Saturday, August 1, 2009

Majlis Pertunangan Nadatul Nadwa bt. Shuib..

Pagi tadi berlangsungnya pertunangan diantara sahabatku Nadatul Nadwa bt Shuib dan Mohd Jihad. Pertunangan dilangsungkan di rumah beliau di Ulu Langat, Selangor. Disebabkan mama yang dipertanggungjawabkan untuk menyolek Na, maka kami bertolak awal dari rumah. Lebih kurang pukul 9 pagi. Kami (mama,alin, zura, aween dan diriku) menaiki kereta aween ke sana. Kami tiba di rumah Na, lebih kurang pada pukul 10 pagi. Sejurus sahaja kami tiba, kami disaji dengan sarapan pagi yang disediakan di luar rumah beliau. Amat nyaman suasana di Ulu Langat ini, maklum sahajalah kedudukan rumahnya berhampiran dengan tempat rekreasi Air Terjun Sungai Congkak. Betapa gembiranya dapat bersama rakan-rakan. Dah lama rasanya tak bergelak-ketawa bersama mereka. Melayan karenah Zura, memang tidak kering gusi dibuatnya.


Aween, mama dan zura yang gembira menikmati sarapan.


Alin yang comel pun turut meraikan majlis..


Aween bersama na sebelum di 'make over'.


Setelah kenyang menyantap makanan, lebih kurang pukul 11 mama meneruskan tanggungjawabnya untuk menyolek wajah na. Memang mudah kerja mama, disebabkan muka na yang sudah sedia cantik, maka tidak banyak yang perlu dirias. Amat berbeza wajah na setelah disolek. Memandangkan na memang tidak pernah bersolek, maka sesekali melihat dia bersolek amat membuatkan kami teruja. Manis sahaja wajahnya. Bertuahlah long, andai memang jodohmu. Na adalah seorang wanita yang baik, sopan santun, mempunyai agama yang baik dan cantik juga. Memang pakej. Tidak hairanlah ramai lelaki yang meminatinya dalam diam.


Wajah-wajah ceria na sebelum ditunangkan...


Seronoknyalah kami meraikan pertunangan na, ini adalah pertunangan pertama yang berlangsung di kalangan raka-rakan rapatku di politeknik. Disebabkan oleh itu, kami amat teruja dan amat gembira. Tidak lekang gelak-ketawa dan usikan dari kami. Masing-masing seakan tidak pernah berpisah sebelum ini. Walaupun pada hakikatnya, masing-masing sudah mempunyai haluan mereka yang sendiri. Tapi dengan rahmat Allah, ukhuwah yang terjalin sejak dari politeknik ini tidak pernah putus, malah makin rapat dari hari ke hari.


Rakan-rakan pengubat hati bersama mama dan alin..


Pihak lelaki tiba pada pukul 2. Kulihat sahabatku na sudah tidak senang duduk. Berdiri salah, duduk apatah lagi. Kami menasihatkan beliau supaya bertenang dan bertahmid kerana pihak lelaki telah selamat sampai. Alhamdulillah.. Na diminta keluar dari bilik bagi upacara menyarung cincin bagi merisik dan memakai gelang bagi bertunang. Kami lihat, beliau tenang sahaja, walaupun kami tahu na amat berdebar. Tahniah sahabatku, kerana kau kini sah digelar tunangan orang, yang mana impianmu sejak habis pengajianmu di politeknik lagi.


Hantaran dari pihak na..


Hantaran dari pihak long..


Na bersama mamanya..


Upacara menyarung cincin (merisik)..




Upacara memakaikan gelang (bertunang).

Majlis berakhir pada pukul 5, setelah puas bergambar dan menikmati minum petang. Kami dibawa oleh na ke Sungai Congkak. Alang-alang sudah di Ulu Langat, peluang ini amat tidak kami lepaskan. Walaupun na penat, sudah beberapa hari tidak lena tidur, beliau tetap tersenyum melayani karenah kami. Maklum sahajalah hati sudahpun lega kerana semuanya berjalan lancar. Terpancar riak bahagia di wajahnya. Setibanya kami di Sungai Congkak, kami hanya membasahkan kaki sahaja. Rindu dengan sejuk air sungai, bertuah mereka yang duduk berhampiran tempat ini. Betapa air yang dikurniakan Allah ini amat menenangkan, tidak kira pada siapa pun yang menyentuh dan memandangnya.


