Wednesday, September 30, 2009

Persoalan??

Niat ku pada hari ini ingin ke Kangar untuk mencari barang. Memandangkan Fatta dan Hannan mempunyai tujuan yang sama, ku terus membuat keputusan untuk mengikut mereka sahaja. Dikala Hannan ingin mengambil gambar di sebuah kedai gambar di bandar Kangar, kami diajukan beberapa soalan oleh pemilik kedai gambar tersebut. Beliau adalah mualaf, tetapi kesungguhannya dalam mendalami islam amat ku kagumi.

Soalan pertama yang diajukan adalah berkenaan dalil yang mengatakan tentang perkahwinan Rasulullah yang melebihi empat. Soalan kedua pula adalah mengenai keturunan Adam yang pelbagai warna kulitnya. Sekembalinya kami daripada Kangar, kami membuat perbincangan dengan mak andak berkenaan hal ini. Jawapan yang diberi oleh mak andak cukup memuaskan, kerana sedar diri masih kekurangan ilmu maka ku harus berguru pada yang arif.

Mak andak menyatakan bahawa setiap perkahwinan Rasulullah adalah atas perintah Allah. Sebelum diturunkan ayat 3 dalam surah an-Nisa', firman Allah SWT :

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى
وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى
أَلاَّ تَعُولُواْ


Maksudnya :
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.


poligami itu adalah perkara yang lumrah bagi masyarakat arab. Isteri-isteri yang mereka kahwini tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu, malah bilangannya kadang-kadang melampaui yang sepatutnya. Rasulullah berkahwin dengan wanita-wanita yang tidak bernasib baik dan juga atas sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh isteri nabi yang bernama Zainab. Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya. Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.

Begitu juga isteri baginda yang bernama Safiyyah binti Hujaj. Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.

Ini menunjukkan Rasulullah diperintah Allah untuk berkahwin adalah kerana ingin membela nasib wanita itu, bukan kerana nafsu. Sepertimana yang dapat kita fikir dengan warasnya akal, jika perkahwinan baginda berlandaskan nafsu, maka mengapa baginda tidak berkahwin sahaja dengan gadis yang cantik, tetapi mengapa banyak yang dikahwininya adalah janda yang kurang bernasib baik.

Setelah turunnya ayat di atas, Rasulullah tidak lagi berkahwin dengan mana-mana wanita. Begitulah Allah yang Maha Bijaksana, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah membataskan poligami hanya empat sahaja. Ini bertujuan untuk membezakan islam itu dengan budaya masyarakat jahiliyah sebelum ini. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya.

Ku juga baru mengetahui daripada mak andak, yang zuriat ketujuh Rasulullah yakni Ibrahim adalah zuriat hasil dari perkahwinan Rasulullah dengan wanita Mesir iaitu Mariatul Qibti. Mariatul adalah hamba raja Mesir yang dihadiahkan kepada Rasulullah. Pada zaman baginda, untuk membebaskan hamba wanita, wanita tersebut perlu berkahwin dan mempunyai anak. Atas sebab itu, Rasulullah berkahwin dengan Mariatul.

Soalan kedua pula dijawab mak andak dengan tenangnya. Beliau mengatakan ini lah kekuasaan Allah. Allah yang berkuasa untuk mencipta apa sahaja, "kun fayakun". Sedangkan dalam satu dahan itu setiap dari daun adalah berbeza saiz dan warna, inikan pula manusia. Fakta sains di sebalik penampilan warna kulit ditentukan oleh pigmen dalam kulit atau lebih dikenali sebagai melanin, yang berwarna coklat buah zaitun, perang atau hitam. Dibentuk oleh sel yang menghasilkan pigmen dinamakan melanosit, melanin ialah punca yang memberi kulit warna semula jadi seseorang. Seseorang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap mempunyai jumlah melanin yang lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai melanin atau pigmen lebih rendah mempunyai warna ton kulit yang lebih cerah.

Inilah sahaja jawapan yang mampu ku gali dari yang berpengetahuan, apa yang ku pelajari hari ini adalah, kita harus bersedia dengan apa juga kemungkinan walau di mana sahaja kita berada. Jangan cepat melatah apabila ditanya soalan yang tidak mampu kita jawab. Tetapi carilah titik penyelesaiannya dengan tenang dan sabar. InsyaAllah pasti terjawab, sama ada cepat atau lambat.


Selawat dan Salam atas Rasulullah s.a.w yang amat kusayangi dan kurindui..

