Thursday, December 31, 2009

01.01.10


Kini giliran kalendar masihi pula memulakan tarikhnya, 01.01.2010. Satu lagi bukti yang menunjukkan bumi semakin tua, dimamah usia. Entah ke berapa kali bumi di perbaharui lantaran kekufuran dan keingkaran makhluk bernama insan kepada PenciptaNya. Diganti dengan umat yang lebih baik, dari seorang rasul ke seorang yang lain. Hinggalah ke akhir zaman, zaman yang tiada pembaharuan lagi, yang tinggal hanyalah hari pengadilan, tiada lagi umat selepas umat Rasulullah, tiada lagi rasul penyampai risalah setelah Nabi Muhammad S.A.W.

Namun, di kala alam semakin membongkok di usia tuanya, semakin hanyut pula umat manusia dengan keseronokan dan kemegahan. Lupa agaknya mereka akan azab Ilahi yang bila-bila masa menjengah diri. Tahun baru di sambut dengan pesta dan konsert yang melalaikan, jangankan ingin mensyukuri nikmat nafas yang masih Allah beri, malah bangga pula dengan maksiat yang dilakukan. Na'uzubillah, lupakah kalian akan janji Tuhanmu, hari pengadilan itu pasti, syurga dan neraka itu pasti tidak gerunkah kalian dengan balasan yang akan menimpa diri.

Penutup 2009, kita dikejutkan dengan pelbagai perkara yang melanda negara, sehebat bantaian tsunami suatu ketika dahulu. Kehilangan enjit jet membuat kita terfikir betapa lemahnya sistem pertahanan negara, integriti dipertikaikan. Tidak dapat kubayangkan jika negara dibedil, dibantai musuh seperti yang terjadi di negara-negara sahabat seakidah kita. Tidak cukup dengan itu, di kala ekonomi yang menggawat ini harga barang pula ada yang meningkat. Semoga tahun baru akan membawa perubahan yang lebih positif kepada negara Malaysia yang tersayang.

Tahun baru memberi berjuta kenangan pahit dan manis. Banyak menyaksikan perubahan diri dan sekeliling. Kenangan lalu ku bawa sebagai pengajaran, kenyataan ku hadapi dengan redha dan kesabaran, semoga impian ku terlaksana dengan berkat usaha, doa dan tawakal. Doa dan kemaafan telah lama ku hadiahkan kepada insan-insan yang dekat di hati, keikhlasanku biarlah hanya yang Maha Penghukum yang menentukannya. Ku sedar akan ketentuan Ilahi, semuanya telah tertulis di luh mahfuz, siapalah kita untuk meraguinya.

Semoga tahun yang baru membawa lebih banyak kebahagiaan dan ketenangan, setelah penat mengharungi kepayahan dan kesulitan pada tahun sebelumnya. Ku bersangka baik pada Tuhanku, ku amat yakin bahawa Dia amat menyayangi hambaNya. Doaku yang sama juga buat insan-insan yang dekat dihati..Kebahagiaan kalian adalah kebahagiaanku..Nikmat iman ini ingin kurasai bersama kalian, kerana diri ini sangat teringin berjumpa dan bersama dengan kalian di negeri yang kekal abadi, menikmati syurga yang abadi, menyambung kasih yang ditinggalkan di dunia kerana Allah. InsyaAllah...


Hidup dan matiku kerana Allah..Ibadahku kerana Allah..
Ku berkorban untuk mu ya Allah..
Rela ku derita demiMu..
Rela ku terbuang kerana mencari redhaMu..
Bantu diri ini Rabbi..Tenang dan sabar menempuhi dugaanMu..

