Wednesday, August 15, 2012

Dia yang bergelar suami




Benarlah Ramadhan ini bulan tarbiyyah, bulan berjuta nikmat dan keberkatan. Beberapa hari yang lalu, diri ini telah diuji Allah. Kunjungan yang pada mulanya harmoni di keruhkan dengan kehendak nafsu. Ya, iblis dan syaitan di rantai, namun manusia yang hina tetap tidak mampu mengawal nafsu kehendak dan amarah. Jika tidak dihentikan zauj, mungkin perbalahan akan menjadi lebih rumit. Rasa hormat akan sirna, menerbitkan rasa benci dan putus asa. 

Zauj bertindak penyelamat merangkul bahu yang kecil ini disaat puncak perbincangan. Tidak cukup sekadar itu, di ‘brain wash’ habis-habisan di dalam kereta. Amat terkesan dengan tegurannya “Sayang isteri saya, walau siapapun sayang di mata orang lain, sayang tetap tanggungjawab saya”. Terdiam membatu saat dia meluahkan kekesalannya. “Walau apa pun terjadi, jangan kita aibkan diri kita” sambungnya lagi. Di saat tangisan ku semakin kuat kerana teguran kerasnya, dia terus memujuk “Istighfar sayang, istighfar, saya sayang sangat pada isteri saya ni, saya tahu sayang tabah, namun perbalahan bukan penyelesaian masalah, Ramadhan ini bulan baik, jangan dicemar kesuciannya, saya minta maaf andai ada mengguris perasaan sayang” tenang suaranya sambil mengusap-usap kepalaku. 

Segala puji hanya bagi Allah dikurniakan pemimpin yang menenangkan jiwa. Terima kasih Allah kerana menganugerahkan suami yang menjadi pendorong di kala ku jatuh, menjadi penegur di kala hambaMu ini leka dan lalai. Semoga zauji redha dengan segala kekurangan diri ini dan bersyukur dengan kelebihan ku. Terima kasih sayang kerana mengetuk hati dengan rotan nasihat tempoh hari. Dirimu adalah antara anugerah terindah yang dianugerahkan Allah kepada ku.

Teringat perbualan semalam:

Saya: Sayang, kalau saya dijemput Allah dulu, sayang menikah lagi ya.
Zauj: Andai dengan hidup seorang lebih mendekatkan diri saya dengan Allah, lebih baik saya sendiri.
Saya: Hmmm.. (terus tukar topik.. :))

Semoga Allah meneguhkan iman Azharuddin, mengampunkan dosanya, menerima amalannya, memudahkan urusannya ke syurga. Semoga Allah menganugerahkannya mahkota kesabaran dan ketabahan dalam mengharungi alam rumah tangga bersama saya dan zuriat keturunannya.. 

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur".
(Al-A'raaf 7:189)


Monday, July 23, 2012

Bulan Limpahan Rahmat



Pernikahan adalah suatu hubungan yang suci mengikat dua jantina yang berlainan sifat dan kehendak. Fitrahnya rumah tangga itu tiada yang sempurna, namun kemanisan mengharunginya menjadikan hubungan suci ini tampak sempurna. Hubungan yang tidak bersandarkan cinta kepada Pencipta akan mewujudkan institusi kekeluargaan yang hambar, penuh kelalaian lalu menjurus kebinasaan, umpama pohon yang batangnya kelihatan ampuh fizikalnya namun lompong isinya dek di serang anai-anai secara tersembunyi. 

Suami umpama CEO manakala isteri adalah setiausahanya, setia dan berusaha membantu dalam melahirkan generasi yang berkualiti. Anak adalah amanah Allah yang amat besar, diletakkan nyawa di dalam rahim isteri bukan dengan sia-sia. Allah seakan- akan memberi amaran kepada kita supaya mendidiknya menjadi khalifah di bumiNya.  Tersilap acuan akan merundumkan masa depan islam. Sesungguhnya kitalah yang rugi jika islam bukan lagi kebanggaan di masa hadapan.

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim ayat 8.

“Katakanlah sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka di hari kiamat kelak. Dan ingatlah yang demikian itulah kerugian yang nyata” Surah Az-Zumar ayat 15.

Imarahkanlah isi rumah dengan surat cinta dari Illahi dan pesanan dari kekasih Pencipta yakni Rasulullah s.a.w agar hati-hati yang berada di dalamnya tenang, damai, dipenuhi rasa kehambaan dan cinta kepadaNya. Lontarkan tutur kata yang enak untuk halwa telinga, serlahkan peribadi acuan Al-Quran agar akhlak yang mulia menjadi cermin peribadi. Jika baik akar nya maka baiklah pohonnya.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah daripada Allah kepada kita, kita sering teruja dengan potongan harga pada barangan-barangan di “shopping mall’ tika berlangsungnya “year end sales”, namun hati kita kurang teruja dengan bulan Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambaNya. Sedikit amalan namun gandaannya lebih pada bulan barakah ini. Wahai hamba Allah terutamanya pasangan suami isteri yang ditakdirkan Allah untuk bersama, mari kita tingkatkan kualiti ibadah kita, lahirkan rasa syukur dengan rasa kehambaan kepadaNya. Bukankah indah bertadarus dan berjemaah bersama, bertahajjud bersama usai sahur? Terlalu banyak nikmat yang telah diberiNya kepada kita, maka layakkah kita mengkufuriNya? Tepuk dada tanyalah imanmu wahai para hamba Allah.

