Wednesday, October 21, 2009

Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad

Tenang malam mengiringi perjalanan ku dan sahabiah-sahabiah ke surau Taman Jali. Sanggup ku meninggalkan sebentar bebanan tugasan kuliah hanya kerana merindui majlis ilmu yang tidak semua dapat menghadirinya. Betapa bertuahnya diri kerana dapat menghadiri kuliyyah pada kali ini kerana surau barakah ini mengadakan Majlis Haul memperingati peninggalan Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad.

Majlis dimulakan dengan mengalunkan Ratib Al-Haddad dan Wird-ul-Latif. Sayu dan syukur memenuhi segenap ruang diri kerana dapat membacanya bersama jemaah. Terasa kerdil diri menharapkan mardhatillah dan cintaNya. Qasidah yang dialunkan oleh para pelajar maahad tahfiz juga membuai diri bersama alunan puji-pujian kepada Allah yang Esa. Kaca-kaca jernih jatuh jua, seiring lenggok qasidah yang dialunkan. Diri ini sedar akan kelalaian yang menimpa, ku menyesali tiap detik yang kusiakan.

Imam Abdullah Alawi Al-Haddad dilahirkan di sebuah perkampungan di kota Tarim, Hadramaut, Yaman pada 1066 Hijrah. Beliau adalah mujaddid islam yang terkenal (pembaharu). Beliau terkenal dengan ilmunya yang luas dan bermanfaat untuk di wariskan kepada insan-insan sepanjang zaman. Kehilangan daya penglihatan sejak umur 4 tahun digantikan Allah dengan kebolehan yang luar biasa yakni dapat menyerap ilmu dengan baik dan dapat menyebarkan dengan seluasnya.


Ratib Al-Haddad adalah doa-doa dan zikir-zikir karangan beliau yang paling mahsyur. Ia disusun berdasarkan inspirasi pada malam Lailatul Qadar, 27 Ramadhan 1071 Hijriyah (26 Mei 1661). Ratib ini terkenal dengan kemujarabannya untuk mencapai perlindungan Allah. Setiap ayat, doa dan nama Allah yang disebutkan di dalam ratib ini dipetik dari Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w.

--> Sumber daripada Imam Abdullah Al-Haddad, 2009, Cetakan keempat, Ratib Al-Haddad dan Wirdul-Latif, Hawi al-khairat.


Semoga beliau sentiasa berada di dalam perlindungan, maghfirah dan rahmat Allah.

No comments:

Post a Comment