Thursday, February 23, 2012

Semoga Allah memberkati pernikahan kita...




Demi Allah yang maha penyayang..akhirnya istikharah ku terjawab...
Bertautlah dua hati yang namanya telah tertulis di lauh Mahfuz sekian lama...
segala puji hanya bagi Allah yang memberi nikmat..
semoga Allah menganugerahkan kami mahkota kesabaran dan ketabahan dalam melayari
bahtera rumahtangga...
Allah yang Maha Penyayang...berkatilah pernikahan kami. :)


Sunday, January 15, 2012

Walimatul Urus Amalina & Azharuddin







  • Dengan segala pujian bagi Allah dan kesyukuran kepadaNya..Kami mengundang kepada semua saudara dan kenalan yang berkelapangan untuk hadir ke majlis perkahwinan kami (Amalina Shaida binti Senen & Azharuddin Soher) pada 11 Februari 2012..

    Semoga dengan kehadiran dan iringan doa restu semua jemputan akan dapat menyerikan lagi majlis kami dan diberkati Allah S.W.T.

    Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
    (Ar-Ruum 30:21)

    Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
    (Al-Furqaan 25:74)


Thursday, January 5, 2012

Minoriti di bumi Allah..



Berada di negara yang asing budayanya membuatkan ku amat menghargai tanah air tercinta. Terasa kerdil diri dikala Allah menganugerahkan taraf minority di tanah yang dipenu hi mereka yang tidakmenyembah Allah yang Maha Kuasa. Persiapan diri harus dari tempat kediaman lagi, auratnya, wudhuknya dan bermacam-macam lagi supaya mudah untuk melaksanakan solat walau di mana sahaja. Ya, disitulah teori seorang muslim di praktikkan , tiada alasan yang membataskan ibadat dan hukum, walau dicelahan batu kita tersepit, kita tetap hambaNya. Kesempitan inilah yang membuat kita berfikir untuk mencari makanan yang halal lagi suci, lapar tidak dijadikan alasan untuk melanggar hukumNya.

Mata wajib bersedia kerana terlalu mudah di jamu cerita-cerita sensor di kaca TV tatkala larut malam menjelma, juga amat terdedah dengan pemandangan yang amat menjolok mata kerana iman dan islam amat jauh dari norma kehidupan penduduknya. Menggeleng-geleng kepala tatkala melihat anak muda mereka bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa segan dan silu. Modenisasi diiringi keruntuhan nilai sosial amat menyesakkan. Terkenang peristiwa di kala ada seorang pemuda di kalangan mereka yang memakai kemeja T yang tertulis ‘Bismillahi Rahmanir Rahim’ dalam tulisan jawi. Astaghfirullah…istighfar panjang ku melihatnya, begitu rendah nilai Allah di sisi mereka. Salah kita yang tidak mampu menyampaikan kepada mereka yang tidak mahu mencari Pencipta mereka.

Namun di sebalik taraf sosial mereka yang begitu ampuh, namun ada segelintir akhlak mereka sangat membanggakan terutamanya dari segi kebersihan dan ketepatan masa. Bila terkenang tanah air, malu menyelubungi diri. Terkadang sikap mereka yang beragama islam tidak sebaik mereka yang yang tidak menyembahNya. Tahap piawaian kebersihan di Malaysia tiada yang boleh dibanggakan, sedang di negara asing ini; sekeliling tong sampahnya juga mempunyai tahap kebersihan yang amat cemerlang. Kesantunan dan keramahan mereka juga amat mengujakan, menyelesakan pelancong yang hadir.

Kenangan ini amat mahal ya Rabbi…tidak mungkin mampu ku kutip andai tidak Kau takdir dan rezekikan ia kepadaku, berada di tanah asing ini menyedarkan ku, betapa hebat mereka yang mampu menjaga diri di celahan majoritinya bukan beragama islam..membuatkan ku tersedar, tiada alasan untuk tidak beribadat kepadaMu..Namun ia juga membuat ku tersedar betapa bertuah anugerah Malaysia kepada sekalian hambaMu yang berada di tanahnya. Malang sekali kepada mereka yang tidak mampu menggunakan sebaiknya nikmat yang telah Kau berikan kepada mereka…SUNGGUH RUGI!!!

Firman Allah: “Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.”

