Sunday, December 13, 2009

Jasa dikenang

12 Disember baru sahaja berlalu, warga DTK 2004 merealisasikan perancangan yang telah dibuat berbulan-bulan lamanya. Adik-adik yang kurang bernasib baik bakal kami layan dengan sebaiknya. Walaupun masa melaksanakan aktiviti sedikit berganjak dari yang dijadualkan, namun aktiviti-aktiviti tersebut tetap berjalan lancar tanpa sedikitpun kekangan, Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan kami.

Setibanya kami ke rumah tersebut, kami mengadakan sesi taaruf dan membahagikan kumpulan sebelum melakukan aktiviti seterusnya. Selepas itu, gotong-royong diadakan bersama-sama dengan adik-adik. Pelbagai karenah yang dapat kuamati kala kesibukan masing-masing menyelesaikan tugasan yang diberi. Ku amat gembira dan berbangga mempunyai sahabat seperti mereka, ringan tulang dan tiada satu rungutanpun yang keluar dari bibir mereka, masing-masing melakukan kerja dengan senang hati.


Menu untuk hari itu amat membuka selera kami, terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi menyediakan makanan yang amat lazat, ditambah pula dengan rencah kasih sayang. Terpancar sinar keriangan di wajah adik-adik, jarang sekali mereka dapat makan makanan yang sesedap ini. Akhirnya aktiviti yang dinanti-nantipun tiba, kami bermain permainan bersama adik-adik. Permainan meneka lukisan gambar dan kosa kata membuat isi rumah ketawa bagai hendak pecah perut. Gelagat setiap dari mereka amat menggelikan hati. Spontan dan amat 'sporting'.


Setelah memberi sumbangan kepada penyelia rumah, maka tamatlah program pada hari tersebut. Kami membawa pulang sejuta kenangan, meninggalkan sejuta harapan, berat meninggalkan adik-adik yang tersayang, terasa belum puas kami menggembirakan mereka. Semoga ada lagi peluang untuk kami bertemu mereka dan semoga adik-adik berjaya mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.


Terima kasih sahabat-sahabat di atas kerjasama, semoga ukhuwwah ini kekal selama-lamanya, betapa kalian dekat di hati ini..Betapa diri ini bangga dan gembira mempunyai sahabat seperti mereka.


Ya Rahman, ikatlah hati kami supaya tidak terlerai..

No comments:

Post a Comment