Ceria bermain air di Sungai Congkak..


Tahniah wahai sahabatku na...
Impian mu sudah hampir menjadi kenyataan..
Pertunangan bukanlah tiket kebebasan,
tetapi gunakanlah masa ini untuk dirimu dan pasangan mu mendalami ilmu munakahat...

Kalian sudah hampir dengan gerbang pernikahan,
nantikanlah dengan penuh kesabaran...

Ku mendoakan agar jodoh kalian berkekalan, dan impian kalian terlaksana...

Aween, zura, na..
kalian adalah sahabat yang banyak menyumbang dalam perjalananku
untuk kembali ke fitrahku...

Ucapan terima kasih tidak mungkin dapat membalas jasa kalian...
Walaupun sekarang kita sudah berjauhan, tetapi hubungan ini tetap mekar...
Betapa ku menyayangi kalian kerana Rabbi..
Betapa kalian ku rindui setiap saat..
Betapa kalian ku ingati di dalam setiap doaku...
Terima kasih kerana sudi menerima ku sebagai sahabat suatu masa dahulu..
Terima kasih kerana sudi bersabar dengan karenahku..
Terima kasih kerana membantu ku untuk kembali kepada Rabbi...
Kalian adalah sahabat yang sentiasa di dalam hatiku..
Semoga kita bertemu lagi..

Mama tersayang...
Terima kasih kerana sudi turun padang untuk membantu kami..
Mama adalah yang terbaik..
Kami sayang mama..


Ya Allah peliharalah hubungan kami...
Sabarkanlah kami dalam menempuhi dugaan Mu...
Terima kasih Ya Allah kerana menganugerahkanku sahabat yang sehebat ini..

Temuduga...

Semalam, temudugaku adalah pada 3 petang. Debaran sedari pagi lagi amat terasa, persiapan untuk ditemeuduga juga telahpun ku buat pada hari sebelumnya, walaupun tidaklah sesempurna mana. Hanya seperti melepas batuk di tangga sahaja. Tidak mengapalah, asalkan diri ini tidak merapu, jika ditanya soalan berkenaan PROTON. Setibanya ku di PROTON, seperti biasa dihantar oleh ayah tersayang, terus ku ke tempat menunggu. Saat ku menantikan supaya ditemuduga, ku berkenalan dengan adik-adik dari UIA (Gombak). Muda lagi mereka, terasa diri ini tua.

Semakin hampir namaku dipanggil, semakin ku berdebar. Seperti apa lagaknya. Masuknya ku ke ke dalam bilik 'Board of Director' PROTON itu ku menarik nafas dalam-dalam. Mula-mula ku memperkenalkan diriku dan selepas itu giliran penemuduga untuk bertanyakan ku soalan. Semasa ditemuduga, tidak banyak soalan yang ditanyakan oleh penemuduga. Lantaran kerana, salah seorang dari penemuduga itu pernah menemuduga ku semasa temuduga ku yang pertama. Syukur Alhamdulillah, ku rasa seperti dapat menjawab keseluruhan soalan yang diajukan. Cuma itu pada pendapatku, terpulanglah pada mereka untuk menilainya.


Ayah yang setia menemani..


Bilik yang menjadi saksi ku ditemuduga..


Ya Allah semoga rezeki itu milikku... Bantulah hambaMu ini, supaya ku dapat membantu orang lain..

Wednesday, July 29, 2009

Menjaga hati...

Segumpal daging yang bernama 'Hati' ini bukan mudah untuk di jaga. Terkadang sifat mazmumah melintas juga. Jika tidak dengan iman yang teguh dan hati membasah dengan zikir kepada Rabbi, mungkin hati ini akan tewas dengan tipu daya syaitan yang direjam dan nafsu yang melalaikan.

