Thursday, December 31, 2009

01.01.10


Kini giliran kalendar masihi pula memulakan tarikhnya, 01.01.2010. Satu lagi bukti yang menunjukkan bumi semakin tua, dimamah usia. Entah ke berapa kali bumi di perbaharui lantaran kekufuran dan keingkaran makhluk bernama insan kepada PenciptaNya. Diganti dengan umat yang lebih baik, dari seorang rasul ke seorang yang lain. Hinggalah ke akhir zaman, zaman yang tiada pembaharuan lagi, yang tinggal hanyalah hari pengadilan, tiada lagi umat selepas umat Rasulullah, tiada lagi rasul penyampai risalah setelah Nabi Muhammad S.A.W.

Namun, di kala alam semakin membongkok di usia tuanya, semakin hanyut pula umat manusia dengan keseronokan dan kemegahan. Lupa agaknya mereka akan azab Ilahi yang bila-bila masa menjengah diri. Tahun baru di sambut dengan pesta dan konsert yang melalaikan, jangankan ingin mensyukuri nikmat nafas yang masih Allah beri, malah bangga pula dengan maksiat yang dilakukan. Na'uzubillah, lupakah kalian akan janji Tuhanmu, hari pengadilan itu pasti, syurga dan neraka itu pasti tidak gerunkah kalian dengan balasan yang akan menimpa diri.

Penutup 2009, kita dikejutkan dengan pelbagai perkara yang melanda negara, sehebat bantaian tsunami suatu ketika dahulu. Kehilangan enjit jet membuat kita terfikir betapa lemahnya sistem pertahanan negara, integriti dipertikaikan. Tidak dapat kubayangkan jika negara dibedil, dibantai musuh seperti yang terjadi di negara-negara sahabat seakidah kita. Tidak cukup dengan itu, di kala ekonomi yang menggawat ini harga barang pula ada yang meningkat. Semoga tahun baru akan membawa perubahan yang lebih positif kepada negara Malaysia yang tersayang.

Tahun baru memberi berjuta kenangan pahit dan manis. Banyak menyaksikan perubahan diri dan sekeliling. Kenangan lalu ku bawa sebagai pengajaran, kenyataan ku hadapi dengan redha dan kesabaran, semoga impian ku terlaksana dengan berkat usaha, doa dan tawakal. Doa dan kemaafan telah lama ku hadiahkan kepada insan-insan yang dekat di hati, keikhlasanku biarlah hanya yang Maha Penghukum yang menentukannya. Ku sedar akan ketentuan Ilahi, semuanya telah tertulis di luh mahfuz, siapalah kita untuk meraguinya.

Semoga tahun yang baru membawa lebih banyak kebahagiaan dan ketenangan, setelah penat mengharungi kepayahan dan kesulitan pada tahun sebelumnya. Ku bersangka baik pada Tuhanku, ku amat yakin bahawa Dia amat menyayangi hambaNya. Doaku yang sama juga buat insan-insan yang dekat dihati..Kebahagiaan kalian adalah kebahagiaanku..Nikmat iman ini ingin kurasai bersama kalian, kerana diri ini sangat teringin berjumpa dan bersama dengan kalian di negeri yang kekal abadi, menikmati syurga yang abadi, menyambung kasih yang ditinggalkan di dunia kerana Allah. InsyaAllah...


Hidup dan matiku kerana Allah..Ibadahku kerana Allah..
Ku berkorban untuk mu ya Allah..
Rela ku derita demiMu..
Rela ku terbuang kerana mencari redhaMu..
Bantu diri ini Rabbi..Tenang dan sabar menempuhi dugaanMu..

No comments:

Post a Comment