Pernikahan adalah suatu hubungan yang suci mengikat dua
jantina yang berlainan sifat dan kehendak. Fitrahnya rumah tangga itu tiada
yang sempurna, namun kemanisan mengharunginya menjadikan hubungan suci ini
tampak sempurna. Hubungan yang tidak bersandarkan cinta kepada Pencipta akan
mewujudkan institusi kekeluargaan yang hambar, penuh kelalaian lalu menjurus
kebinasaan, umpama pohon yang batangnya kelihatan ampuh fizikalnya namun
lompong isinya dek di serang anai-anai secara tersembunyi.
Suami umpama CEO
manakala isteri adalah setiausahanya, setia dan berusaha membantu dalam
melahirkan generasi yang berkualiti. Anak adalah amanah Allah yang amat besar,
diletakkan nyawa di dalam rahim isteri bukan dengan sia-sia. Allah seakan- akan
memberi amaran kepada kita supaya mendidiknya menjadi khalifah di bumiNya. Tersilap acuan akan merundumkan masa depan
islam. Sesungguhnya kitalah yang rugi jika islam bukan lagi kebanggaan di masa
hadapan.
“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini
seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah,
sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim
ayat 8.
“Katakanlah sesungguhnya orang-orang yang rugi itu
adalah orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka di hari
kiamat kelak. Dan ingatlah yang demikian itulah kerugian yang nyata” Surah
Az-Zumar ayat 15.
Imarahkanlah isi rumah dengan surat cinta dari Illahi dan
pesanan dari kekasih Pencipta yakni Rasulullah s.a.w agar hati-hati yang berada
di dalamnya tenang, damai, dipenuhi rasa kehambaan dan cinta kepadaNya. Lontarkan
tutur kata yang enak untuk halwa telinga, serlahkan peribadi acuan Al-Quran
agar akhlak yang mulia menjadi cermin peribadi. Jika baik akar nya maka baiklah
pohonnya.
Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah daripada Allah
kepada kita, kita sering teruja dengan potongan harga pada barangan-barangan di
“shopping mall’ tika berlangsungnya “year end sales”, namun hati kita kurang
teruja dengan bulan Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambaNya.
Sedikit amalan namun gandaannya lebih pada bulan barakah ini. Wahai hamba Allah
terutamanya pasangan suami isteri yang ditakdirkan Allah untuk bersama, mari
kita tingkatkan kualiti ibadah kita, lahirkan rasa syukur dengan rasa kehambaan
kepadaNya. Bukankah indah bertadarus dan berjemaah bersama, bertahajjud bersama
usai sahur? Terlalu banyak nikmat yang telah diberiNya kepada kita, maka
layakkah kita mengkufuriNya? Tepuk dada tanyalah imanmu wahai para hamba Allah.
No comments:
Post a Comment