Muslim yang ingin mempunyai iman yang selalu bersinar memancar akan sentiasa mencari cara untuk selalu mendekatkan dirinya kepada Rabbnya. Tidak akan lekang asma' Allah di hati dan mulutnya. Tidak akan terasa cukup amal ibadatnya. Terasa menggunung dosa-dosanya. Lantaran mabuk cinta yang teramat dalam kepada Rabbnya. Lantaran juga mengharap keampunan dari Rabbnya. Supaya dipermudahkan bertemu dengan Rabbi andai tiada lagi dosa dan noda pada diri.

Seperti yang diperkatakan oleh Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”.

Begitulah betapa pentingnya zikir kepada hati. Tambahan lagi, betapa insan ini perlu menginsafi diri, mensyukuri segala nikmat yang telah Allah beri bagi menyuburkan rasa kehambaan di dalam diri. Betapa kita tiada apa di dunia ini, betapa kita hidup hanyalah untuk mati bertemu yang Esa. Dalam perjalanan di dunia ini, ada tugasan yang perlu kita galas. 'Khalifah di muka bumi', bukan semudah ungkapan sahaja. Ia memerlukan kekuatan rohani, mental dan fizikal dan juga sedikit pengetahuan untuk melaksanakannya.




Sedarlah kita hanya dari setitis air yang hina, diangkat oleh Allah menjadi makhluk yang mulia untuk menghambakan diri kepadaNya.

Ya Allah bantulah diriku untuk memelihara hati ini, semoga ia tidak berpaling setelah Engkau memberi petunjuk...
Peliharalah hambaMu ini dari sifat mazmumah..
Suburkanlah hati ini dengan sifat mahmudah Ya Allah..
Hanya kepadaMu ku berserah..

Tuesday, July 28, 2009

Khas untuk ayah dan mama...

Ayah (Senen) dan Mama (Rohana)


Ya Allah

Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... .

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..

Monday, July 27, 2009

Hari yang mencabar...

Tiket ke Kangar habis??? Sudah dapat kuduga sedari awal lagi. Termenung ku seketika, pagi-pagi lagi diriku ini sudah diduga. Sabar..ku memujuk hatiku. Akhirnya ku membuat keputusan untuk pulang pada hari Isnin pagi sahaja, alahai rugilah ilmu yang terpaksa ku lepaskan lantaran kesulitan ini. Mungkin ada hikmah disebaliknya.


Tiket ke Kangar...


Seusai menyelesaikan hal tiket, ku ke PKNS Shah Alam untuk mencari-cari barang. Sedang leka untuk memarkir, tiba-tiba "DUMM!!", bunyi yang mengejutkan. Tidak sempat ku menekan brek, akhirnya terlajak jua, ku terlanggar kereta di hadapanku. Dugaan menimpa lagi. Tergamam kuseketika, debaran jantung sangat pantas berkencang. Kakiku longlai melangkah turun, untuk menyaksikan apa yang terjadi. Luka di kedua-dua kereta amat ringan. Alhamdulillah.. Surut sedikit debaran jantungku. Setelah membayar gantirugi kepada yang berkenaan, dengan hati yang sedikit tenang ku meneruskan niatku untuk mencari barang.

Alangkah gembiranya diri, melihat banyak buku-buku di PKNS. Rupanya ada pesta buku. Nasib baik duit PTPTN tidak dapat lagi, kalau tidak siaplah, berjinjitlah ku pulang dengan buku yang banyak. Setelah puas melihat-lihat keadaan di pesta buku, ku membuat keputusan untuk pulang sahaja. Maklumlah selepas ini ku ingin ke Plaza Masalam pula, untuk bertanyakan tentang kad pengenalan ku. Sedang ku mencari tiket parkir dalam beg ku, ku dapati tiket ku hilang. Ya Allah tenangkan hatiku, dugaan untuk diriku yang telah lama bersenang dengan nikmat Allah. Ku menarik nafas, menenangkan diri, mengimbas kembali tempat-tempat yang pernah kaki ini jejaki...