(Az-Zumar 39:63)


Thursday, November 24, 2011

Menutup helaian 1432H


Saat hati-hati disatukan dengan ikatan aqidah, saat akal bersatu untuk mengukuhkan syiar Pencipta, saat lisan berzikir asma’-asma’ yang suci...saat itulah hati amat merindukan yang Maha Pencipta beserta kekasihnya...hanya Allah maha tahu ikatan kasih antara hati-hati mereka yang menyayangi dan menyintai kerana Tuhannya...hanya Allah yang maha tahu betapa kami merindui saat bertemuNya dan kekasihNya...

Hanya beberapa hari helaian 1432H akan diselak untuk membuka helaian tahun yang baru...

Betapa banyak kisah yang tak mampu dicoret dek papan-papan kekunci...betapa banyak wajah-hajah yang terimbas dek akal yang tak mampu diungkap dek kata-kata...segalanya tersimpan kemas di lubuk hati yang paling dalam...

Perjuangan yang ku anggap akan terkubur setelah tamat pengajian di Arau rupanya tidak terhenti di situ sahaja..diri ini terkadang lupa akan janjiku kepada Pencipta..ingin mengenalkan yang lain dengan rahmatNya...segala puji hanya bagi Allah kerana diberi kesempatan untuk membantu mereka-mereka yang kegersangan cinta yang hakiki...

Segala puji bagi Allah jua, kerana memberi hambaNya ini anugerah-anugerah indah yang amat ku syukuri...wajah-wajah sabar ahli keluarga menenangkan hati...hadirnya sahabat-sahabat pengukuh banteng, pengubat duka, penglipur lara menambah rencah dalam dunia baru yang ku coret bersama mereka...

Perjuangan harus diteruskan hingga keakhirnya...semoga tahun baru lebih memantapkan kecintaan kami kepada Pencipta serta kekasihNya....semoga akhlak umat islam lebih harum dan semakin teguh imannya....


Ya Allah, Tuhanku yang Maha Pengasih....

Satukanlah hati kami selamanya...

Limpahkanlah rahmatMu kepada kami...

Ampunkanlah segala dosa-dosa kami...

Tetapkanlah hati kami pada jalanMu...

Bantulah kami untuk meneruskan perjuangan ini...


Tuesday, September 6, 2011

PERMATA DUNIA KURNIAAN ILLAHI

Permata dunia kurniaan Illahi,
Cintanya kepada Illahi melangkaui cintanya kepada manusia,
Tulus hatinya dipenuhi rasa kasih dan sayang kepada seluruh alam,
Hening matanya berzikir di dalam hati,
Memecah tembok-tembok mazmumah.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Menenangkan hati, mententeramkan jiwa,
Menyambung zuriat, meramaikan ummah,
Mencorak masa depan generasi,
Bersama menuju syurga yang abadi.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Mendambakan pertemuan dengan Penciptanya,
Mengidam rasa tenang diselimuti rahmat Illahi,
Menepis asakan ke lembah hina neraka,
Menggenggam erat tangan-tangan yang lain menuju redhaNya.

Permata dunia kurniaan Illahi,
Dialah jua permata syurga penghulu bidadari,
Yang jeli matanya,
Yang ayu simpuhnya,
Yang harum aromanya,
Yang teguh imannya….









Operasi Pembunuhan Akal dan Iman

Menari-nari sekalian angkatan syaitan melihat umat manusia disumbat akalnya dengan kisah-kisah mistik dan seram yang tidak terkawal dewasa ini. Jenuh memikirkan di mana rasionalnya pihak yang membenarkan filem-filem dan drama-drama seperti ini di lambakkan di media-media penyiaran. Aneh pemikiran manusia, keuntungan dunia dikejar berbalaskan keruntuhan akhlak dan nilai kerohanian.

Amat sedikit insan yang sudi menggunakan bakat yang mereka ada untuk menyedarkan manusia, sekaligus menempah saham akhirat yang tidak putus-putus disebabkan natijah filem-filem/drama-drama yang mereka hasilkan. Paling menyedihkan mereka yang islam meranapkan lagi iman saudara mereka sendiri. Tidakkah mereka sedar media-media massa adalah senjata yang paling ampuh untuk mempengaruhi akal manusia? Kini islam dipandang hina dan sepi dek mereka yang tidak memahami. Sudahlah berita-berita muttakhir memaparkan keganasan dan pemberontakan islam, ditambah pula filem/drama yang menjelekkan lagi imej islam itu sendiri. Sehinggakan yang menganuti islam lupa akan landasan mereka yang betul, terhoyong-hayang mengikuti contoh yang bercampur aduk syariat dan maksiatnya. Sehinggakan mereka lupa haq dan batilnya.

