Sunday, July 26, 2009

Kedatangan insan baru...

Terdengar desas-desus sebelum ini mengatakan sahabat lamaku (sewaktu di Sek Men Teknik) telah dikurniakan Allah cahaya matanya yang pertama. Bayi perempuan yang dianugerahkan Allah itu diberi nama Nur Aleysha seberat 2.5 kg.


Nur Aleysha yang mirip ibunya

Dikesempatan cuti mengejut ini, ku membuat keputusan untuk menziarahi beliau bersama dengan sahabat baikku semasa di sekolah teknik, iaitu Fazidah Fahmi (Gda). Tidak ku sangka waktu berlalu begitu pantas, rasanya seperti baru semalam kami bergelak-ketawa di sekolah.


Bersama Aida, baby dan Gda

Kini, sahabatku ini telahpun memikul tanggungjawab yang besar yakni sebagai seorang ibu. Bukan mudah menjadi ibu, melihatkan mama yang membesarkanku dan adik-adik yang nakal inipun membuatkan ku termenung seketika, inikan pula memikul sendiri tanggungjawab itu. Tingkah laku ibubapa haruslah dijaga sejak dari awal lagi, ini adalah kerana anak-anak akan mengikut tingkah laku ibubapa mereka. Jika baik acuannya, InsyaAllah baiklah hasilnya. Seperti sabda Rasulullah mafhumnya;

“Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”


Setiap ibubapa pasti gembira dengan kehadiran insan baru dalam hidup mereka, tetapi ada sesetengahnya berasa kurang senang dengan kehadiran insan suci ini. Lantaran ketidaksediaan mereka untuk memikul tanggungjawab. Justeru itu, kesediaan harus dipupuk, ia tidak akan muncul dengan sendirinya. Ibubapa juga harus mendalami ilmu keibubapaan dalam menjana generasi yang cemerlang di masa hadapan. Untuk membentuk generasi yang cemerlang, ia harus di rancang sedari awal lagi, bermula dengan pemilihan pasangan sebelum mendirikan rumah tangga.


Anak-anak yang cemerlang akan membentuk masyarakat yang cemerlang dan seterusnya. Cemerlangnya mereka bukan sahaja dari segi duniawi, bahkan ukhrawi juga. Dewasa ini kita sering disaji dengan berita yang mengatakan anak remaja semakin rosak akhlaknya. Gejala sosial semakin kronik. Oleh yang demikian, ibubapa harus berpandangan jauh. Memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal anak-anak hadapi di masa akan datang, supaya sedikit sebanyak mereka lebih bersedia untuk menghadapinya.


Kepada sahabatku Aida dan pasangan (kepadaku juga), semoga tabah dan sabar menjalani tanggungjawab kalian. Ingatlah bahawa mereka adalah amanah Allah yang tidak ternilai. Kalian adalah pemikul tangunggjawab yang besar. Peliharalah amanah tersebut sebaik yang mungkin. Takutlah kita kepada Allah yang esa jika disoal di akhirat kelak tentang amanah itu.



Amanah Allah..



رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
الفرقان :74

"Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang bertaqwa. (Al-Furqan: 74)"


No comments:

Post a Comment