Friday, October 2, 2009

Mencintai kalamullah


Tajuk Ceramah : Hafazan Al-Quran.

Penceramah : Al-Fadhil Ustaz Ramzani bin Abd Rahman (Imam Masjid An-Nur Uitm Arau, Perlis).

Lokasi : LT4 Uitm Arau Perlis.

Masa : 9.00 - 11.00 malam.


Pada malam ini, persatuan IMAM telah menganjurkan program ceramah berkenaan Hafazan Al-Quran. Amatlah tidak sabar ku ingin menyertainya. Masih banyak ilmu yang belum diri ini gali. Terima kasih kepada sahabatku ijan yang mengkhabarkan tentang berita ini, jika tidak sudah pasti ku terlepas peluang keemasan ini, Alhamdulillah, sungguh ku amat mensyukuri nikmat Rabbi.

Ceramah dimulakan dengan kisah bagaimana Rasulullah mendapat wahyu. Ustaz mengatakan bahawa umat dahulu berjaya adalah kerana mereka mengagungkan Al-Quran. Setiap ahli syura di zaman Rasulullah dan khulafa' Ar-Rasyidin adalah penghafaz Al-Quran. Sebagai contoh, dek kerana kealiman Ibn Abbas dalam mentafsir Al-Quran, beliau menjadi salah seorang daripada ahli syura walaupun pada ketika itu yang menyertainya adalah orang-orang yang jauh lebih tua dari beliau.

Dalam penceramah menceritakan tentang kehebatan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya, ustaz mengajukan soalan berkenaan sejarah lampau. Beliau bertanya kepada hadirin apakah tempat yang hanya sekali dipanahi cahaya matahari??Jenuh akal para hadirin memikirkan jawapannya, tanpa pengetahuan yang tinggi, berlandaskan Al-Quran, sudah tentu jawapannya agak sukar untuk kita jawab. Jawapannya adalah Laut Merah.

Dasar laut ini hanya di pancari matahari di waktu Nabi Musa melarikan diri dari Firaun Laknatlullah. Terbelah ketika tongkat dipukul ke laut itu, maka sampailah cahaya matahari ke dasarnya. Siapalah kita untuk menjawab soalan tadi andai tiada Al-Quran sebagai panduan. Begitu jugalah kisah Firaun Laknatullah yang mayatnya tidak terjejas, dijadikan Allah begitu untuk dijadikan iktibar bagi umat-umat kemudian. Dalam Kalamullah itu, pelbagai kisah diceritakan, hukum di nasakh dan perjelaskan. Menjadi kewajipan kita menyelami maksudnya, menjadikannya zikir harian kita.

Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat-peringkat. Baginda mempelajarinya dengan jibrail secara berhadapan. Dengan mendengar setiap patah ayat dari guru, akan memudahkan lagi proses menghafaz ayat-ayat Al-Quran ini. Ada beberapa tips yang diberikan oleh ustaz kepada kami dalam menjana mahasiwa yang celik Al-Quran.

  • Memperbetulkan niat kita dalam mempelajari Al-Quran. Seharusnya kerana Allah semata-mata bukan kerana ingin mengejar keharuman nama, dan dipandandang mulia oleh masyarakat.

  • Memperbetulkan bacaan kita dahulu sebelum menghafaznya. Bacaan haruslah diperdengarkan kepada guru yang berkelayakan.

  • Hendaklah ada penetapannya dan mengulang-ulang bacaan. Setakat mana yang mampu kita hafal untuk sehari. Ini bagi tidak membebankan diri kita sendiri.

  • Membacanya dengan berlagu akan lebih memudahkan kita untuk mengahafalnya. Lumrah manusia itu sukakan bunyian yang merdu dan sedap didengar. Bak kata ustaz, lebih mudah menghafaz lagu daripada Al-Quran.

  • Pemakanan juga perlu dijaga. Makanlah makanan-makanan yang disebut-sebut di dalam Al-Quran, seperti tamar, buah tin, buah zaitun, kismis, madu, badam dan juga buah-buahan segar.

  • Solat hajat dan juga solat sunat hafazan bagi memudahkan kita menghafaz Kalamullah


Walaupun akan ada pelbagai dugaan dan kekangan yang akan melanda mereka-mereka yang ingin menjadi hafiz dan hafizah, tetapi ku tahu Allah akan membantu. Ku berdoa kepada Rabbi semoga lebih banyak ikhwan dan akhowat yang berusaha untuk menjadi hafiz dan hafizah, memuliakan kalamullah. Teringat pesanan ustaz, jika kita tidak mampu menghafaz satu Al-Quran, cukuplah kita menghafaz beberapa ayat di dalamnya sebagai contoh menghafaz surah Yassin yang juga dikenali jantung Al-Quran.

Wallahua'lam..


Ya Allah, Tuhan Maha Penyayang..semoga KalamMu ini sentiasa menjadi temanku, panduanku dan zikirku..

No comments:

Post a Comment