Saturday, December 26, 2009

Rumah Perlindungan PERNIM

25 Disember yang lepas diadakan aktiviti melawat ke Rumah Perlindungan PERNIM yang di anjurkan oleh sahabatku Nurhafizani. Pada mulanya, diri ini tidak dapat menyertai mereka memandangkan tiada siapa yang dapat ku tumpang dari Shah Alam. Namun Allah memudahkan urusanku, mamaku menawarkan diri untuk pergi bersama-sama denganku. Alhamdulillah, ku amat gembira dan menghargai pengorbanan mama..Terima kasih kepada mama yang sanggup berada di sampingku di dalam susah dan juga senang.

Setibanya kami di sana kami disambut oleh penjaga mereka yang lebih mesra dikenali 'mama ina'. Kami disambut dengan penuh kasih-sayang dan kemesraan. Terserlah keceriaan di setiap wajah-wajah yang menghuni rumah tersebut. Anak-anak kecil itu amat ramah dan mesra, hubungan mereka amat erat sehinggakan kami sendiri tidak dapat mengecam yang mana satukah anak kandung dan yang mana satu anak angkat 'mama ina'. Semuanya dipakaikan dengan pakaian yang sama dan fesyen rambut mereka juga seakan-akan sama. Hebat sungguh 'mama ina', tidak men'double standard'kan anak-anak yang dipelihara olehnya.

Mamaku rancak bersembang dengan 'mama ina' sedangkan ku sibuk melayan adik-adik di sudut penjuru rumah. Kerenah mereka amat melucukan, ada yang aktif walaupun sakit berkhatan, ada yang menghidapi demam campak, tidak kurang juga mereka yang amat teruja untuk mengambil gambar. Telatah mereka amat menenangkan, terasa separuh dari masalah yang melanda jiwa gugur seiring gelak tawa mereka. Demi Allah ku amat merindui mereka..

Ku juga amat gembira dapat bertemu sahabat-sahabat teknik ku yang sudah bertahun tidak kutemui. Mereka masih lagi tidak berubah, tetap mesra walau dipisahkan jarak dan masa. Tahniah dan terima kasih kepada mama, sahabat-sahabat dan uncle Ramli yang menyertai dan menjemputku ke aktivti kali ini. Semoga aktivti begini dapat diteruskan di masa akan datang..

Ya Rabbi, lembutkan hatiku untuk Redha atas ketentuanMu..
Mengusap kepala adik-adik kecil itu, melunakkan hatiku..
Membuat ku sedar, ku lebih bernasib baik dari mereka..
Alhamdulillah..

Maafkanlah..


Maafkanlah mereka yang menzalimi, mengkhianati, mendustai, mencaci, menghina dan pelbagai lagi yang sewaktu dengannya terhadap diri kita. Memang payah melupakan, namun siapa kita untuk tidak memaafkan. Halalkan setiap titis air mata yang jatuh kerana kezaliman itu, redhakanlah setiap qada' dan qadar ketentuan Ilahi, tenang dan sabarlah menyingkap hikmah disetiap kejadian. Jangan kelak bertemu lagi di hari pengadilan, menuntut hutang kemaafan yang belum terlunas. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini. Mulakan harimu dengan memberi kemaafan..

Thursday, December 17, 2009

Salam maal hijrah (1431)


Salam maal Hijrah..Tahun baru bermula lagi membuka lembaran baru, melipat tahun lalu dalam gulungan kertas yang tersimpan berjuta peristiwa suka dan duka. Hijrah..Peristiwa yang terpateri di tembok sejarah umat islam. Keperitan, pengorbanan dan kejayaan misi hijrah Rasulullah dan para sahabat dihayati bagi mereka yang menyayangi Rabb dan islam. Iktibar diambil dari peristiwa hijrah sebagai titik permulaan perubahan, anjakan paradigma setiap muslim yang mengangankan untuk bertemu PenciptaNya di hari yang dijanjikan kelak.

Mengimbau kembali peristiwa yang gemilang ini, betapa Rasulullah bermula dengan menggunakan medium masjid untuk merapatkan ukhuwwah ansar dan muhajirin bagi membangkitkan umat yang hebat , bak kata pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Bersatunya umat islam memperkasakan perjuangan, menaikkan syiar islam yang ditunggu-tunggu oleh umatnya.