Gerai ini kini sudah bertukar, baju kepada buku..


Akhirnya Allah mengilhamkanku suatu peristiwa, membuatkanku terfikir sejenak, "Mungkin jatuh di situ". Ku jejaki kembali tempat kejadian ku kemalangan tadi, yang peliknya tiada pula tiket tersebut. Tiba ku terdengar sayup-sayup suara lelaki memanggilku, apabila ku berpaling, abang itu terus bertanya kepadaku adakah ku kehilangan tiket. Hanya anggukan yang lemah kuberikan, lantas dia terus mengeluarkan kertas putih dari poketnya. Syukurku panjatkan pada Rabbi, Dia permudahkan lagi urusan ku. Tidak putus ku berterima kasih pada abang tersebut, kerana menyelamatkan tiketku yang jatuh tatkala ku kelam-kabut menyelesaikan hal kemalangan tadi..

Di Plaza Masalam pula, kad pengenalanku diberitakan tidak siap lagi. Tersenyum ku menghadapi dugaan yang entah keberapa kali buat hari ini sahaja. Agak lambat juga pengurusan kad pengenalanku ini. Sudah dua bulan, masih tidak siap-siap juga, lagi seminggu kata mereka. Tidak mengapalah, dugaan yang kecil sahaja. Selesai sudah semuanya, ku berangkat pulang ke rumah.

Tika saat inipun betapa ku masih mampu tersenyum mengenangkan ujianku pada hari ini. Alangkah indah diduga Allah, mungkin untuk mengingatkanku supaya tidak lalai kepadaNYa. Telah banyak nikmat yang diberi Allah kepadaku, telah banyak doaku yang telah dimakbulkan olehNya. Apalah sangat dengan ujian yang kecil ini, jika nak dibandingkan dengan nikmat yang telah Allah beri...Alhamdulillah..


Album : Istimewa Tiada Dua
Munsyid : NICE
http://liriknasyid.com

Apa jua bala bencana singgah menerpa
Menguji jauh mananya sabar kita
Mungkin selama ini kita terlupa

Kita terlalu leka dengan nikmat kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa

Bila kesusahan
Terasa hidup terlalu payah
Berbagai persoalan menerjah
Baru minta petunjuk hidayah

Usah berputus asa
Kerana ada rahmat disebaliknya
Yang tidak kita ketahui
Dalam hidup ini
Teruslah berdoa

Pada Allah
Pengasih…Pemurah dan Penyayang

Kita terlalu leka dengan nikmat…kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa

Artis : NICE
Lagu : Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik : Lukhman S (BMG Music Publishing)
Penerbit : Nazz Music Entertainment (M) Sdn Bhd

Sunday, July 26, 2009

Kedatangan insan baru...

Terdengar desas-desus sebelum ini mengatakan sahabat lamaku (sewaktu di Sek Men Teknik) telah dikurniakan Allah cahaya matanya yang pertama. Bayi perempuan yang dianugerahkan Allah itu diberi nama Nur Aleysha seberat 2.5 kg.


Nur Aleysha yang mirip ibunya

Dikesempatan cuti mengejut ini, ku membuat keputusan untuk menziarahi beliau bersama dengan sahabat baikku semasa di sekolah teknik, iaitu Fazidah Fahmi (Gda). Tidak ku sangka waktu berlalu begitu pantas, rasanya seperti baru semalam kami bergelak-ketawa di sekolah.


Bersama Aida, baby dan Gda

Kini, sahabatku ini telahpun memikul tanggungjawab yang besar yakni sebagai seorang ibu. Bukan mudah menjadi ibu, melihatkan mama yang membesarkanku dan adik-adik yang nakal inipun membuatkan ku termenung seketika, inikan pula memikul sendiri tanggungjawab itu. Tingkah laku ibubapa haruslah dijaga sejak dari awal lagi, ini adalah kerana anak-anak akan mengikut tingkah laku ibubapa mereka. Jika baik acuannya, InsyaAllah baiklah hasilnya. Seperti sabda Rasulullah mafhumnya;

“Sesungguhnya setiap bayi itu dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) seperti kain putih, maka ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi.”