Monday, September 28, 2009

Riang-ria raya 2009


Beraya bersama rakan-rakan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah.
Lokasi : Rumah Norita, Zalifah, Hasliza, Amalina, Yuhannis, Darwisa, Maria
Tarikh : 26 Sept 2009









Beraya bersama rakan-rakan Politeknik Sultan Idris Shah
Lokasi : Rumah Baizura, Azharuddin, Fieza, Amalina, Azura, Lily, Farid
Tarikh : 25 Sept 2009








Beraya di kampung bersama keluarga
Lokasi : Kampung Batu 9 Lekir, Setiawan, Perak Darul Ridzuan dan Paya Redan, Melaka.
Tarikh : 18 Sept 2009 - 24 Sept 2009






Ku kembali

Langkah ku penuh berhati-hati,
berpaut di dahan keinsafan,
menggenggam tangan-tangan yang memberi bantuan,
khuatir diri tersungkur lagi,
takut hilang nikmat iman yang telah diberi,
ku cuba menanam teguh pohon cinta kepada rabbi,
agar cinta kepada yang lain dapat ku bina tanpa bersandarkan nafsu,
ku cuba mengentalkan hati, menggagahkan langkah, melantangkan suara,
demi deen ini, kerana ini adalah amanahku,
yang tak akan berakhir,sehingga hujung nyawaku,
semoga ku dapat berjumpa denganNya dalam keadaan yang tidak memalukan..

Friday, September 18, 2009

Keampunan dipinta


Di kesempatan ini, izin kan ku menyusun kata, memohon maaf diatas kekhilafan diri..
Terkadang mulut tersalah berbicara sehingga ada yang terluka..
Terkadang tingkah laku mengundang kemarahan..
Terkadang hati tersalah menduga..
Diriku hanyalah manusia biasa..
Yang tidak terlepas dari kesilapan..
Dalam usahaku kembali kepada fitrah, terkadang ada sahaja kesalahan yang tidak disengajakan..
Semoga setiap yang berada disekelilingku menerima ku seadanya..
Menegurku demi kebaikan ku..
Menyayangiku kerana Allah..
Hanya Allah yang Maha Mengetahui..
Ku berserah kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Ya Allah..Ampunkan setiap dosa-dosaku..
Semoga Taubatku diterima..
Hanya redha mu ku harapkan..


p/s: Kesibukan menyambut Syawal telah menyekat diri ini dari menulis, maaf andai tiada entry baru selama seminggu ini.

Wednesday, September 16, 2009

Kepulangan..

Tiba jua hari yang dinanti, sejak hari pertama Ramadhan, diri ini belum lagi menjejakkan kaki ke rumah bertemu keluarga yang tercinta. Tepat jam 9.30 malam ini bermulalah perjalanan ku pulang ke rumahku syurgaku di Shah Alam. Sudah ku membayangkan suasana hiruk-pikuk di stesen bas Kangar. Maklum sahajalah masing-masing membeli tiket awal untuk pulang beraya.


Perkhidmatan bas tambahan juga terpaksa ditambah, lantaran ramainya perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing. Apa yang dirisaukan adalah keselamatan tika perjalanan pulang ini. Kebiasaannya, di musim perayaan inilah pelbagai tragedi tragis yang akan terjadi, seperti yang terpampang di dada-dada akhbar pada tahun-tahun yang lepas. Kecuaian pengguna jalan-raya, ditambah lagi dengan keterujaan untuk pulang ke kampung yang membuatkan pemandu dan juga pembonceng meningkatkan kelajuan untuk cepat sampai ke rumah, membuat mereka lupa akan keselamatan diri masing-masing.


Semoga perjalanan ku dan sahabiah sekalian pada malam ini di dalam lindungan Allah. Perasaan risau ku usir jauh, berserah kepada Allah di samping doa yang tidak putus kupanjatkan kepadaNya. Andai sudah ditentukanNya Ramadhan ini adalah yang terakhir, ku berharap agar diri ini tidak tersungkur di lembah kehinaan. Ku berharap agar segala dosa-dosaku diampunkanNya dan amalan-amalan ku diterimaNya.

Kepada pemandu-pemandu dan pembonceng-pembonceng sekalian, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah secara berhemah. Jangan dek kecuaian kita, kesengsaraannya ditanggung oleh pihak lain yang tidak berdosa. Timbanglah amal sebelum membuat keputusan di luar kewarasan akal fikiran, berdoalah semoga dilindungi Allah.

Ramadhan masih berbaki. Masih ada masa untuk kita menambah amal ibadat kepada Rabbi. Jangan kerana kesibukan menyediakan persiapan hari raya, kita menjadi leka lalu mengabaikan Ramadhan yang tercinta. Tangisilah pemergian bulan rahmat, bulan pengampunan ini.


Ya Allah, semoga diri ini selamat pulang kepangkuan keluarga..
Rindunya diriku ingin mengucup tangan ayahanda bonda ku..

