Itulah hati, bolak-balik keadaannya dan begitu jua iman, naik turun tingkatannya. Sebagai contoh isteri Firaun yakni Asiah bt Muzahim. Beliau tetap istiqamah dalam mengesakan Allah walau kita tahu betapa zalim dan kufurnya Firaun itu. Jika bukan kerana iman yang teguh dan jiwa yang kental, tidak mungkin beliau akan sekuat dan setabah itu. Tambahan lagi dengan keyakinan yang tinggi kepada Allah, Asiah tidak gentar dalam berhadapan dengan apa jua kesulitan.
Istiqamahlah dengan agama Allah, berusahalah memperbaiki diri dari hari ke hari. Orang yang beriman hendaklah bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi maksiat demi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Benarlah kata pepatah, "berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Jika inginkan nikmat bertemu dengan Rabbi, nikmat syurga, diri hendaklah berusaha mencari cintaNya. Berkorban apa sahaja demi meraih kejayaan di akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
(Surah al-Fussilat: 30)
Menurut Ibn Qayyim, terdapat lima prasyarat bagi mencapai istiqamah dalam amalan :
- Perbuatan mestilah ikhlas kerana Allah.
- Ia dilakukan dengan mempunyai ilmu pengetahuan dan bukan jahil.
- Ibadah dilakukan mengikut syariat.
- Pebuatan hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
- Memastikan diri melakukan apa yang disyariatkan sahaja.
Dalam memastikan istiqamah dalam sesuatu, terdapat tiga tahap yang perlu berjalan seiring iaitu :
- Istiqamah hati : Jaga hati daripada sifat syirik dan mazmumah sebaliknya hiasi diri dengan sifat mahmudah (Surah al-Furqan 25:32).
- Istiqamah lisan : Menjaga lisan supaya sentiasa berkata jujur dan berani kerana hak (Surah Ibrahim 14:27).
- Istiqamah perbuatan : Tekun dalam pekerjaan dan melakukan yang terbaik.
--> Sumber daripada Ustaz Shauqi Othman, 2009, Isu 11, Solusi (Muka surat 66-67), Kuala Lumpur, Telaga Biru.
Wahai hati, janganlah berpaling setelah diberi petunjuk..Tidak putus doaku padaMu Rabbi, perkenankanlah..
No comments:
Post a Comment