Thursday, January 5, 2012

Minoriti di bumi Allah..



Berada di negara yang asing budayanya membuatkan ku amat menghargai tanah air tercinta. Terasa kerdil diri dikala Allah menganugerahkan taraf minority di tanah yang dipenu hi mereka yang tidakmenyembah Allah yang Maha Kuasa. Persiapan diri harus dari tempat kediaman lagi, auratnya, wudhuknya dan bermacam-macam lagi supaya mudah untuk melaksanakan solat walau di mana sahaja. Ya, disitulah teori seorang muslim di praktikkan , tiada alasan yang membataskan ibadat dan hukum, walau dicelahan batu kita tersepit, kita tetap hambaNya. Kesempitan inilah yang membuat kita berfikir untuk mencari makanan yang halal lagi suci, lapar tidak dijadikan alasan untuk melanggar hukumNya.

Mata wajib bersedia kerana terlalu mudah di jamu cerita-cerita sensor di kaca TV tatkala larut malam menjelma, juga amat terdedah dengan pemandangan yang amat menjolok mata kerana iman dan islam amat jauh dari norma kehidupan penduduknya. Menggeleng-geleng kepala tatkala melihat anak muda mereka bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa segan dan silu. Modenisasi diiringi keruntuhan nilai sosial amat menyesakkan. Terkenang peristiwa di kala ada seorang pemuda di kalangan mereka yang memakai kemeja T yang tertulis ‘Bismillahi Rahmanir Rahim’ dalam tulisan jawi. Astaghfirullah…istighfar panjang ku melihatnya, begitu rendah nilai Allah di sisi mereka. Salah kita yang tidak mampu menyampaikan kepada mereka yang tidak mahu mencari Pencipta mereka.

Namun di sebalik taraf sosial mereka yang begitu ampuh, namun ada segelintir akhlak mereka sangat membanggakan terutamanya dari segi kebersihan dan ketepatan masa. Bila terkenang tanah air, malu menyelubungi diri. Terkadang sikap mereka yang beragama islam tidak sebaik mereka yang yang tidak menyembahNya. Tahap piawaian kebersihan di Malaysia tiada yang boleh dibanggakan, sedang di negara asing ini; sekeliling tong sampahnya juga mempunyai tahap kebersihan yang amat cemerlang. Kesantunan dan keramahan mereka juga amat mengujakan, menyelesakan pelancong yang hadir.

Kenangan ini amat mahal ya Rabbi…tidak mungkin mampu ku kutip andai tidak Kau takdir dan rezekikan ia kepadaku, berada di tanah asing ini menyedarkan ku, betapa hebat mereka yang mampu menjaga diri di celahan majoritinya bukan beragama islam..membuatkan ku tersedar, tiada alasan untuk tidak beribadat kepadaMu..Namun ia juga membuat ku tersedar betapa bertuah anugerah Malaysia kepada sekalian hambaMu yang berada di tanahnya. Malang sekali kepada mereka yang tidak mampu menggunakan sebaiknya nikmat yang telah Kau berikan kepada mereka…SUNGGUH RUGI!!!

Firman Allah: “Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.”

(Az-Zumar 39:63)


No comments:

Post a Comment