Tuesday, September 15, 2009

Ke Akhir Garisan

Hati-hati yang menyayangi Rabbi sedang memecut pantas memaknakan Ramadhan dengan ibadat-ibadat tambahan. Kalamullah dibaca tiap waktu, pelbagai solat sunat tambahan dilakukan di setiap hening malam, semua ini adalah kerana rasa cinta yang amat mendalam kepada Rabbi dan juga Ramadhan. Semoga amalan kita diterimaNya.

Hanya beberapa hari lagi Syawal bakal menjelma. Terbukalah pintu neraka, terlepaslah syaitan laknatullah. Kembalilah kita berjuang melawan syaitan yang direjam ditambah pula dengan nafsu yang membawa kepada kelalaian. Gunakanlah masa yang tersisa ini sebaiknya, jangan nanti dikesal Ramadhan yang telah pergi. Berdoalah kepada Rabbi semoga masih ada Ramadhan untuk kita di tahun hadapan.


Ya Allah semogaku tidak mensiakan bulan rahmat ini..


Sunday, September 13, 2009

Berpaut di pintu taubat

Permata jernih itu mengalir lagi, meratap diri yang lampau, mengimbau kenangan yang pahit di telan. Hanya Rabbi yang Maha Mengetahui, betapa diri ini berasa sangat bertuah kerana masih disayangiNya, masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrahku. Zikir syukur tidak lekang dari mulutku, sujudku tidak lain hanya mengharapkan keredhaan dan keampunanNya. Cukuplah hanya cinta dan redha Allah bagiku, keranaNya semangat ku menjadi utuh untuk mempertahankan deen ini. KeranaNya ku bangkit untuk berjuang, melawan musuh-musuh agamaku, menimba ilmu untuk membantu deen ini.

Hanya yang ku khuatiri hati ini tidak tetap kedudukannya, maklum sahajalah iman itu naik dan turun, hati pula bolak-balik kedudukannya. Ku hanya mampu mengadu kepada Rabbi, memohon supaya ditetapkan hati ini, dikekalkan nikmat iman yang telah diberi dan supaya semangat ini tidak luntur malah makin meningkat dari hari ke hari walau pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa ku tempuhi di sepanjang perjuanganku.




Bukan mudah pintu taubat itu untuk kita ketuk, begitu mahal hidayah Allah. Tetapi semua itu bergantung kepada diri sendiri, bagaimana hidayah Allah itu hendak sampai, jika diri tidak berusaha untuk mencarinya, malah dari hari ke hari makin banyak pula noda yang kita palitkan pada hati, membuatkan cahaya hidayah itu amat sukar untuk menembusinya. Betapa ku pelik sesetengah manusia itu, menyalahkan takdir atas kesilapan diri. Tidakkah mereka sedar, dikurnia Allah akal untuk menimbang kebaikan dan keburukan.

Bertaubatlah, sucikanlah diri untuk kembali kepada Rabbi. Janganlah bertangguh. Jenuh akal ku memikirkan, betapa bertenangnya mereka yang melakukan dosa seakan tiada ajal yang bakal menjemput. Setiap tindakan seakan mencabar Tuhan yang Esa. Tidak takutkah mereka akan kemurkaan Allah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?" (Surah At-Taubah: 126)

Wahai hamba-hamba Allah, kembalilah kepada Rabbi. Sedarlah dirimu itu berasal dari air yang hina. Siapalah kita di sisiNya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ' Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): 'Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah At-Tahrim: 8)

Taubat itu pula mestilah memenuhi beberapa perkara seperti berikut:
  • Beristighfar.
  • Berhenti daripada melakukan dosa.
  • Menyesali perbuatan.
  • Berjanji tidak akan mengulangi dosa
  • Minta maaf kepada pihak yang berkaitan (jika kesalahan dengan hak anak Adam).
  • Memperbanyak amal soleh sekaligus sebagai tebusan dari perbuatan jahat.


Marilah, kita berusaha menerobos sempadan diri. Mengetuk pintu taubat, demi cinta Rabbi yang tidak bertepi, demi redha Ilahi yang

indah. Jangan nantikan senja untuk pulang ke pengkalan, kerana khuatir diri tidak sempat menggapai cintaNya.

--> Sumber daripada Abu Mazaaya Al-Hafiz, 2008, Cetakan ketiga, Penawar Hati Penenang Jiwa Jilid 2, Al-Hidayah.


Rabbi, tetapkan hati ini hanya padaMU,

layarkan cintaku hanya kepadaMU,

kuatkan semangatku untuk mempertahankan agamaMU,

terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku,

semoga tulus tangis di setiap sujud dan doaku disaksikan oleh MU..