Friday, July 24, 2009

Percutian yang tidak dijangka...

Tika ini ku sudahpun berada di rumah. Alhamdulillah, perjalananku malam tadi dipermudahkan Allah. Syukur yang tidak terperi ku panjatkan kepada Rabbi. Masih ku teringat peristiwa semalam yang mengacau-bilaukan hati dan fikiran hampir keseluruhan warga UiTM Arau, perlis. 'Message' yang diterima oleh sahabatku mien seusai menikmati juadah tengahari di Anjung Keli semalam merubah rancangan setiap orang. Kata 'message' tersebut, seluruh UiTM diisytiharkan bercuti selama seminggu. Setiap rakan-rakanku yang mendengarnya panik, termasuklah diriku sendiri. Masakan tidak, tiada ribut, tiada taufan, tiba-tiba diisytiharkan cuti. Apakah UiTM Arau telah diserang H1N1 juga???

Setelah mendapat kepastian daripada penasihat program, barulah kami merasa sedikit lega. Rupa-rupanya UiTM ingin selaraskan cuti kerana kampus cawangan yang lain di kuarantin disebabkan wabak H1N1. Allah menduga hambanya lagi, tatkala kami menyerbu stesen bas Kangar bagi mendapatkan tiket pulang ke kampung, kami melihat ramai orang yang berpusu-pusu untuk membeli tiket. Rata-rata dari mereka adalah pelajar UiTM. Tiket sangat laku tika ini, pisang goreng panaspun tidak mampu menandingi tahap jualannya. Setelah bersusah-payah beratur dan menunggu, akhirnya kami berjaya juga membeli tiket untuk pulang ke rumah malam itu juga.


Stesen bas Kangar yang tidak sesak langsung berbanding hari kejadian..


Benarlah takdir Allah itu tidak mampu kita duga. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tetapi yang menentukannya hanya Allah yang Maha Esa jua. Siapa sangka kami akan berada di rumah sepanjang minggu ini. Siapa jangka semua ini berlaku. Allah Maha Hebat, hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Disebabkan takdir Allah, tidak perlu lagi diriku memonteng kelas lantaran ingin menghadiri temuduga biasiswa PROTON pada hari Jumaat hadapan. Sahabatku mien juga tidak perlu memonteng kelas kerana ingin melancong ke Indonesia. Cuti mengejut ini dapatlah merehatkan kami bertujuh yang berpenat-lelah menyelesaikan hal rumah sewa dan juga kereta. Cuti yang amat kami syukuri.

Terima kasih kepada sahabat yang ku sayangi, mien, lela, fatta dan adik yang sentiasa di hati, Hannan kerana sudi membantu dan menolong menghantarku di stesen Kangar. Terima kasih juga kepada sahabat yang kurindui ecah, uda dan ct kerana bersama-sama bersusah-payah mencari tiket. Jika ada umur yang panjang kita pasti bertemu lagi minggu hadapan.



Ukhuwwah yang terjalin dengan ikhlas atas nama Allah, amat payah untuk diputuskan. Perpisahan yang hanya sebentar cuma, kurasa akan berpisah selama-lamanya. Erat ku dakap rakan-rakanku semuanya, membuatkan ku hampir menitiskan air mata. Sabarlah wahai hati, sabarlah wahai sahabat-shabatku sayang, bertemu dan berpisah kita hanyalah kerana Allah. Semoga hubungan kita makin erat selepas ini. Semoga Allah menjaga hubungan kita.


Nilah hasilnya kalau tangkap guna kamera hp di kala malam. Maaf ya kawan-kawan.. :)


Ukhuwwah itu bukan pada indahnya pertemuan, tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya, Kuharapkan mekar di hati agar persahabatan suci ini kan terus mantap, menjadi syafaat terukir indah di pintu jannah...

No comments:

Post a Comment