Monday, July 11, 2011

Hapuskan tongkat langit..

Indahnya hidup insan bersyariat, ditemani Allah saban waktu, diiringi rahmat Allah yang Esa. Sunnah berjuang ada mehnah dan tribulasinya, terlalu laju kaki menghayun sehingga tidak sedar ia memakan diri. Teringat akan kisah Ali karamallahu wajhah, dihentikan hunusan pedang kerana khuatir kemarahannya itu bukan kerana Allah. Lantas ku perlahankan hayunan kaki, kerana khuatir perjuangan ini bukan kerana Allah.

Tiba masa untuk memuhasabah diri, mengenang dosa pada Pencipta juga makhlukNya, sesungguhnya diri ini tidak sempurna, terkadang lafaz melukai hati, tindakan meranapkan jiwa. Kerana terlalu berada di zon selesa dan berdiri di atas kaki sendiri membuatkan diri menepis secara halus tangan yang menghulur dari tepi, depan jua belakang.

Biarkan diri ini bersalut kesal, biarkan ia sedar akan kedudukannya yang hina, supaya sentiasa tidak menongkat langit memasak bumi. Aku milik Pencipta, selamanya milikNya, berkalang dosa ku sembahkan padaNya, namun tetap ku merindui dan mengharapkan rahmatNya. Semoga Allah menerima kekuranganku. Jua menerima amalan yang tidak seberapa…

“Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.” - isi khutbah terakhir Rasulullah.

Wahai mujahid dan mujahidah..tetapkanlah hati kalian di jalan Allah..

Usahlah berputus asa akan kasih sayangnya..

Jadilah seperti Ali kesayangan Rasulullah..

Bijak membezakan haq dan batil tika kewarasan akal disentap seketika….

Biarkan Allah dengan keputusanNya, namun kita..jangan lupa berusaha…

~Perjuanganku mungkin di medan yang lain…semoga Allah memudahkan..
YA ALLAH..rendahkan jiwaku, rendahkan hatiku…aku hanya seorang hamba…hamba yang hina..

No comments:

Post a Comment