Tanpa pengorbanan Rasulullah dan para sahabat, tidak mungkin kita merasai nikmatnya islam yang semakin hari makin berkembang hari ini. Syiar diteruskan dari zaman ke zaman, perjuangan menyebarnya silih berganti tangan. Islam tetap gemilang dengan bantuan Allah yang Esa. Tetaplah pada jalanmu wahai mujahid-mujahid Allah, kemenangan akan kita raih suatu hari nanti insyaAllah.

Jadikanlah tahun baru ini sebagai pemangkin perubahan, perbaikilah iman dan amal, kukuhkanlah ukhuwwah sesama kita dan lebih ikhlaslah dalam berkerja dan menuntut ilmu. Corakkanlah buku baru dengan warna yang harmoni dan ceria, jangan cemarkan ia dengan tompok usang dan hitam, jika terlanjur mencacatkan warna, padamlah dengan titisan taubat supaya tidak terus kelam lembarannya.

Ya Allah..Bantu diri yang hina ini, tiupkan semangat dalam rohku..
Hanya kepadaMu ku berserah..

Wednesday, December 16, 2009

Ku genggam erat nikmat Allah

Majlis penganugerahan Biasiswa Yayasan PROTON berlangsung dengan lancarnya. Ku menghadirinya bersama-sama ibu dan bapaku. Betapa sayu diri tika lagu 'ayah dan ibu' yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman berkemundang di saat ku menerima sijil biasiswa tersebut. Satu-satu tayangan menjengah akal, mengenangkan jerih perih ayah dan mama membesarkanku. Kini tiba masa ku membalas jasa-jasa mereka, walaupun kutahu anugerah ini tidak mampu membayar setitis air susu mama dan setitis peluh ayah dalam mendidik dan membesarkanku.

Ku bersyukur yang teramat sangat kepada Tuhanku yang Maha Pengasih kerana memberikan nikmat ini kepadaku, diriku tersenarai antara sepuluh yang terbaik daripada beratus pemohonnya. Hanya Allah yang tahu betapa hambaNya ini gembira, setelah diuji dengan pelbagai dugaan, Allah membalasnya dengan nikmat yang tidak terhingga ini.

Kini ku menggalas amanah yang besar, ku akan berusaha untuk tidak menyiakan kepercayaan pihak PROTON kepadaku. Azamku untuk lebih ikhlas dalam menuntut ilmu. Ya Allah, permudahkanlah..PROTON, nantikanlah diriku hanya untuk setahun sahaja lagi..InsyaAllah..

Pada mama dan ayah, ini adalah hadiah untuk kalian, amal tahu betapa gembiranya diri kalian melihat amal berjaya meraih anugerah ini. Amal tahu betapa bangga diri kalian apabila dapat bersama-sama menaiki pentas menerima sijil ini. Hanya ini yang mampu amal beri kepada kalian. Doakan amal menjadi anak yang soleh dan taat..Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha ayah dan mama. Terima kasih kerana sabar mendidik dan membesarkan amal, walau amal tahu ia bukan perkara yang mudah.

Ya Allah, sabarkanku dalam menempuhi dugaan yang sedang Kau beri..
RedhaMu ku dambakan, perkenankanlah hajatku ya Allah..
Hidup mati, ibadatku hanya untukMu...


Sunday, December 13, 2009

Jasa dikenang

12 Disember baru sahaja berlalu, warga DTK 2004 merealisasikan perancangan yang telah dibuat berbulan-bulan lamanya. Adik-adik yang kurang bernasib baik bakal kami layan dengan sebaiknya. Walaupun masa melaksanakan aktiviti sedikit berganjak dari yang dijadualkan, namun aktiviti-aktiviti tersebut tetap berjalan lancar tanpa sedikitpun kekangan, Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan kami.