Thursday, February 23, 2012

Semoga Allah memberkati pernikahan kita...




Demi Allah yang maha penyayang..akhirnya istikharah ku terjawab...
Bertautlah dua hati yang namanya telah tertulis di lauh Mahfuz sekian lama...
segala puji hanya bagi Allah yang memberi nikmat..
semoga Allah menganugerahkan kami mahkota kesabaran dan ketabahan dalam melayari
bahtera rumahtangga...
Allah yang Maha Penyayang...berkatilah pernikahan kami. :)


Sunday, January 15, 2012

Walimatul Urus Amalina & Azharuddin







  • Dengan segala pujian bagi Allah dan kesyukuran kepadaNya..Kami mengundang kepada semua saudara dan kenalan yang berkelapangan untuk hadir ke majlis perkahwinan kami (Amalina Shaida binti Senen & Azharuddin Soher) pada 11 Februari 2012..

    Semoga dengan kehadiran dan iringan doa restu semua jemputan akan dapat menyerikan lagi majlis kami dan diberkati Allah S.W.T.

    Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
    (Ar-Ruum 30:21)

    Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
    (Al-Furqaan 25:74)


Thursday, January 5, 2012

Minoriti di bumi Allah..



Berada di negara yang asing budayanya membuatkan ku amat menghargai tanah air tercinta. Terasa kerdil diri dikala Allah menganugerahkan taraf minority di tanah yang dipenu hi mereka yang tidakmenyembah Allah yang Maha Kuasa. Persiapan diri harus dari tempat kediaman lagi, auratnya, wudhuknya dan bermacam-macam lagi supaya mudah untuk melaksanakan solat walau di mana sahaja. Ya, disitulah teori seorang muslim di praktikkan , tiada alasan yang membataskan ibadat dan hukum, walau dicelahan batu kita tersepit, kita tetap hambaNya. Kesempitan inilah yang membuat kita berfikir untuk mencari makanan yang halal lagi suci, lapar tidak dijadikan alasan untuk melanggar hukumNya.

Mata wajib bersedia kerana terlalu mudah di jamu cerita-cerita sensor di kaca TV tatkala larut malam menjelma, juga amat terdedah dengan pemandangan yang amat menjolok mata kerana iman dan islam amat jauh dari norma kehidupan penduduknya. Menggeleng-geleng kepala tatkala melihat anak muda mereka bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa segan dan silu. Modenisasi diiringi keruntuhan nilai sosial amat menyesakkan. Terkenang peristiwa di kala ada seorang pemuda di kalangan mereka yang memakai kemeja T yang tertulis ‘Bismillahi Rahmanir Rahim’ dalam tulisan jawi. Astaghfirullah…istighfar panjang ku melihatnya, begitu rendah nilai Allah di sisi mereka. Salah kita yang tidak mampu menyampaikan kepada mereka yang tidak mahu mencari Pencipta mereka.

Namun di sebalik taraf sosial mereka yang begitu ampuh, namun ada segelintir akhlak mereka sangat membanggakan terutamanya dari segi kebersihan dan ketepatan masa. Bila terkenang tanah air, malu menyelubungi diri. Terkadang sikap mereka yang beragama islam tidak sebaik mereka yang yang tidak menyembahNya. Tahap piawaian kebersihan di Malaysia tiada yang boleh dibanggakan, sedang di negara asing ini; sekeliling tong sampahnya juga mempunyai tahap kebersihan yang amat cemerlang. Kesantunan dan keramahan mereka juga amat mengujakan, menyelesakan pelancong yang hadir.

Kenangan ini amat mahal ya Rabbi…tidak mungkin mampu ku kutip andai tidak Kau takdir dan rezekikan ia kepadaku, berada di tanah asing ini menyedarkan ku, betapa hebat mereka yang mampu menjaga diri di celahan majoritinya bukan beragama islam..membuatkan ku tersedar, tiada alasan untuk tidak beribadat kepadaMu..Namun ia juga membuat ku tersedar betapa bertuah anugerah Malaysia kepada sekalian hambaMu yang berada di tanahnya. Malang sekali kepada mereka yang tidak mampu menggunakan sebaiknya nikmat yang telah Kau berikan kepada mereka…SUNGGUH RUGI!!!

Firman Allah: “Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.”

(Az-Zumar 39:63)