Setiap ibubapa pasti gembira dengan kehadiran insan baru dalam hidup mereka, tetapi ada sesetengahnya berasa kurang senang dengan kehadiran insan suci ini. Lantaran ketidaksediaan mereka untuk memikul tanggungjawab. Justeru itu, kesediaan harus dipupuk, ia tidak akan muncul dengan sendirinya. Ibubapa juga harus mendalami ilmu keibubapaan dalam menjana generasi yang cemerlang di masa hadapan. Untuk membentuk generasi yang cemerlang, ia harus di rancang sedari awal lagi, bermula dengan pemilihan pasangan sebelum mendirikan rumah tangga.


Anak-anak yang cemerlang akan membentuk masyarakat yang cemerlang dan seterusnya. Cemerlangnya mereka bukan sahaja dari segi duniawi, bahkan ukhrawi juga. Dewasa ini kita sering disaji dengan berita yang mengatakan anak remaja semakin rosak akhlaknya. Gejala sosial semakin kronik. Oleh yang demikian, ibubapa harus berpandangan jauh. Memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal anak-anak hadapi di masa akan datang, supaya sedikit sebanyak mereka lebih bersedia untuk menghadapinya.


Kepada sahabatku Aida dan pasangan (kepadaku juga), semoga tabah dan sabar menjalani tanggungjawab kalian. Ingatlah bahawa mereka adalah amanah Allah yang tidak ternilai. Kalian adalah pemikul tangunggjawab yang besar. Peliharalah amanah tersebut sebaik yang mungkin. Takutlah kita kepada Allah yang esa jika disoal di akhirat kelak tentang amanah itu.



Amanah Allah..



رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
الفرقان :74

"Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang bertaqwa. (Al-Furqan: 74)"


Saturday, July 25, 2009

Menikmati SUSHI..

Kala ku mengadap komputer, ku terdengar mama memberitahu bahawa adikku ingin makan sushi. Biasalah adik bongsu ku yang comel itu, memang suka sangat-sangat makan sushi. Selepas asar, kami bertolak ke Sunway Piramid untuk menikmati sushi...


On the way ke Sunway Piramid..


Setibanya di Sushi King, seakan-akan semuanya tak sabar untuk menikmati makanan yang ada. Tambahan alin yang comel itu. Laparlah katakan..


Akim yang kelaparan


MasyaAllah, banyak betul makan..

Alhamdulillah, nikmat betul rezeki yang diberi Allah hari ini, semuanya kepuasan kerana dapat menikmati makanan kegemaran masing-masing. Malaysiaku kini dilanda 'Mega Sale', alahai..rambang mata jadinya..

Adik-adik yang dikasihi, kalian semakin membesar. Semakin matang dari hari ke hari. Di kala kalian menginjak dewasa, kak long berusaha untuk membentuk kalian untuk menjadi insan yang lebih baik. Tinggal di kota merupakan satu cabaran yang amat besar untuk kalian. Hanya doa dan nasihat yang mampu kak long berikan kala ini. Terima kasih kerana sudi mendengar setiap leteran kak long. Walaupun telinga sakit di tuang pelbagai nasihat, tapi kalian tetap menyayangi dan menerima kak long sedalamnya. Ratap kak long dalam setiap lafaz doa kak long semoga kita bersama-sama berubah menjadi yang lebih baik...



Amalina Shaida dan Aidalina Nurinna..



Mohd Akmal Farhakim, Amalina Shaida dan Muhammad Amrin Nafiz..


Ya Allah kusayangi mereka, seadanya mereka..
Berilah petunjuk dan hidayah kepada kami...
Ampunkanlah dosa-dosa kami..
Izinkanlahku bertemu dengan mereka kembali di negeri yang kekal abadi..