Setibanya kami ke rumah tersebut, kami mengadakan sesi taaruf dan membahagikan kumpulan sebelum melakukan aktiviti seterusnya. Selepas itu, gotong-royong diadakan bersama-sama dengan adik-adik. Pelbagai karenah yang dapat kuamati kala kesibukan masing-masing menyelesaikan tugasan yang diberi. Ku amat gembira dan berbangga mempunyai sahabat seperti mereka, ringan tulang dan tiada satu rungutanpun yang keluar dari bibir mereka, masing-masing melakukan kerja dengan senang hati.


Menu untuk hari itu amat membuka selera kami, terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi menyediakan makanan yang amat lazat, ditambah pula dengan rencah kasih sayang. Terpancar sinar keriangan di wajah adik-adik, jarang sekali mereka dapat makan makanan yang sesedap ini. Akhirnya aktiviti yang dinanti-nantipun tiba, kami bermain permainan bersama adik-adik. Permainan meneka lukisan gambar dan kosa kata membuat isi rumah ketawa bagai hendak pecah perut. Gelagat setiap dari mereka amat menggelikan hati. Spontan dan amat 'sporting'.


Setelah memberi sumbangan kepada penyelia rumah, maka tamatlah program pada hari tersebut. Kami membawa pulang sejuta kenangan, meninggalkan sejuta harapan, berat meninggalkan adik-adik yang tersayang, terasa belum puas kami menggembirakan mereka. Semoga ada lagi peluang untuk kami bertemu mereka dan semoga adik-adik berjaya mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.


Terima kasih sahabat-sahabat di atas kerjasama, semoga ukhuwwah ini kekal selama-lamanya, betapa kalian dekat di hati ini..Betapa diri ini bangga dan gembira mempunyai sahabat seperti mereka.


Ya Rahman, ikatlah hati kami supaya tidak terlerai..

Sunday, December 6, 2009

Mencorakkan kain putih

Kadang-kadang Allah memberi kita rezeki tanpa kita duga, demi Allah, Rabbi yang Maha Pemurah, diri ini tidak sangka diberi peluang untuk membantu sahabatku mengendalikan kem motivasi di Puchong. Diri yang masih setahun jagung, ditarbiyyah Allah dengan cara yang amat unik. Ku amat menghargai peluang yang diberi. Kerana ingin menimba pengalaman, ku bertegas membuat keputusan untuk menerima pelawaannya tanpa berfikir dua kali, walaupun ku tahu masih banyak tugasan lain yang masih belum selesai. Kurebut peluang yang ada, kerana ku khuatir ia tidak akan menjengah diri lagi.

Ku akui banyak kekurangan pada pelaksanaan tugas yang ku galas. Maklum sahajalah ini adalah kali pertama ku menyerah diri untuk menjadi fasilitator kepada adik-adik yang masih bersekolah rendah. Namun ku bernasib baik, berkat pengalaman menjadi guru sandaran dulu ku meneruskan perjuangan tanpa rasa kekok dan gentar. Ku berserah bulat pada Allah, ku amat yakin Allah akan membantuku. Sayang seribu kali sayang, diri ini tidak dapat bersama dengan adik-adik dalam jangkamasa yang ditetapkan, lantaran tuntutan jemputan perkahwinan dan kenduri cukur jambul sahabat-sahabat baikku. Maafkan diri ini wahai adik-adikku, jika ada rezeki dan umur yang panjang, dapatlah kita berjumpa lagi. Rindu menjengah diri...

Wajah-wajah suci itu menggirangkan hati,
Tidak sekali membuat diri lelah melayan mereka,

Kain putih yang harus ku corakkan,

Lantaran amanah dari ayahanda bonda mereka,

Telah sehabis baikku menccorakkannya,

Semoga Allah memberkatinya,
Adik-adikku ketahuilah,

Ku sayangi kalian kerana Allah yang Esa..