Wednesday, August 12, 2009

Usrah dan kepentingannya..


Sewaktu mengikuti KRIS yang lalu, satu ceramah tentang usrah dan juga kepentingannya telah di beri kepada para peserta. Usrah berasal dari perkataan arab yang bermaksud keluarga. Ia merupakan satu medan pembentukan yakni penekanan dan perbincangan di atas semangat ukhuwwah al-islamiyah.

Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Dengan penekanan ini akan terlahirlah semangat juang dan ketahanan secara berjemaah.

Usrah mempunyai rukunnya tersendiri. Rukun yang pertama ialah Taaruf. Ia membawa makna perkenalan. Rukun ini mengajak kita mengenali siapa rakan seusrah kita. Mengambil berat dan mengambil tahu apa kecintaan dan kebencian beliau supaya mudah untuk kita berbincang dan memberi pendapat. Tambahan lagi kita tahu bahawa rakan seusrah ini sudah seperti ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang hubungan berlandaskan akidah ini lebih rapat dari hubungan kita dengan keluarga sendiri, memandangkan kita mempunyai matlamat yang sama.

Rukun yang kedua pula Tafahum yakni saling memahami. Memahami tabiat rakan seusrah kita dan juga menerima beliau seadanya. Rukun yang ketiga pula Takaful iaitu lengkap-melengkapi. Pada rukun inilah rakan-rakan seurah sama-sama membantu dalam usaha untuk mencapai kejayaan duniawi mahupun ukhrawi. Dengan jemaah sahaja Islam akan berjaya.

Usrah adalah satu agenda yang cukup praktikal diketengahkan kepada mahasiswa kerana mempunyai kepentingan dan manfaat yang cukup besar kepada kita. antaranya ialah:

1. Mewujudkan Suasana Ukhuwwah Fillah
Pertemuan usrah bukanlah hanya pertemuan ilmiah, tetapi boleh diambil peluang untuk mewujudkan suasana ukhuwwah fillah dengan banyak mendalami latar belakang sahabat dan meningkatkan rasa tanggungjawab dan kasih-sayang di antara satu sama lain.

2. Meningkatkan daya intelektual dan sensitiviti mahasiswa islam
Hasil munaqashah (perbincangan) bersama yang wujud di kalangan sahabat seusrah akan membuahkan satu input yang boleh diterjemahkan kepada masyarakat pada suatu hari nanti dan sekaligus menjauhkan perasaan lagho dan sia-sia yang sentiasa menyerang hati pemuda islam.

3. Melahirkan suasana nasihat-menasihati serta hormat-menghormati
Sesunguhnya agama itu adalah nasihat-menasihati. Sebagai pelajar islam, penyerapan tarbiyah adalah satu sistem yang penting dan sesungguhnya, kita sebagai hamba Allah tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Oleh hal yang demikian medan usrah adalah suatu tempat ideal untuk kita bermuahasabah di antara satu sama lain.

4. Menyemai sifat da'ie (pendakwah)
Hasil munaqashah bersama sahabat sedikit sebanyak meberi kesan yang baik dalam mencungkil bakat yang sedia ada di dalam diri azhari, seperti berceramah, memberi kuliyah, pidato dan memberi sikap berani apabila berhadapan dengan mad'u.

wallahua'lam..

--> Sumber daripada nota 'usrah dan kepentingannya', IMAM.

No comments:

Post a Comment