Begitulah media telah mempengaruhi segenap ruang akal manusia. Teringat suatu masa dulu, setiap yang menonton filem/drama seperti Ketika Cinta Bertasbih, Ayat-Ayat Cinta dan Nur Kasih merasai indahnya cinta berlandaskan islam, indahnya berpoligami, indahnya hidup bersyariat. Namun kini perasaan itu seakan dilanda tsunami setelah beberapa filem/drama/berita yang ditayangkan memaparkan jeleknya akhlak seorang ustaz/ustazah, payahnya berpoligami, sulitnya mengikut sunnah nabi dan pelbagai lagi sifat antagonis yang diberi kepada seorang insan yang beragama islam. Lebih memualkan lagi kisah-kisah ini di cipta sendiri oleh tangan-tangan mereka yang mengakui mereka adalah islam dan berpakaian seorang muslim.

Keadaan terlalu menekan kini, apabila ditegur tidak pula berlapang dada hamburan diberi seperti lagak seorang yang tidak berpelajaran. Benarlah sabda Rasulullah..mengenggam bara api di akhir zaman bukan mudah..Kembalilah kepada fitrah, kita adalah sebaik-baik umat yang dicipta Allah, kerana kita adalah umat yang disuruh berdakwah dan mengajak orang lain mengenal Allah sekaligus mengenal islam..Lupakah kita Nabi-nabi terdahulu tidak dibenarkan berdakwah? Pengetahuan iman hanya untuk diri mereka sendiri, tidak seperti Rasul-rasul, tugas mereka adalah berdakwah, mengenalkan Pencipta kepada seluruh umatnya. Kita umat akhir zaman juga begitu, disuruh berdakwah kepada manusia, menyambung risalah Rasulullah, kerana tiada lagi Rasul/Nabi selepas umat Nabi Muhammad S.A.W…fikir-fikirkan..

Firman Allah S.W.T:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (A-li'Imraan 3:104)

Monday, July 11, 2011

Hapuskan tongkat langit..

Indahnya hidup insan bersyariat, ditemani Allah saban waktu, diiringi rahmat Allah yang Esa. Sunnah berjuang ada mehnah dan tribulasinya, terlalu laju kaki menghayun sehingga tidak sedar ia memakan diri. Teringat akan kisah Ali karamallahu wajhah, dihentikan hunusan pedang kerana khuatir kemarahannya itu bukan kerana Allah. Lantas ku perlahankan hayunan kaki, kerana khuatir perjuangan ini bukan kerana Allah.

Tiba masa untuk memuhasabah diri, mengenang dosa pada Pencipta juga makhlukNya, sesungguhnya diri ini tidak sempurna, terkadang lafaz melukai hati, tindakan meranapkan jiwa. Kerana terlalu berada di zon selesa dan berdiri di atas kaki sendiri membuatkan diri menepis secara halus tangan yang menghulur dari tepi, depan jua belakang.

Biarkan diri ini bersalut kesal, biarkan ia sedar akan kedudukannya yang hina, supaya sentiasa tidak menongkat langit memasak bumi. Aku milik Pencipta, selamanya milikNya, berkalang dosa ku sembahkan padaNya, namun tetap ku merindui dan mengharapkan rahmatNya. Semoga Allah menerima kekuranganku. Jua menerima amalan yang tidak seberapa…

“Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.” - isi khutbah terakhir Rasulullah.

Wahai mujahid dan mujahidah..tetapkanlah hati kalian di jalan Allah..

Usahlah berputus asa akan kasih sayangnya..

Jadilah seperti Ali kesayangan Rasulullah..

Bijak membezakan haq dan batil tika kewarasan akal disentap seketika….

Biarkan Allah dengan keputusanNya, namun kita..jangan lupa berusaha…

~Perjuanganku mungkin di medan yang lain…semoga Allah memudahkan..
YA ALLAH..rendahkan jiwaku, rendahkan hatiku…aku hanya seorang hamba…hamba yang hina..