seketika….

Biarkan Allah dengan keputusanNya, namun kita..jangan lupa berusaha…

~Perjuanganku mungkin di medan yang lain…semoga Allah memudahkan..
YA ALLAH..rendahkan jiwaku, rendahkan hatiku…aku hanya seorang hamba…hamba yang hina..

Monday, October 12, 2009

Kesukaran yang manis (ISTIQAMAH)

Pelbagai keluhan yang didengari dari sekelilingku. Megapa sukar untuk istiqamah untuk menjalani hidup sebagai seorang muslim. Dewasa ini terlalu ramai yang islam hanya pada nama sahaja, tetapi tidak pada hatinya. Tika berada bersama insan-insan yang baik akhlaknya, hati akan berdetik untuk menjadi seperti mereka. Tetapi apabila jauh dari golongan tersebut dan dikelilingi insan yang mempunyai masalah, imanpun mula goyah, hati mula memberontak untuk menjadi seperti mereka. Dimanakah salahnya??

Itulah hati, bolak-balik keadaannya dan begitu jua iman, naik turun tingkatannya. Sebagai contoh isteri Firaun yakni Asiah bt Muzahim. Beliau tetap istiqamah dalam mengesakan Allah walau kita tahu betapa zalim dan kufurnya Firaun itu. Jika bukan kerana iman yang teguh dan jiwa yang kental, tidak mungkin beliau akan sekuat dan setabah itu. Tambahan lagi dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah, Asiah tidak gentar dalam berhadapan dengan apa jua kesulitan.


Istiqamahlah dengan agama Allah, berusahalah memperbaiki diri dari hari ke hari. Orang yang beriman hendaklah bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi maksiat demi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Benarlah kata pepatah, "berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Jika inginkan nikmat bertemu dengan Rabbi, nikmat syurga, diri hendaklah berusaha mencari cintaNya. Berkorban apa sahaja demi meraih kejayaan di akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
(Surah al-Fussilat: 30)

Menurut Ibn Qayyim, terdapat lima prasyarat bagi mencapai istiqamah dalam amalan :

  • Perbuatan mestilah ikhlas kerana Allah.
  • Ia dilakukan dengan mempunyai ilmu pengetahuan dan bukan jahil.
  • Ibadah dilakukan mengikut syariat.
  • Pebuatan hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
  • Memastikan diri melakukan apa yang disyariatkan sahaja.

Dalam memastikan istiqamah dalam sesuatu, terdapat tiga tahap yang perlu berjalan seiring iaitu :

  • Istiqamah hati : Jaga hati daripada sifat syirik dan mazmumah sebaliknya hiasi diri dengan sifat mahmudah (Surah al-Furqan 25:32).

  • Istiqamah lisan : Menjaga lisan supaya sentiasa berkata jujur dan berani kerana hak (Surah Ibrahim 14:27).

  • Istiqamah perbuatan : Tekun dalam pekerjaan dan melakukan yang terbaik.

--> Sumber daripada Ustaz Shauqi Othman, 2009, Isu 11, Solusi (Muka surat 66-67), Kuala Lumpur, Telaga Biru.


Wahai hati, janganlah berpaling setelah diberi petunjuk..Tidak putus doaku padaMu Rabbi, perkenankanlah..

Wednesday, July 29, 2009

Menjaga hati...

Segumpal daging yang bernama 'Hati' ini bukan mudah untuk di jaga. Terkadang sifat mazmumah melintas juga. Jika tidak dengan iman yang teguh dan hati membasah dengan zikir kepada Rabbi, mungkin hati ini akan tewas dengan tipu daya syaitan yang direjam dan nafsu yang melalaikan.

Muslim yang ingin mempunyai iman yang selalu bersinar memancar akan sentiasa mencari cara untuk selalu mendekatkan dirinya kepada Rabbnya. Tidak akan lekang asma' Allah di hati dan mulutnya. Tidak akan terasa cukup amal ibadatnya. Terasa menggunung dosa-dosanya. Lantaran mabuk cinta yang teramat dalam kepada Rabbnya. Lantaran juga mengharap keampunan dari Rabbnya. Supaya dipermudahkan bertemu dengan Rabbi andai tiada lagi dosa dan noda pada diri.

Seperti yang diperkatakan oleh Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”.

Begitulah betapa pentingnya zikir kepada hati. Tambahan lagi, betapa insan ini perlu menginsafi diri, mensyukuri segala nikmat yang telah Allah beri bagi menyuburkan rasa kehambaan di dalam diri. Betapa kita tiada apa di dunia ini, betapa kita hidup hanyalah untuk mati bertemu yang Esa. Dalam perjalanan di dunia ini, ada tugasan yang perlu kita galas. 'Khalifah di muka bumi', bukan semudah ungkapan sahaja. Ia memerlukan kekuatan rohani, mental dan fizikal dan juga sedikit pengetahuan untuk melaksanakannya.




Sedarlah kita hanya dari setitis air yang hina, diangkat oleh Allah menjadi makhluk yang mulia untuk menghambakan diri kepadaNya.

Ya Allah bantulah diriku untuk memelihara hati ini, semoga ia tidak berpaling setelah Engkau memberi petunjuk...
Peliharalah hambaMu ini dari sifat mazmumah..
Suburkanlah hati ini dengan sifat mahmudah Ya Allah..
Hanya kepadaMu ku berserah..